Analisis: 5 Perkara Yang Boleh Kita Pelajari Dari Perlawanan Malaysia VS Krygyztan

Malaysia tumbang 0-1 kepada Kyrgyzstan dalam aksi persahabatan antarabangsa di halaman sendiri, malam tadi. Ini merupakan kekalahan ketiga buat Tan Cheng Hoe sejak Disember 2017.

Walaubagaimanapun, disebalik kekalahan tersebut, aksi yang telah dipamerkan oleh skuad kebangsaan tampak lebih baik berbanding dahulu dan ia sangat positif menjelang Piala AFF Suzuki 2018.

Berikut adalah 5 perkara yang Semuanya BOLA gariskan untuk aksi perlawanan Malaysia menentang Kyrgyzstan.

Kalah tipis kepada pasukan ranking FIFA atas 100

Ini merupakan kali kelima skuad kebangsaan menentang pasukan yang berkedudukan ranking atas 100 sejak kekalahan memalukan 0-10 ke atas UAE pada September 2015.

Menariknya, selepas kekalahan tersebut, skuad negara merekodkan keputusan yang lebih baik apabila hanya tewas tipis kepada lawan yang berada di ranking 100 terbaik dunia.

Foto: FAM

Malaysia memperbaiki keputusan tersebut pada November tahun yang sama dan juga menentang lawan yang sama apabila hanya tewas 1-2 di Stadium Shah Alam.

Berikut adalah 5 pertembungan Harimau Malaya dengan pasukan ranking 100 dan ke atas sejak tahun 2015.

  • November 2015: Malaysia 1-2 UAE (Kelayakan Piala Dunia 2018, Pusingan 2)
  • Mac 2016: Arab Saudi 2-0 Malaysia (Kelayakan Piala Dunia 2018, Pusingan 2)
  • Jun 2017: Malaysia 1-2 Lubnan (Kelayakan Piala Asia 2019, Pusingan 3)
  • Ogos 2017: Malaysia 1-2 Syria (Persahabatan)
  • Mac 2018: Lubnan 2-1 Malaysia (Kelayakan Piala Asia 2019, Pusingan 3)
Foto: FAM

Bolos tidak lebih 2 gol dalam tahun 2018

Di bawah kendalian Cheng Hoe, satu perkara yang menarik setakat ini adalah jumlah bolos yang direkodkan oleh skuad kebangsaan tidak pernah lebih daripada 2 gol.

Pada 2017, Malaysia pernah tewas dalam dua perlawanan dengan jumlah bolos 4 gol iaitu ketika menentang DPR Korea dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019.

Foto: FAM

Dengan rekod 4 kemenangan, satu seri dan dua kekalahan, Harimau Malaya telah berjaya mengurangkan jumlah bolos kepada hanya 8 bolos dalam 7 perlawanan.

Berbanding pada tahun lalu, Malaysia melalui 8 perlawanan dengan rekod 16 bolos. Paling menyedihkan adalah jaringan yang dihasilkan pula hanya 5 gol.

Perlukah Zaquan Adha?

Penulis merasakan yang penyenaraian penyerang Kuala Lumpur, Zaquan Adha Abdul Razak tidak lebih hanya untuk menjadi ketua pasukan bagi skuad tahun 2018 ini.

Dengan dijangka transisi kepada skuad yang lebih muda, Cheng Hoe mungkin memilih untuk mencari seorang pemain yang boleh menjadi ketua kepada pemain-pemain muda.

Namun, sebagai penyerang, gagal meledak gol atau membantu pasukan menjaringkan gol, anda dianggap gagal. Untuk aksi malam tadi, Zaquan gagal menjalankan tugasnya.

Zaquan kembali menemui sentuhan jaringan pada perlawanan menentang Bhutan, awal tahun lalu, apabila meledakkan 4 gol untuk membantu Malaysia menang 7-0.

Jika para pembaca masih ingat, bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Dollah Salleh telah membuat kejutan dengan membawa Shukor Adan ke dalam skuad AFF 2014.

Walaupun dikritik hebat, namun akhirnya Shukor Adan cukup cemerlang mengemudi pasukan dan juga benteng pertahanan walaupun akhirnya dikecewakan di pentas final.

Adakah Zaquan perlu ada di dalam pasukan dengan skuad kebangsaan kita kini telah memiliki beberapa penyerang yang boleh kita kategorikan sebagai cemerlang?

Peledak tumpul, sia-sia peluang

Dalam perlawanan malam tadi, Malaysia sebenarnya memiliki beberapa peluang untuk menjaringkan gol namun telah disia-siakan oleh penyudah yang tumpul.

Penyerang, Norshahrul Idlan Talaha memiliki dua peluang di dalam kotak penalti, percubaan jarak jauh Syahmi Safari dan juga Zaquan Adha melalui tandukkan tipisnya.

Foto: FAM

Jika peluang-peluang tersebut berjaya diterjemahkan dengan jaringan gol, sudah pasti keputusan pada malam tadi akan memihak kepada skuad Harimau Malaya.

Ini kerana, Kyrgyzstan tidaklah terlalu tajam di depan gol dan beraksi tanpa taktikal tertentu. Mereka dilihat banyak mengharapkan kepada situasi bola mati.

Menuju penghujung perlawanan, kira-kira 8 minit, Kyrgyzstan pula dipaksa bermain dengan 10 pemain, namun, barisan pemain negara masih gagal mencari sesuatu.

‘Mat Yo tak salah’

Jika dilihat sepanjang perlawanan malam tadi, Norshahrul Idlan Talaha adalah pemain paling cemerlang dan selayakkan diberikan pemain terbaik perlawanan.

Dia seakan-akan sudah kembali kepada prestasi terbaiknya dengan dilihat seolah-olah sedang ‘menari-nari’ di dalam padang dengan gerakannya melepasi kawalan lawan.

Boleh kita katakan, dia seperti telah ‘dilahirkan semula’ kerana mengulangi prestasi baik ketika bergandingan dengan penyerang ikonik negara, Safee Sali satu ketika dahulu.

Dua percubaannya hampir menghadirkan gol buat Harimau Malaya, namun telah dikecewakan oleh palang gol dan juga aksi cemerlang penjaga gol lawan.

Tidak wajar meletakkan kesalahan kepada Norshahrul semata-mata, kerana dia telah mempamerkan satu aksi yang baik sebagai gandingan kepada Zaquan Adha.

Bak kata bekas pemain import JDT, Leonel Nunez, “Mat Yo tak salah”.

Penutup

Perlawanan malam tadi adalah aksi pemanas badan kedua terakhir buat skuad Harimau Malaya sebelum memulakan saingan Piala AFF Suzuki 2018, November depan.

Dengan berbaki satu lagi aksi persahabatan, dijangka Tan Cheng Hoe bakal membawa pemain sebenar ketika melayan kunjungan Maldives pada 3 November depan.

Apa pendapat pembaca mengenai keputusan perlawanan pada malam tadi. Dan apakah yang dapat para pemain dan barisan kejurulatihan dapat pelajari?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN