ANALISIS : 5 Kunci Taktikal Kuching City Yang Buat Perak ‘Gigit Jari’ Di Ipoh

Kuching City berjaya mencuri satu mata dalam perlawanan terakhir mereka dalam saingan Liga Premier musim ini, setelah mencatatkan keputusan seri 1-1 ketika menentang Perak di Stadium Perak di gelanggang lawan.

Keputusan ini tidak memberi sebarang kesan buat pasukan Kuching City yang terlebih dahulu mengesahkan tempat mereka ke saingan Liga Super musim hadapan secara merit, sekali gus menamatkan saingan Liga Premier musim ini di tangga ketiga.

Dalam analisis kali ini, saya akan kongsikan lima kunci taktikal Kuching City berdasarkan lima fasa permainan iaitu ketika mereka mendapat penguasaan bola, taktikal ketika pasukan tanpa penguasaan bola, transisi bertahan kepada menyerang, transisi menyerang kepada bertahan, serta organisasi menghadapi situasi bola mati bagi mencuri satu mata dalam perlawanan ini.

Kesebelasan Utama Perak 

Jurulatih Perak, Yusri Che Lah memulakan perlawanan ini dengan formasi 4-3-3, di mana G. Yuganes diturunkan selaku penjaga gol pasukan, sambil gandingan Sunday Afolabi-Borhan Rahaman mengemudi posisi centre back pasukan. Afif Asyraf serta Danish Haziq masing-masing bermula di posisi ‘fullbacks”.

Trio ‘midfield’ pasukan ditunjangi gandingan Syamim Yahya-S. Pavithran-Khairul Syafiq, manakala jentera serangan pasukan diketuai oleh gandingan Ferris Danial-Stipe Plazibat-Farid Khazali bagi merobek benteng pertahanan lawan.

Kesebelasan Utama Kuching City

Manakala bagi pasukan Kuching City pula, mereka mempertaruhkan formasi yang tidak pernah digunakan oleh mereka musim ini iaitu sistem 4-1-3-2, namun ketika perlawanan berlangsung, ‘shape’ serta kedudukan pemain mereka lebih menjurus kepada sistem 4-4-2.

Ia menggambarkan ‘flexibility’ taktikal yang diterapkan oleh jurulatih mereka iaitu Irfan Bakti Abu Salim serta keseluruhan barisan kejurulatihan pasukan musim ini.

Posisi penjaga gol masih diterajui oleh Shaiful Wazizi, manakala gandingan Yuki Tanigawa-Aylton Alemao semakin menunjukkan keserasian serta keberkesanan sebagai gandingan di posisi centre back pasukan. Rames Lai serta Che Arif Kamarudin masing-masing bermula di posisi ‘fullbacks’ kiri dan kanan.

Rafiezan Razali bertindak sebagai ‘pivot’ pasukan, sambil disokong oleh tiga ‘advanced midfielders’ menerusi gandingan Amir Amri-Adam Shreen-Wan Faiz Sulaiman.

Duo serangan pasukan diketuai oleh peledak utama mereka, Abu Kamara serta Hidhir Idris.

Fasa Penguasaan Bola Kuching City 

Perak dalam perlawanan ini mengambil pendekatan untuk menyusun organisasi pertahanan secara ”mid blocks”, dan mereka tidak akan melakukan sebarang tekanan tinggi yang agresif setiap kali Kuching City memperoleh penguasaan bola.

Pendekatan permainan ini membolehkan Kuching City menyusun gerakan serangan mereka daripada penjaga gol dengan tersusun dan berstruktur bagi melancarkan pergerakan bola ke kawasan pertahanan lawan.

Ketika mendapat penguasaan bola, Kuching City  akan bermain keluar dengan menyusun struktur secara ”2-2”, di mana mereka akan mencipta struktur berbentuk ”’kotak” di bahagian tengah, sambil menolak kedua-dua ”fullbacks” mereka untuk bergerak ke posisi yang lebih tinggi.

Organisasi ini bukan sahaja memberikan kelebihan dalam aspek bilangan pemain di fasa pertama serangan (numerical superiority), malah ianya turut membantu mereka dalam mencegah sebarang transisi serangan pihak lawan menerusi kawasan tengah apabila mereka kehilangan penguasaan bola.

Mereka turut menggunakan kemampuan Aylton selaku ”ball playing centre backs” yang bukan sahaja mampu melakukan ”progressive passes”, namun beliau turut mempunyai kemampuan untuk menyerang ruang di hadapan untuk membantu pergerakan bola ke garisan yang seterusnya.

Abu Kamara yang merupakan peledak utama pasukan, turut memainkan peranan penting dalam menyediakan ”attacking depth” buat pasukannya.

Meskipun kerap bermain dengan membelakangkan badannya dari gol lawan, Kamara kerap turun ke bawah untuk mencipta situasi ”overloading’, yang membolehkannya menerima hantaran bola, serta melakukan kombinasi permainan bagi mencari rakan sepasukan yang mempunyai kelebihan dari segi kedudukan badan serta posisi.

Kelebihan dari segi posisi serta kedudukan badan membolehkan pemain Kuching City mempunyai masa dan ruang untuk membuat sebarang tindakan susulan.

