Rene Maric, Kisah Si Penulis Taktikal Yang Mengejar Impian Bersama RB Salzburg

Apa yang kita tahu mengenai negara Austria? Mempunyai populasi sekitar 8.8 juta penduduk, Austria terletak bersebelahan dengan Jerman dan Liechtenstein.

Dari segi bahasa, penduduk Austria bertutur di dalam Bahasa Jerman. Sepertimana negara jirannya itu, kerajaan Austria turut mengamalkan sistem pemerintahan Republik.

Pendek kata, Austria mempunyai persamaan yang sangat mirip dengan Jerman, kecuali dari segi pencapaian di dalam bidang bola sepak.

Red Bull Salzburg

Red Bull Salzburg mungkin adalah perkara terbaik yang pernah berlaku di dalam bola sepak Austria sejak 20 tahun yang lalu.

Selepas diambil alih oleh Red Bull pada 2005, banyak perubahan telah berlaku di dalam kelab ini.

(Photo by Franz Kirchmayr/SEPA.Media /Getty Images)

RB Salzburg telah menjuarai Bundesliga Austria sebanyak lapan kali sejak revolusi di dalam kelab tersebut dilakukan.

Tetapi Bundesliga Austria mungkin tidak sekompetitif seperti Bundesliga di Jerman.

Marco Rose bersama Rene Maric.

Hari ini RB Salzburg diatih oleh Marco Rose. Namun apa yang menarik perhatian kami ialah pembantu kepada beliau, seorang jurulatih muda dikenali sebagai Rene Maric.

Ada apa dengan Rene Maric?

Berusia 26 tahun, Rene Maric adalah pembantu kepada Marco Rose. Pada usia tersebut, Maric dianggap sebagai salah seorang jurulatih muda yang sangat progresif.

Pada awal Oktober lalu, beliau telah ditawarkan kontrak lanjutan untuk kekal sebagai pembantu Rose di RB Salzburg sehingga 2021.

Perjalanan dan kisah Maric sehingga bergelar jurulatih amat unik sekali. Beliau tidak pernah beraksi sebagai pemain bola sepak profesional.

Jadi siapakah jurulatih muda yang mendapat kepercayaan Rose dan RB Salzburg dan dianggap sebagai antara jurulatih moden di dalam pembikinan?

Minat mendalam terhadap bola sepak

Maric berasal dari sebuah perkampungan kecil yang terletak di Handenberg, kira-kira 30 batu di utara Salzburg.

Karier bola sepak Maric berakhir awal apabila kecederaan membantut perkembangan potensi beliau di usia remaja, ketika beraksi bersama TSU Handenberg- sebuah kelab divisyen ketujuh di Austria.

Sejak daripada itu, Maric beralih ke bidang kejurulatihan. Tamat pengajian di bidang psikologi, Maric melatih sebuah pasukan Bawah 17 di Handenberg, dan menjadi obses dengan taktikal-taktikal moden.

Bagaimanapun Maric mempunyai satu masalah ketika itu. Beliau tidak punyai rakan atau sesiapa pun untuk berkongsi idea taktikal hasil analisis yang dilakukan terhadap perlawanan-perlawanan dan falsafah pengurus-pengurus moden seperti Pep Guardiola atau Jurgen Klopp.

(Photo by Laurence Griffiths/Getty Images)

Perkara itu masuk akal. Handenberg hanya mempunyai populasi sekitar 1,000 penduduk dan kelab bola sepak utama, RB Salzburg terletak kira-kira 30 batu dari perkampungan tersebut.

Satu-satunya tempat Maric boleh meluahkan idea taktikal hasil analisis yang dilakukan oleh beliau ialah secara atas talian, sama ada melalui forum, atau perkongsian di media sosial.

Dari situ timbullah idea beliau untuk mewujudkan sebuah blog, yang telah mengubah kehidupan beliau 180°.

Spielverlagerung.com

Bersama lima orang rakan yang lain, Maric mengusahakan spielverlagerung.com.

Laman blog tersebut dijadikan oleh Maric dan rakan-rakannya sebagai platform untuk meluahkan idea taktikal dan analisis mereka di dalam bentuk penulisan.

Laman sesawang Spielverlagerung.

“Hanya ada lima orang pada mulanya yang berminat bercakap mengenai bola sepak, dan kami memulakannya bersama,” ujar Maric ketika mengimbau kembali bagaimana beliau menubuhkan Spielverlagerung pada 2011.

Spielverlagerung adalah sebuah blog atau laman sesawang antara yang terawal diwujudkan berkaitan analisis bola sepak, dan menjadi rujukan penggemar-pengemar taktikal bola sepak sejak hampir sedekad yang lalu.

Antara artikel menarik Spielverdagerung.

Ia menampilkan analisis terperinci di dalam pelbagai aspek bola sepak termasuk latihan, pemain, taktikal dalam perlawanan, dan falsafah bola sepak oleh pengurus-pengurus terkemuka dunia.

“Bagaimana Untuk Memecahkan Blok Pertahanan 4-5-1 Menggunakan ‘Juego De Posicion’ Pep Guardiola”, diterbitkan pada beberapa bulan lalu adalah antara artikel yang mendapat sambutan ramai.

“Ramai orang berpendapat penulisan sedemikian ialah salah satu cabang bidang kewartawanan. Tetapi itu bukan matlamat kami.

“Pada saya ia mengenai anda memiliki satu idea, dan kemudian melontarkan ianya untuk dikongsikan kepada ramai orang.

ABD0105_20180710 – SALZBURG – ÖSTERREICH: Co-Trainer Rene Maric am Dienstag, 10. Juli 2018, beim Fototermin mit dem Bundesliga Fußball Verein FC Red Bull Salzburg in Salzburg. – FOTO: APA/BARBARA GINDL _ – 20180710_PD5398

“Di kampung halaman, saya sukar untuk mendapatkan maklum balas mengenai apa sahaja. Di internet, anda boleh berbuat demikian. Ianya akan dibaca lebih dari 5,000 pembaca diikuti oleh 200 komen,” jelas Maric mengenai tujuan beliau mewujudkan Spielverlagerung.

Selain daripada untuk kepuasan diri, antara tujuan Rene Maric melakukan analisis-analisis taktikal ialah untuk berkongsi dengan mereka yang berminat menceburkan diri sebagai jurulatih, selain daripada kegunaan jurulatih-jurulatih amatur dari seluruh dunia.

Curi perhatian Thomas Tuchel

Pada satu hari, Rene Maric mendapat satu email daripada pembantu kepada Thomas Tuchel, yang pada ketika itu adalah pengurus Mainz 05.

Dari situlah titik permulaan kepada perubahan yang dilalui oleh Maric pada hari ini.

“Tuchel telah membaca salah satu analisis kami mengenai pasukan mereka dalam perlawanan menentang Bayern Munich pimpinan Guardiola dan berfikir: ‘Analisis ini sangat tepat. Bagaimana mereka boleh tahu?’.

MAINZ, GERMANY – OCTOBER 24: Head coach Thomas Tuchel of Mainz gestures towards the fans after winning 3:0 the Bundesliga match between FSV Mainz 05 and SC Freiburg at Bruchweg Stadium on October 24, 2009 in Mainz, Germany. (Photo by Vladimir Rys/Bongarts/Getty Images)

“Seterusnya kami dijemput ke Mainz, dan Tuchel bertanyakan kami pendapat, bagaimana kami melihat bola sepak, apa yang kami fikirkan tentang pasukan lawan, dan pelbagai perkara lagi mengenai bola sepak.

“Kami berbual selama dua jam, dan akhirnya kami (Spielverlagerung) diberikan satu tugasan untuk melakukan kerja analisis terhadap pasukan lawan untuk keseluruhan musim tersebut,” imbau Maric mengenai pengalaman beliau bersama Tuchel yang kini bersama Paris Saint-Germain.

Spielverlagerung terus dapat perhatian

Hasil kerja Rene Maric bersama Spielverlagerung terus mendapat perhatian. Kelab Liga Perdana Inggeris turut menghubungi beliau untuk analisis taktikal Guardiola dan gegenpressing yang diamalkan oleh Jurgen Klopp.

Ted Knutson, pemilik StatsBomb turut meminta bantuan Maric dalam melakukan analisis untuk mencari pemain yang sesuai untuk menyertai Brentford FC dan FC Midtjyland.

Buku tulisan Rene Maric.

Ketika melakukan tugasan tersebut, Maric terus melatih skuad Bawah 17 TSU Handenberg, dan menulis sebuah buku mengenai teknik kejurulatihan.

Kemudian tiba peluang yang lebih besar untuk anak muda ini.

Tarik perhatian RB Salzburg

Seorang lagi jurulatih berprofil tinggi yang tertarik dengan penulisan dan analisis Maric ialah Marco Rose.

Rose pada ketika itu adalah jurulatih skuad B-18 RB Salzburg. Maric dan Rose berjumpa beberapa kali untuk berbincang perihal taktikal bola sepak, dan metodologi yang digunakan di dalam latihan.

Rene Maric (kiri sekali), bersama Marco Rose (tengah).

Mereka boleh duduk bersama selama berjam-jam lamanya hanya untuk bercakap mengenai bola sepak.

Satu hari, Maric memberanikan diri untuk bertanya kepada Rose.

“Adakah anda memerlukan seorang pembantu jurulatih pada musim hadapan?”

Rose tidak teragak-agak untuk menjawab: “Ya. Sudah tentu. Mari kita lihat sejauh mana kita boleh bekerjasama.”


Gandingan Rose dan Maric nyata tidak sia-sia, dan terus membuahkan hasil.

RB Salzburg menjuarai UEFA Youth League pada 2016/17, pada musim perama Maric bergandingan dengan Rose. Antara lawan yang ditumbangkan mereka ketika itu ialah Manchester City, PSG, dan juga Barcelona.

Tidak ada kelab dari Austria yang pernah memenangi apa-apa pertandingan di bawah kelolaan UEFA sebelum itu.

Skuad utama RB Salzburg

Sedar akan bisa gandingan Rose dan Maric, RB Salzburg tidak membuang masa untuk melantik kedua-duanya sebagai pengendali skuad utama kelab tersebut menuju musim 2017/18.

Rose dilantik sebagai pengurus, manakala Maric dilantik sebagai pembantu jurulatih pertama di bawah bekas pemain pertahanan Hannover dan Mainz berusia 42 tahun itu.

Musim pertama mengendalikan RB Salzburg, Rose dan Maric muncul juara Austria Bundesliga. Tetapi pencapaian mereka di Eropah yang mencuri tumpuan.

Mara sehingga ke separuh akhir, RB Salzburg menewaskan Real Sociedad, Borussia Dortmund dan Lazio di peringkat kalah mati UEFA Europa League.

Bagaimanapun perjalanan mereka disekat oleh Marseille di separuh akhir selepas melalui masa tambahan yang mendebarkan.

Walaupun gagal menjuarai UEFA Europa League, prestasi musim lalu adalah pencapaian terbaik kelab berkenaan di pentas eropah setelah pernah muncul juara Piala UEFA pada 1990.

Musim ini RB Salzburg memulakan kempen dengan 10 kemenangan dari 10 perlawanan setakat ini di Austria Bundesliga.

Impian mereka untuk beraksi di UEFA Champions League musim ini bagaimanapun terkubur selepas ditewaskan oleh Red Star Belgrade di pusingan akhir kelayakan.

Namun Rose dan Maric masih boleh membantu RB Salzburg mara jauh dalam pertandingan Europa League, selepas menewaskan RB Leipzig dan Celtic dalam dua perlawanan pertama pertandingan itu setakat ini.

Rumusan

Dari minat yang mendalam kepada ilmu taktikal bola sepak, kepada bidang penulisan. Kini Rene Maric adalah pembantu jurulatih RB Salzburg.

Kisah seperti ini seolah-olah satu kisah dongeng di dalam dunia realiti.

“Tidak kira apa tahap sekalipun, sama ada di dalam bola sepak profesional atau amatur. Jika anda bertujuan untuk melakukan sesuatu demi membantu orang lain menikmati apa yang mereka lakukan, itulah perkara terbaik di dalam pekerjaan ini.”- Rene Maric.

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN