Permulaan cemerlang Liverpool pada aksi sulung Liga Perdana Inggeris 2019/20 menewaskan Norwich City 4-1 sedikit ‘dicacatkan’ dengan kecederaan penjaga gol utama mereka, Alisson Becker.
Penjaga gol berusia 26 tahun itu terpaksa dikeluarkan pada minit ke-39 selepas mengalami kecederaan ketika mahu melakukan sepakan gol.
Alisson kemudiannya digantikan dengan penjaga gol yang baru sahaja direkrut iaitu Adrian.
Perkembangan terkini itu mengakibatkan Alisson terpaksa diketepikan untuk perlawanan Piala Super Eropah bertemu Chelsea di Vodafone Stadium, Besiktas, Rabu ini. Berita itu disahkan sendiri pengurus pasukan, Jurgen Klopp.
”Ia adalah kecederaan betis. Dia (Alisson Becker) merasakan seolah-olah ada sesuatu yang menghentaknya daripada belakang.”
”Dia tidak bersedia untuk perlawanan Rabu ini. Saya boleh mengatakan sedemikian ketika ini.”
”Ia sesuatu yang tidak baik tetapi kami akan mencari jalan penyelesaian dan memandang ke hadapan,” ujar pengendali kelahiran Jerman itu.
Dalam perkembangan lain, Klopp tampak yakin dengan kemampuan Adrian bagi mengisi kekosongan sementara yang ditinggalkan Alisson itu.
”Dia seorang yang sangat yakin. Dia datang ke sini dan saya tidak merasakan dia hanya ingin duduk di bangku simpanan untuk beberapa tahun. Dia membuat dirinya bersedia.”
”Jadi ya, itulah keadaannya tetapi sekiranya anda berada dalam situasi sebegini, untuk memberikan seseorang pemain yang bersedia dalam liga, adalah seorang yang berpengalaman.”
”Dia berusia 32 tahun, seorang yang tenang, baik dengan kakinya, Jadi banyak perkara yang baik.”
Kredit foto: Sky Sports