Alasan Mengapa Man United Bakal Kena ‘Lauk’ Dengan Man City

Ada sesuatu yang aneh sebenarnya berkait sidang media Ole Gunnar Solskjaer menjelang Manchester derby yang akan dilangsungkan di Old Trafford malam ini.

Pengurus Manchester United itu sepertinya lebih kerap membincangkan tentang pasukan mana sebenarnya yang lebih besar di bandar Manchester.

Sebaik topik itu muncul, Solskjaer terpaksa mengakui tentang bagaimana Manchester City begitu dominan sejak sedekad terakhir ini, dan turut menjelaskan tentang bagaimana rendahnya standard Manchester United pada ketika ini.

Ketika era kendalian Sir Alex Ferguson, Red Devils jauh mengatasi Manchester City dengan United lebih baik dari semua segi.

Namun semuanya berubah sejak legenda terhebat sepanjang zaman kelab itu mengumumkan persaraannya dari dunia bola sepak pada penghujung musim 2012/13.

Manchester United sejak dari itu sekadar menjadi bayang-bayang Manchester City dengan Red Devils jauh ketinggalan dari segi kejayaan dan kejuaraan.

Walau Ole Gunnar Solskjaer memiliki rekod yang cemerlang ketika bertemu Man City, namun harus diakui standard The Citizens jauh lebih tinggi berbanding mereka pada musim ini.

Manchester United akan turun sebagai pasukan underdogs bertemu Manchester City

Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer akan bermain di halaman sendiri, namun mereka jelas sekali bukan pasukan kegemaran untuk menang berdasarkan prestasi semasa skuad.

Persembahan buruk Manchester United sejak kebelakangan ini memperlihatkan mereka sering dibelasah teruk di halaman sendiri, termasuk ketika diaibkan oleh Liverpool sebelum ini.

United tidak dinafikan lagi sememangnya memiliki barisan pemain berkelas dunia, namun Solskjaer gagal untuk memanfaatkan skuadnya dan ia berbeza dengan Pep Guardiola.

Pengurus dari Norway itu bersama pembantunya gagal untuk menetapkan corak permainan, sistem atau gaya permainan yang boleh menggerunkan pasukan lawan.

Chelsea, Liverpool atau Manchester City kesemua mereka mempunyai gaya permainan tersendiri. Namun hal itu tidak ada pada Manchester United walau Solskjaer sudah tiga tahun mengendalikan kelab.

Beliau bahkan melalui musim ini dengan sangat teruk dan tidak konsisten.

Red Devils terlalu bergantung kepada persembahan individu para pemain, maka ketika Bruno Fernandes atau Cristiano Ronaldo tidak berada di tahap persembahan terbaik mereka, maka United jelas dalam masalah.

Melihatkan semua hal seperti itu, sepertinya skuad kendalian Pep Guardiola berpotensi besar untuk datang ke Old Trafford, ‘ratah’ United dan pulang membawa tiga mata berharga.

Manchester United yang ‘gemalai’ berisiko untuk diaibkan sekali lagi

Sudah hampir tiga bulan sejak bermulanya musim baru ini, namun tidak ada satu perlawanan pun kecuali aksi bertemu Leeds (perlawanan pembukaan) yang memperlihatkan United berjaya mengawal permainan sepenuhnya.

Mereka jelas sekali ada mencatatkan kemenangan, namun dari kesemua perlawanan itu, tidak ada yang memperlihatkan United mendominasi pasukan lawan sepanjang perlawanan tersebut.

Mereka sering bergelut untuk menguasai permainan dan huru hara ketika mahu menyerap asakan dari pasukan lawan.

Lihat saja bagaimana Liverpool mengaibkan United, bukan hanya dari segi jumlah gol, bahkan anak-anak buah Jurgen Klopp berjaya mengayam-ayamkan barisan pemain Red Devils seolah mereka sekadar menjalani latihan sahaja di Old Trafford.

Kenyataannya, hal yang sama berkemungkinan akan berlaku ketika United berdepan dengan Manchester City pada malam ini.

The Citizens lebih kejam berbanding pasukan lain, yang mana mereka lebih ghairah menjaringkan gol jika pasukan lawan membuka ruang untuk mereka melakukannya.

Pep Guardiola susah untuk menghentikan anak-anak buahnya dari terus menyerang walau mereka sudah mendahului perlawanan itu dengan kedudukan yang selesa.

Melihatkan hal itu, tidak mustahil United akan jadi mangsa seterusnya ditambah pula City sedang dalam rentak persembahan terbaik, sementara pasukan lawan sedang bergelut dengan masalah prestasi.

“Ia merupakan perlawanan yang penting, dan dengan kemenangan, kami masih berpeluang untuk merapatkan jurang dengan pasukan yang ada dihadapan kami.”

Jelas Ole Gunnar Solskjaer ketika sidang media sebelum perlawanan menurut The Guardian.

Pengurus Manchester United itu kemudiannya menambah lagi dengan menyatakan:

“Kita harus terus berusaha untuk mengutip mata, jauhkan dari hal yang kami lakukan ketika bertemu Liverpool dan lupakannya. Perlawanan bertemu Tottenham Hotspur jauh lebih bagus, tapi kita kena perbaiki dari semua aspek dalam perlawanan tersebut.”

“Ini baru permulaan November, jadi kita tidak akan bercakap tentang kedudukan pada akhir musim, cuma setiap perlawanan dalam liga sekarang satu hal yang besar, dan jika kami konsisten kutip tiga mata, maka ia kerja yang sempurna.”

United bergelut masalah kecederaan

Keyakinan jelas sekali satu hal yang United tidak miliki pada ketika ini kerana mereka akan turun tanpa kelibat beberapa pemain utama yang terpaksa diketepikan kerana masalah kecederaan.

Edinson Cavani terpaksa direhatkan kerana dibelenggu masalah kecederaan ketika aksi bertemu Tottenham Hotspur sebelum ini, dan beliau tidak boleh diturunkan dalam perlawanan bertemu City pada malam ini.

Raphael Varane juga turut terpaksa diketepikan kerana beliau turut dibelenggu masalah kecederaan dan ia merupakan masalah besar untuk Ole Gunnar Solskjaer.

Harry Maguire dan Luke Shaw pada ketika ini sedang bergelut dengan masalah prestasi dengan ketua pasukan United itu sering melakukan kesilapan yang menyebabkan gawang golnya di bolosi.

Luke Shaw tidak dinafikan berkesan ketika membantu menggerakkan jentera serangan, namun beliau turut sering melakukan kesilapan ketika bertahan dan ia bakal mengundang padah ketika bertemu pasukan seperti City.

Melihat kepada semua hal ini, Manchester United berpotensi besar untuk dibedal oleh Manchester City pada malam ini.

Adakah Manchester City akan membirukan kota Manchester pada malam ini? Atau United bakal membuat kejutan? Bincangkan diruangan komen.

Sumber:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN