Alkisah Pengadil, Manuel Ott & Nafuzi Zain Hiasi Kemenangan Pertama PDRM

pengadil nafuzi zain manuel ott Kedah liga super 2023 kalah

Alkisah di Alor Setar untuk perlawanan ketiga Liga Super 2023 adalah lebih menjurus kepada tiga individu – pengadil, Manuel Ott dan Nafuzi Zain.

PDRM FC telah menamatkan penantian tiga mata selepas dua perlawanan, menewaskan Kedah Darul Aman tetapi banyak kisah berlaku di Darul Aman.

Jaringan tunggal Bruno Suzuki sudah cukup untuk menamatkan dua kemenangan berturut-turut Kedah dan menariknya di halaman lawan.

Mungkin terlalu pedih untuk menerima kekalahan dan dikatakan mutu pengadilan yang teruk, sebahagian penyokong dilihat berkumpul dan menanti pengadil keluar dari stadium sejurus perlawanan berakhir.

Aksi di babak pertama tampak gagal menghadirkan jaringan selepas kedua-dua pasukan gagal memanfaatkan peluang yang ada. PDRM terlebih dahulu memberi ancaman dengan dua percubaan awal sebelum aksi berusia 10 minit dan diikuti dengan kebangkitan penguasaan oleh tuan rumah.

Walaupun memiliki deretan peluang selepas itu, jelas ketumpulan jentera serangan Kedah selain kecemerlangan penjaga gol pelawat, Ramadhan Ab Hamid menyaksikan tiada gol terhasil sehingga babak pertama berakhir.

Memasuki sejam aksi, dua drama berlaku di dalam dan luar padang yang membawa kepada kad merah dilayangkan oleh pengadil perlawanan, Azizan Saat Ariffin. Pertama kepada kapten, Manuel Ott pada minit ke-60, diikuti kepada pengendali pasukan, Nafuzi Zain, 10 minit kemudian.

Ott menerima arahan keluar padang daripada pengadil selepas didapati menumbuk pemain PDRM apabila pemain itu cuba melengahkan sepakan percuma yang diperolehi Kedah dengan tidak memberi bola kepadanya.

Drama berlanjutan pula dengan situasi di mana Nafuzi dilihat menghampiri dan memeluk pengadil ke-4 – difahamkan cuba berkomunikasi dengan pengadil di padang menggunakan interkom yang ada pada pengadil ke-4.

Ada pula cerita mengatakan beliau dilihat mencekik pengadil tersebut.

Berikutan tindakannya itu, Nafuzi terus menerima layangan kad merah.

Dua kad merah yang dilayangkan pengadil buat Ott dan Nafuzi membawa cerita perlawanan ini ke dimensi baharu selepas terikat tanpa jaringan.

 

Dua drama tidak sepatutnya berlaku ini dilihat merosakkan malam Sang Kenari. Mereka seolah-olah hilang fokus dengan apa yang telah berlaku.

The Cops mengambil peluang apabila di minit ke-75, Bruno meledak gol pertama perlawanan selepas tiga kali percubaan berturut-turutnya, membantu mereka mendahului perlawanan yang suhunya agak panas.

Tiada apa yang mampu dilakukan mereka lagi untuk bangkit apabila beraksi tanpa dua individu penting untuk mencorak pasukan iaitu Ott dan Nafuzi.

Adakah faktor tekanan terlalu mahukan jaringan dan hilang fokus selepas kad merah menjadi punca kegagalan mereka dalam aksi pada malam ini?

Segalanya boleh dirangkumkan sekali. Penguasaan perlawanan dengan deretan peluang yang gagal diterjemahkan dengan gol memberi tekanan tambahan buat para pemain tuan rumah dan refleksinya adalah Ott gagal mengawal dirinya sehingga dilayangkan kad merah yang tidak sepatutnya.

Tindakan Nafuzi mengganggu pengadil ke-4 juga dilihat amat tidak wajar menjadikan situasi semakin tidak memihak kepada Sang Kenari ketika itu.

Ia menambah tekanan ke atas pemain yang sudah dalam tekanan belum menghasilkan sebarang gol selepas lebih sejam perlawanan berlalu.

Bercakap di sidang media, penolong jurulatih, Victor Andrag mengulas tentang faktor Kedah gagal bangkit. “Saya rasa mungkin itu salah satunya [faktor emosi pemain]. Kerana pemain terlalu mahukan jaringan gol. Sebab kita sedang main di laman sendiri,” ulasnya tentang faktor kekalahan.

Emosi mungkin faktor lain, tetapi desakan dalam diri pemain memburu gol menyebabkan sedikit sebanyak permainan kita tidak teratur pada malam ini. Sebab semua pemain mahu mencari gol,” tambahnya lagi tentangnya.

Jaringan Bruno yang kembali semula ke Liga Malaysia selepas berkelana seketika ke Thai League musim lalu menjadi pemisah kedua-dua pasukan, malah pemain yang tidak memberi impak dalam dua aksi awal itu menjadi penjaring sulung mereka di perlawanan ketiga Liga Super, pada malam tadi.

Kekalahan tersebut menyaksikan kedudukan Kedah berpotensi untuk dipintas oleh Sri Pahang yang bakal berdepan Selangor FC pada petang ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN