Susulan pengumuman Petr Cech yang akan bersara pada penghujung musim ini nyata mengejutkan rakan sepasukannya di Arsenal, Alex Iwobi.
Iwobi yang kini berusia 22 tahun, berpendapat bahawa penjaga gol kelahiran Republik Czech tersebut masih mampu untuk beraksi sehingga empat tahun lagi.
Cech sebelum ini merasakan sudah sampai masanya untuk beliau menamatkan karier selepas 20 tahun bergelar pemain bola sepak profesional.
Walaupun kedudukan selaku penjaga gol pertama Arsenal sudah dirampas Bernd Leno, Iwobi merasakan Cech masih mampu untuk beraksi.
”Saya amat terkejut kerana dia (Petr Cech) sentiasa kelihatan begitu baik dalam sesi latihan dan setiap kali beraksi dalam sesuatu perlawanan.”
”Ketika dia mengumumkan yang akan bersara, saya merasakan seperti ‘wow, anda masih mempunyai tiga atau empat tahun lagi untuk beraksi.”
”Tetapi kami perlu menghormati keputusan yang dibuat olehnya dan kami perlu melakukan yang terbaik bagi memastikan dia akan menamatkan kariernya dengan cukup baik.”
Petr Cech sememangnya antara penjaga gol yang terbaik pernah dimiliki dalam saingan Liga Perdana Inggeris apabila beliau kini merupakan penjaga gol paling banyak mengumpul ‘clean sheets’.
Beliau tidak dibolosi pada 161 perlawanan (termasuk bersama Chelsea) dan mengekori rapat di tempat kedua adalah Joe Hart dengan 127 perlawanan.