Kehadiran Zinedine Zidane jelas menggembirakan kem Real Madrid selepas mengharungi situasi tidak menentu ketika di bawah kendalian Julen Lopetegui dan Santiago Hernan Solari.
Bek kanan, Alvaro Odriozola turut tidak dapat menyembunyikan rasa gembira terhadap berita kepulangan legenda tersebut untuk kembali mengemudi Real Madrid.
Odriozola menyifatkan kehadiran Zidane seumpama kejayaan memenangi piala buat skuad Los Blancos itu.
Ternyata sumbangan hebat pengendali berusia 46 tahun terutamanya dalam membantu Madrid meraih tiga kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah berturut-turut itu masih belum dapat dilupakan.
”Seperti yang saya katakan, saya sentiasa menyanjunginya. Sangat indah dapat menyaksikan Zidane beraksi.”
”Sebagai seorang jurulatih, apa yang saya sukakanya adalah keakrabannya dengan para pemain.”
”Saya berfikir ketika ini, ketika hampir semua yang ada di dunia sepak bola telah dicipta, itu adalah perkara penting yang boleh diwujudkan oleh seseorang jurulatih.”
”Dengan keakraban tersebut, dia berupaya untuk mengekalkan pemain dalam keadaan motivasi tinggi.”
”Zizou sentiasa mengatakan perkara yang benar. Saya sangat menghargai kejujurannya itu. Kepada penyokong, kepulangannya adalah untuk memperbaharui harapan mereka.”
”Kepulangannya sama seperti memenangi piala. Kami sangat gembira,” jelas Odriozola lagi.