Pemain jentera serangan Arsenal, Alexandre Lacazette menjelaskan bahawa beliau langsung tidak cemburu dengan kejayaan peribadi diraih rakan sepasukannya, Pierre-Emerick Aubameyang.
Sebaliknya beliau mahu fokus dalam usaha menamatkan musim ini dengan membawa pulang trofi Piala Europa.
Aubameyang dinobatkan selaku penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris 2018/19 bersama-sama Sadio Mane dan Mohamed Salah selepas mereka masing-masing menjaringkan 22 gol.
Lacazette pula menjaringkan 13 gol dalam 35 penampilan untuk meletakkannya di tangga ke-10 senarai penjaring terbanyak liga, berkongsi tempat bersama lima pemain lain.
”Saya, sudah tentu tidak cemburu dengan sesiapa sahaja. Saya hanya mahu memenangi trofi, begitu juga dengan Auba.”
”Sudah tentu ia sentiasa bagus untuk beraksi bersama tetapi apabila seorang daripada kami bermain dan seorang lagi di bangku simpanan, anda hanya perlu membantu pasukan apabila anda boleh melakukannya.”
”Jurulatih mengetahui bahawa kami mahu beraksi bersama tetapi sudah tentu dia perlu membuat pilihan dan kami juga perlu menghormatinya. Beraksi bersama-sama Auba sentiasa merupakan keseronokan buat saya.”
Duo peledak berbisa The Gunners itu sekali lagi disandarkan harapan yang tinggi oleh Unai Emery bagi merobek gawang Chelsea pada awal pagi nanti di Baku, Azerbaijan.
Kemenangan sememangnya menjadi keutamaan buat Arsenal untuk The Gunners menempah slot ke Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.