Dengan mengeksploitasi kemampuan fizikal pemain mereka seperti Kamara dalam aspek memenangi perebutan bola di udara, Kuching City turut menggunakan sebarang kesempatan menerusi ”open play crosses” bagi mencipta peluang jarngan gol mereka.

Mengeksploitasi ruang di belakang pertahanan lawan turut menjadi salah satu organisasi taktikal serangan Kuching City bagi melepasi blok pertahanan Perak yang disusun padat.

Fasa Tanpa Penguasaan Bola Kuching City

Kuching City musim ini begitu sinonim dengan organisasi pertahanan mereka yang disusun secara 4-4-2 ”mid blocks” bagi menutup ruang di bahagian tengah, serta memaksa pihak lawan mereka untuk banyak bermain di bahagian sisi padang.

Selain itu mereka juga akan memaksa lawan bermain secara negatif menerusi hantaran-hantaran panjang tidak efektif serta banyak melakukan hantaran-hantaran ke belakang.

Gambar di atas menunjukkan organisasi ”mid-blocks” pasukan Kuching City  ketika bertemu perak.

Organisasi bertahan secara ”mid blocks” ini turut membolehkan Kuching City kerap kali memperoleh peluang untuk melakukan transisi serangan yang pantas.

Merujuk kepada gambar di atas, pemain tengah Kuching City (dalam bulatan) dapat menduga arah hantaran bola pihak lawan, dan beliau bertindak pantas untuk ”memotong” hantaran tersebut.

Ketepatan jangkaan masa dan pergerakan bola meletakkan Kuching City kini berada dalam fasa transisi serangan.

Seperti yang dibincangkan sebelum ini, Kamara sentiasa menjadi pemain ”focal” setiap kali Kuching City berada dalam fasa penguasaan bola serta transisi serangan.

Gerakan transisi serangan ini berakhir dengan percubaan tidak tepat dari Kamara.

Pemain Kuching City turut mempamerkan respon positif setiap kali mereka kehilangan penguasaan bola, dimana pemain yang terdekat dengan pihak lawan yang memiliki penguasaan bola akan segera melakukan tekanan secara ”counter pressing” bagi memenangi semula penguasaan bola dengan kadar segera.

”Urgency” untuk memenangi semula penguasaan bola membolehkan Kuching City memperoleh peluang melakukan transisi serangan.

Kuching City berjaya memperoleh percubaan tepat menerusi gerakan transisi serangan ini.

Dominasi Situasi Bola Mati Kuching City 

18 daripada 30 gol yang yang dijaringkan Kuching City musim ini terhasil daripada situasi bola mati.

Lebih menarik, 8 gol daripada 11 gol yang dijaringkan oleh Kamara terhasil menerusi situasi bola mati sama ada sepakan penjuru, sepakan percuma, mahupun lontaran ke dalam!

Seakan menyedari ancaman yang dibawa Kuching City menerusi situasi bola mati, Perak sentiasa memastikan mereka bertahan dengan jumlah pemain yang ramai bagi mengawal ketat pemain-pemain Kuching City daripada menjaringkan gol.

Ketika situasi lontaran ke dalam ini berlaku, terdapat tujuh pemain Perak yang bertahan secara ”zonal”, manakala seorang lagi pemain mereka menyediakan ”support link” bagi menghalang sebarang percubaan luar kotak pemain-pemain Kuching City.

Meskipun dikawal dengan jumlah pemain Perak yang ramai, namun Kuching City tetap berjaya mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol menerusi situasi bola mati ini.

Komitmen Perak untuk bertahan dengan jumlah pemain yang ramai ketika situasi bola mati turut menyebabkan mereka menjadi kurang efektif setiap kali memperoleh transisi serangan.

Percaturan Yusri Che Lah terutamanya dengan memasukkan Wan Zack Haikal di separuh masa kedua permainan berjaya membuahkan hasil apabila larian-larian serta pergerakan pemain tersebut sedikit sebanyak berjaya memecahkan blok pertahanan Kuching City.

Malah, gol penyamaan Perak di penghujung permainan turut bermula daripada kombinasi beliau bersama penjaring gol, Luciano Guaycochea menerusi susunan pergerakan di bawah ini.

Setelah beberapa siri hantaran bola pendek, Perak melakukan ”switching play” untuk menggerakkan blok pertahanan Kuching City yang padat.

Guaycochea menerima hantaran lintang tersebut, dan menanduknya ke arah ruang untuk Zack.

Guaycochea kini terbuka dan mempunyai ruang untuk melakukan percubaan sejurus selepas menerima hantaran kembali daripada Zack.

Jaringan gol penyamaan Perak dihasilkan di penghujung permainan.

Keputusan seri ini membolehkan Perak memintas Skuad Projek FAM-MSN di tangga ke sembilan Liga Premier.

Manakala sentuhan magis menerusi gandingan Irfan Bakti-Sulaiman Hussin berjaya membawa Kuching City mengecapi kejayaan terbaik mereka apabila menduduki tempat ketiga terbaik liga dan layak ke Liga Super secara merit tahun depan.

Satu pencapaian yang wajar diraikan oleh para peminat bolasepak di Borneo!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN