Tahun 2020 pastinya menjadi memori yang cukup indah untuk dikenang buat pemain muda Bayern Munich, Alphonso Davies yang baru sahaja menjadi pemain bola sepak pertama yang memenangi Anugerah Lionel Conacher sebagai Atlet Lelaki Terbaik Tahunan Kanada.
Pemain pertahanan kiri berusia 20 tahun itu teleh mengecapi kejayaan demi kejayaan pada musim penuh pertamanya bersama Bayern dengan meraih kejuaraan trebel Bundesliga, DFB-Pokal dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
Ia disusuli dengan menjulang trofi Piala Super DFL dan Piala Super Eropah pada awal musim ini dan dipilh sebagai Rookie Terbaik Bundesliga bagi musim 2019/20 menewaskan penyerang muda Borussia Dortmund, Erling Haaland.
Davies kemudiannya dinamakan sebagai Pemain Bola Sepak Terbaik Tahunan dan kejayaan peribadi terbesarnya adalah tersenarai dalam kesebelasan terbaik FIFA FIFPro bagi tahun 2020 yang berlansung pada minggu lalu.
https://twitter.com/ESSELKOBINA39/status/1340008338344570880?s=20
Ketua jurulatih skuad kebangsaan Kanada, John Herman jelas gembira dengan kejayaan anak buahnya itu dan menganggap ianya satu penghormatan buat sukan bola sepak di negara utara benua Amerika tersebut.
“Ia tahun yang cukup menakjubkan buat Alphonso dan dia berhak menerima anugerah tersebut. Dia telah meraih kejayaan di peringkat tertinggi dalam sukan bola sepak,” ujar Herman.
Davies dilahirkan di Buduburam, sebuah kem pelarian yang terletak di selatan Ghana selepas kedua ibu bapanya melarikan diri dari perang saudara di Liberia. Keluarganya dapat peluang berhijrah ke Kanada sewaktu Davies berusia lima tahun dan ditempatkan di Edmunton.
Dengan bakatnya yang menyerlah, kelab MLS Vancouver Whitecaps menandatanganinya ketika berusia 14 tahun dan mula membuat debut profesionalnya ketika berusia 15 tahun lima bulan.
Alphonso Davies: Kisah Pelarian Perang Afrika Yang Menakluk Eropah https://t.co/AoN28ksKid pic.twitter.com/7h7CaTWM3k
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) August 31, 2020
Walaupun beliau memegang kerakyatan Liberia mengikut ibu bapanya, beliau telah dipanggil untuk mewakili skuad bawah 15 tahun (B-15), B-18 dan B-20 Kanada. Pada 2017, beliau telah dipilih untuk menerima anugerah Pemain Terbaik Tahunan Kanada bawah 17 tahun (B-17).
Beliau akhirnya mendapat kerakyatan penuh setelah lulus ujian dan mengangkat sumpah sebagai warganegara Kanada dan membolehkannya beraksi untuk skuad senior negaranya.
Selepas berrhijrah ke Bayern Munich pada Januari 2019, beliau membuat penampilan pertamanya pada bulan berikutnya dengan masuk sebagai pemain gantian pada lewat permainan ketika menentang Schalke.
“Anugerah ini amat bermakna buat saya,” ujar Davies yang ditemubual oleh bundesliga.com. “Sejujurnya dari padangan peribadi, masih banyak perkara yang perlu saya perbaik dalam corak permainan saya.
“Di luar sana masih ada pemain pertahanan kiri yang lebih baik daripada saya dalam beberapa sudut, tetapi saya berbangga apabila menerima pengiktirafan sebesar ini.”
Kredit Foto: Canada Soccer