Amirudin Shari Tampil Jelaskan Mengapa Kerajaan Selangor Halang FAS Guna Stadium Shah Alam

Isu penggunaan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang rasmi pasukan Selangor untuk saingan Liga Malaysia tampak seperti telah memasuki episod baru.

Setelah dikecam oleh ramai, terutamanya penyokong bola sepak Selangor, hari ini Y.B Tuan Amirudin Shari yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan, Kebudayaan Dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor tampil dengan penjelasan.

Penjelasan oleh Y.B Amirudin dikeluarkan melalui satu kenyataan media, dan turut disiarkan melalui laman media sosial Facebook beliau sebentar tadi.

Stadium Shah Alam

Kecam mainan politik pihak tertentu

Dalam kenyataan tersebut, Y.B Amirudin mengecam cubaan pihak tertentu yang cuba menggunakan sentimen politik apabila Kerajaan Negeri Selangor bertegas dengan FAS mengenai penggunaan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang rasmi pasukan Selangor.

Sambil menegaskan keputusan tersebut adalah demi menjaga kepentingan Kerajaan Negeri, beliau menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa tindakan tersebut mempunyai motivasi politik, bersifat dendam, fitnah, dan juga taktik untuk mengalihkan perhatian umum daripada kelemahan pentadbiran FAS sendiri.

Y.B Amirudin turut mengecam sesetengah pihak dan FAS yang memanipulasikan sentimen penyokong dengan memberikan maklumat yang kurang lengkap mengenai keseluruhan isu.

Kerajaan Negeri tidak pernah memilih kasih di dalam pembangunan sukan di Selangor, malah bertindak menaiktaraf Stadium Shah Alam untuk kegunaan Sukan SEA ke-19, dan mengeluarkan dana dengan segera bagi kerja baik pulih bagi memastikan skuad bola sepak negara beraksi di stadium berkenaan tanpa sebarang masalah.

Permulaan kemelut FAS

Menurut Y.B Amirudin, kemelut dalaman FAS bermula apabila segelintir daripada kepimpinan di dalam FAS menentang perubahan yang cuba dibawa oleh Presiden FAS ketika itu, iaitu Y.A.B Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, juga merupakan Menteri Besar Selangor.

Dalam satu mesyuarat, sebahagian daripada ahli kepimpinan FAS yang diketuai oleh Datuk Seri Subahan Kamal dikatakan mendesak Dato’ Seri Mohamed Azmin untuk menarik balik arahan pemberhentian Setiausaha Agung FAS, Rosman Ibrahim dan juga Bendahari FAS, Datuk S Sivasundram yang masing-masing menyandang jawatan tersebut pada ketika itu.

Walaupun dijelaskan perkara tersebut akan diperbincangkan pada agenda seterusnya menurut urutan minit mesyuarat, kumpulan yang membantah ini bertindak keluar daripada mesyuarat yang dipengerusikan sendiri oleh Presiden FAS.

Tindakan tersebut dianggap sebagai biadap dan tidak sepatutnya berlaku, mengambil kira kapasiti Y.A.B Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar kepada Kerajaan Negeri Selangor yang telah memberikan sepenuh sokongan terhadap FAS sehingga mampu merangkul kejuaraan Piala Malaysia pada 2015.

Disebabkan tindakan yang dianggap mencabar kedudukan Kerajaan Negeri dan angkuh kerana mengendahkan peraturan mesyuarat rasmi, Dato’ Pegawai Kewangan Negeri yang turut menghadiri mesyuarat tersebut mencadangkan agar segala kemudahan yang dinikmati oleh FAS ditarik balik serta merta.

Subahan Kamal

DYMM Sultan Selangor

Y.B Amirudin turut mengecam pihak pengurusan FAS pada hari ini kerana tidak menunjukkan taat setia dan hormat kepada DYMM Sultan Selangor.

Hal ini berikutan keengganan FAS melepaskan pemain untuk pasukan Pilihan Selangor, sekaligus bertindak memboikot Piala Sultan Selangor 2017.

Piala Sultan Selangor merupakan kejohanan tahunan yang disifatkan mempunyai nostalgia istimewa kepada DYMM Sultan Selangor.

Tindakan FAS ini dianggap biadap dan angkuh dan tidak mempunyai sifat bertimbang rasa terhadap kejohanan yang diadakan sekali setahun itu.

Walaupun demikian, Y.B Amirudin menyatakan kehairanan beliau kerana FAS tetap masih merasa mereka berhak untuk mendapatkan dana dan menggunakan aset milik Kerajaan Negeri.

Y.B Amirudin turut mendedahkan terdapat usaha daripada Pejabat DYTM Raja Muda Selangor untuk melakukan rundingan dengan FAS bagi menyelesaikan kemelut tersebut, namun akhirnya FAS seolah-olah tidak mengendahkan perjanjian yang dipersetujui.

Sumber: Berita Harian

Isu Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ)

Y.B Amirudin turut mengajak penyokong Selangor dan pemerhati bola sepak tanah air untuk merenungkan keputusan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang tidak membenarkan FAS menggunakan stadium tersebut sebagai halaman sendiri walaupun sebelum itu FAS telah mengumumkan akan berbuat demikian.

“Adakah peminat mahu menyatakan ini juga sebagai (keputusan) bermotifkan politik? Mengapakah DYAM Tengku Mahkota Johor selaku Presiden FAM tidak membenarkan FAS menggunakan SNBJ, sedangkan Dato’ Seri Subahan Kamal adalah salah seorang Timbalan Presiden FAM”?

Y.B Amirudin selepas itu turut bertanya adakah terdapat isu lain yang belum diketahui umum di sebalik larangan tersebut.

Letak jawatan 

Kerajaan Negeri Selangor turut menyatakan mereka tidak mempunyai sebarang masalah dengan pemain dang barisan kejurulatihan di dalam skuad Selangor, serta penyokong setia The Red Giants.

Malah pihak Kerajaan Negeri sentiasa membuka pintu rundingan kepada FAS. Oleh itu, Y.B Amirudin hanya menyalahkan pihak FAS kerana tidak mahu mengaku kebiadaban serta kesalahan sendiri.

Sebagai Kerajaan Negeri, keputusan tegas dan tidak popular seperti penggunaan Stadium Shah Alam terpaksa diambil demi menjaga maruah dan nilai sesebuah Kerajaan Negeri yang mendukung amanat rakyat.

Oleh kerana itu, Y.B Amirudin berpendapat agar pentadbiran FAS sedia ada melepaskan jawatan masing-masing sekiranya tidak mempunyai keupayaan sewajarnya, daripada terus melakukan propaganda politik demi kepentingan diri.

Ini bagi memberi laluan kepada mereka yang lebih berkemampuan dan profesional melakukan urus tadbir di dalam FAS tanpa sebarang motivasi politik.

Penutup

Buat masa ini, Stadium Shah Alam telah menjadi gelanggang rasmi PKNS F.C sejak semusim yang lalu.

Manakala skuad Red Giant telah disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, akan menggunakan Stadium Majlis Perbandaran Selayang untuk saingan Liga Malaysia 2018.

Bagaimanapun, perlawanan membabitkan pasukan Selangor di Selayang akan diadakan di sebelah petang mengambil kira lampu limpah di stadium berkenaan yang tidak menepati syarat untuk membenarkan aksi di sebelah malam.

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN