Penyokong skuad tok gajah ketika ini kelihatan begitu teruja apabila bekas bintang import mereka dari Nigeria, Dickson Nwakaeme dikatakan akan kembali menyarung jersi skuad Tok Gajah bagi menghadapi musim baharu Liga Malaysia 2019.
Dickson Nwakaeme yang pernah beraksi dengan Pahang selama 2 musim pada tahun 2014 dan 2015 itu menjadi wira skuad tok gajah ketika final Piala Malaysia dan Piala FA 2014. Gandingannya bersama seorang lagi penyerang import, Matias Conti di bahagian serangan ketika itu sentiasa memberi ancaman berbahaya kepada pemain lawan.
Beliau meninggalkan Pahang setelah Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) ingin ‘menjenamakan’ pasukan mereka dengan DNA pemain muda.
Semalam kepulangan Nwakaeme di bumi Malaysia yang diberi jolokan ‘Orang Besi’ disambut sendiri oleh pengurus Pahang, Dato Suffian Awang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekaligus menguatkan lagi khabar angin mengenai kemasukan pemain itu dalam skuad tok gajah.
Ia turut diperkukuhkan lagi dengan dua video yang dimuat naik oleh Nwakaeme menerusi Insta Story di Instagramnya semalam.
Video pertama menunjukkan Nwakaeme memandu keretanya dengan memakai jersi pasukan Pahang edisi 2015 bersama kasut bola dan menuju ke padang untuk menjalani latihan berhampiran rumahnya di Nigeria.
Video berdurasi sembilan minit 20 saat itu menyaksikan Nwakaeme bertutur dalam bahasa Melayu dengan mempelawa jurulatih Pahang, Dollah Salleh bermain bola bersamanya.
“Hei bos, bos datang sinilah. Bos Dollah, datang sini main bola di Nigeria,” katanya.
Malah, Dollah Salleh turut menyatakan jersi nombor 10 skuad Tok Gajah sudah disediakan dan hanya ada satu sahaja iaitu milik Dickson Nwakaeme sendiri.
Difahamkan, selepas tiba di KLIA, beliau terus dibawa ke Kuantan dan dijangka akan mula menjalani latihan pada hari ini di Taman Gelora, Kuantan pukul 5 petang.
Sehingga artikel ini ditulis, tinggal 15 hari lagi untuk genap 2 tahun beliau tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif setelah melakukannya buat kali terakhir bersama kelab Ligue 1, SCO Angers.
Penampilan Nwakaeme di Angers SCO dianggap sebagai satu kegagalan apabila penyerang bertubuh sasa itu telah menjaringkan gol sendiri sehingga menyebabkan kelabnya itu tewas 1-2 kepada AS Monaco pada 24 September 2016.
Pada usia beliau yang kini sudah memasuki umur 33 tahun dan tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif sejak bulan jun 2017 mungkin akan menyukarkannya untuk kembali menemui rentak seperti dulu.
Namun, Pahang yang terkenal sebagai ‘kilang memperbaiki pemain lama’ mungkin ada cara untuk mengembalikan semula prestasi terbaiknya. Ketika artikel ini ditulis, pihak Pahang FA sudah mengesahkan mengenai kemasukan pemain tersebut.