“Dulcius ex asperis” atau kesenangan selepas kesusahan, adalah motto bagi puak Ferguson di Scotland.
Nama “Ferguson” berasal dari nama Kristian dari mazhab Anglikan, yang berasal dari keturunan keluarga Fergus nama yang wujud sejak zaman Celtic Kuno.
Dari East Sterlingshire ke Aberdeen
Bercakap mengenai Liga Scotland atau Scottish Premiership, Old Firm Derby pasti perkara pertama yang terlintas di minda peminat bola sepak.
Ia tidak lain tidak bukan melibatkan dua kelab gergasi Scotland iaitu Celtic dan The Rangers.
Pertembungan dua gergasi Scotland ini sering diselebungi dengan pertembungan sosio-agama antara penganut mazhab Katolik dan Protestan yang turut mewarnai sejarah sosio-politik dan pembentukan Scotland itu sendiri.
Lupakan Old Firm! Kandungan sejarah bola sepak Sotland yang paling hebat dijelmakan dari puak Ferguson kelahiran Glasgow, hari ini dikenali sebagai Sir Alex Ferguson!
Daripada East Stirlingshire pada tahun 1974 sehingga ke Manchester United pada tahun 2013, 39 tahun penuh suka dan duka buat seorang pengurus bola sepak yang pencapaiannya mungkin, terhebat pernah dicapai oleh mana-mana pengurus bola sepak dunia secara individu.
Menguruskan pemain dengan pendapatan ₤6 seminggu hinggalah penjualan Cristiano Ronaldo kepada Real Madrid dengan nilai ₤80 juta.
Menguruskan kelab kerdil seperti St. Mirren dengan pemain sambilan bergaji hanya ₤15 seminggu sebelum ke Aberdeen dengan gaji maksimum pemain pada kadar siling ₤200 seminggu.
Secara matematiknya, boleh dirangkumkan kerjaya hebat Ferguson adalah daripada mengurus seorang pemain dengan pendapatan ₤6 seminggu kepada pemain bergaji ₤6 juta setahun!
Tidak ramai yang mengetahui apakah yang membuatkan Manchester United tertarik untuk menyunting pengurus berbangsa Scotland ini pada tanggal 6 November 1986.
Setelah hanya bersama pasukan Scottish Second Division iaitu East Stirlingshire dari Julai hingga Oktober 1974, beliau dilamar oleh St. Mirren.
4 tahun bersama St. Mirren, beliau berjaya mengemudi kelab tersebut untuk menjulang kejuaraan Scottish First Division pada musim 1976/1977, Ferguson kemudiannya berhijrah ke Aberdeen untuk musim 1978/1979.
Memecah dominasi Old Firm
Ferguson dikenali sebagai seorang pengurus muda dan berpotensi pada era itu.
Saingan bersama Aberdeen di Scottish Premier Division nyata berbeza.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1903, kelab bola sepak ini tidak pernah jatuh ke divisyen bawahan dalam hierarki bola sepak Scotland sehingga kini. Harapan peminat Aberdeen yang sering memenuhi stadium bernama Pittodrie pada ketika itu tinggi menjulang.
Ferguson nyata tidak menghampakan. Lupakan dominasi kelab Old Firm sebagai saingan tersengit dan gemilang bola sepak Scotland.
Tiada dominasi dari kelab-kelab Old Firm. Ferguson telah merevolusikan bola sepak Scotland sehingga munculnya kelompok yang diberi nama sebagai New Firm.
Bola sepak Scotland pada 1980-an diwarnai oleh perseteruan hebat antara Aberdeen dan Dundee United yang ketika itu turut dibimbing oleh seorang lagi pengurus handalan iaitu Jim McLean.
Dalam tempoh itu, Aberdeen menjulang kejuaraan Scottish Premier Divison sebanyak tiga kali, Scottish Cup empat kali dan satu gelaran Scottish League Cup.
Aberdeen di bawah pimpinan Ferguson juga mendominasi Eropah dengan memperoleh gelaran European Cup Winners’ Cup pada musim 1982/1983 dan European Super Cup pada 1983/1984.
Musim 1982/1983 disifatkan sebagai musim terbaik dalam sejarah kelab dengan jolokan nama The Dons.
Nama-nama seperti Mark McGhee, Gordon Strachan, Alex McLeish, Willie Miller bersama-sama pemain muda meningkat naik ketika itu John Hewitt dan Andy Watson adalah sandaran Ferguson pada era New Firm mendominasi bola sepak Scotland.
Aberdeen mengegar Eropah
Pada musim itu, Aberdeen bersaing sengit untuk kejuaraan liga.
Bagaimanapun Aberdeen terpaksa berpuas hati menduduki tangga ketiga dengan perbezaan satu mata di belakang juara Dundee United, dan dibezakan hanya dengan jaringan gol dengan Celtic yang menduduki tangga ketiga liga.
Di saingan peringkat Eropah, skuad bimbingan Ferguson dipertemukan dengan Bayern Munich di peringkat suku akhir.
Bayern Munich yang dibarisi pemain bintang seperti Uli Hoeness dan Karl-Heinz Rummenigge telah menewaskan Totenham Hotspur di pusingan kedua European Cup Winners’ Cup.
Seri 0-0 dalam perlawanan pertama di Munich, Aberdeen wajib mencatat kemenangan di Pittodrie untuk mara ke peringkat seterusnya.
Perlawanan timbal balik cukup mendebarkan itu dimenangi oleh Aberdeen dengan jaringan 3-2 setelah dua kali ketinggalan.
Peminat Aberdeen pasti tidak dapat melupakan jaringan McLeish hasil taktikal set piece Ferguson di padang latihan.
Gol kemenangan Aberdeen dijaringkan oleh Hewitt untuk Aberdeen mara ke peringkat separuh akhir.
Di peringkat separuh akhir, Aberdeen mudah menyingkirkan wakil Belgium, Waterschei Thor dengan agregat 5-2.
Halangan terakhir lagi sukar menanti Aberdeen di perlawanan akhir. Aksi akhir di Gothenburg, Sweden menemukan skuad Aberdeen dengan gergasi Sepanyol – Real Madrid.
Tamat 90 minit perlawanan, kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 1-1.
Bagaimanapun, Aberdeen mencatat sejarah tersendiri apabila jaringan emas di masa tambahan Hewitt menjulang mereka sebagai juara European Cup Winners’ Cup buat pertama kali dalam sejarah kelab.
10 hari kemudian, Alex Ferguson membawa Aberdeen menjulang Scottish Cup menewaskan Rangers 1-0 juga melalui masa tambahan.
Selepas musim bersejarah tersebut, Ferguson terus memimpin Aberdeen memenangi lapan lagi trofi utama yang dipertandingkan.
Tidak mudah untuk Aberdeen melepaskan Ferguson ke Manchester United pada mulanya. Tetapi pemergian Ferguson turut meninggalkan legasi yang hebat di Aberdeen.
Dan pada tarikh 6 November 1986, Manchester United mengumumkan ketibaan Alex Ferguson sebagai pengurus baru mereka.
Bak kata frasa Bahasa Inggeris, “The Rest Is History”.