Sang Kenari Dan Helang Merah Yang Terbang Sama Tinggi Dan Sama Gah

Kenari ataupun Helang Merah? Ia pernah menjadi satu topik panas untuk penyokong pasukan Kedah.

Ramai mereka masih terlalu sentimen dengan panggilan Kenari yang telah melekat dengan pasukan mereka?

‘Di mana suara burung kenari
Selalu merayu menghibur hati
Mengapa kau tidak menyanyi
Merajukkah dikau kenari?’

Itulah sebahagian daripada bait lirik lagu “Di Mana Suara Burung Kenari”.

Lagu tersebut nyanyian biduanita negara Allahyarhamah Puan Sri Datin Amar Salmah Ismail atau sinonim dengan panggilan Primadona Saloma.

Bagi pencinta burung, Kenari adalah spesis burung yang unik. Spesis ini punyai pesona keindahan dengan nilai yang tinggi.

Di Egland, Norwich menggunakan nama Kenari ini kerana sifat burung ini yang sangat cekal serta memiliki ‘nyanyian’ yang mempersonakan.

Tidak hairanlah satu masa dulu, burung kenari pernah diangkat sebagai maskot pasukan bola sepak negeri Kedah Darul Aman yang sinonim dengan warna hijau dan kuning.

Ciri pesona yang sama terdapat pada spesis Burung Kenari.

Sentimental dan Sejarah Silam

Walaupun burung kenari tidak terdapat dalam logo asal pasukan, ia tetap mempunyai “sentimental value” bagi penyokong – penyokong Kedah era semi pro.

Logo Bunga Alamanda Kedah FA

Bersama logo dan maskot Kenari, pasukan Kedah pernah memenangi treble berganda pada musim 2007 dan 2008.

Ianya satu pencapaian hebat yang belum pernah dilakukan mana-mana pasukan sehingga kini.

Bunga alamanda dan Sang Kenari turut mewarnai zaman gemilang pasukan Kedah ketika era semi-pro.

Logo, Sang Kenari dan kata keramat “Biar Jasa Jadi Kenangan” juga adalah legasi Bapa Pembangunan Bola Sepak Kedah, iaitu Allahyarham Dato’ Paduka Haji Ahmad Basri bin Mohd Akil.

Era Baru Skuad Helang Merah

Pada musim 2014, Kedah FA mengubah logo pasukan beridentitikan helang merah dalam rangka transformasi bola sepak negeri.

Ia sekaligus menamatkan khidmat Sang Kenari sebagai maskot pasukan.

Sedikit sebanyak ia turut mencetuskan bantahan di kalangan penyokong bola sepak Kedah.

Pada pendapat sesetengah pihak, logo lama dan maskot kenari terkandung sejarah jatuh bangun bola sepak negeri jelapang padi itu dan ia tidak wajar diganti begitu sahaja.

Logo Helang Merah pada jersi musim 2017.

Protes

Sayangnya penyokong Kedah kepada Sang Kenari kerana mereka sudah disemai dengan semangat ‘Biar Jasa Jadi Kenangan.

Ada juga suara yang menyatakan langkah ini seolah cubaan memadamkan jasa dan legasi Allhyarham Dato Ahmad Basri Akil yang banyak berjasa kepada bola sepak Kedah.

Di sebalik bantahan penyokong, pengurusan bola sepak Kedah FA tetap meneruskan langkah transformasi bola sepak Kedah termasuk mengubah logo dan maskot pasukan.

“Orang lain dah ada imej singa, pahlawan dan sebagainya. Sekurang-kurangnya kita tonjolkan simbol yang menunjukkan kegagahan kita dalam menghadapi lawan di gelanggang.

“Jadi sebab itu Helang Merah dipilih,” ujar penaung Persatuan Bola Sepak Kedah pada ketika itu, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir untuk menenangkan kumpulan penyokong yang membantah perubahan tersebut.

Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir

Mujurlah ia melibatkan anak negarawan tersohor yang juga antara tokoh yang sangat dihormati oleh para penyokong Kedah.

Itulah sebab penyokong Kedah terpaksa menerima walaupun di dalam hati mereka, Sang Kenari ada ruang yang sangat istimewa dalam jiwa mereka.

Secara teknikalnya, bendera Kedah memang dominan dengan warna merah. Manakala burung helang sinonim dengan imej negeri Kedah dari segi perlancongan.

Tidak ada rekod menyatakan wujudnya spesis helang merah di dalam ensiklopedia. Bagaimanapun, Helang Merah sering diguna pakai sebagai satu simbolik kekuatan sesebuah unit.

Pasukan tempur udara Amerika misalnya, “America’s Secret MIG’s Squadron” turut berlogokan helang merah. Sebuah pasukan bola sepak di Surinam turut menggunakan lambang yang sama.

Walaupun sudah tidak lagi menggunakan gelaran Kenari, Kedah masih mengekalkan warna Hijau-Kuning sebagai warna utama pasukan mereka.

Aksi mengatasi kontroversi

Namun begitu pencapaian pasukan era Helang Merah telah mengatasi isu kontroversi tersebut.

Jadi, penyokong Kedah lebih tertumpu kepada topik keputusan dan aksi pemain di dalam padang berbanding dengan polemik logo.

Mereka kembali semula ke Liga Utama pada musim 2016. Di bawah logo dan maskot yang baru, Kedah FA muncul naib juara Piala Malaysia pada 2015 dan menjuarainya pada musim 2016.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Kedah FA adalah pesaing terkuat pasukan JDT di peringkat domestik sejak langkah transformasi ini diambil.

Kenari atau Helang Merah ? sokongan tetap sama!

Sang Kenari, gemilang lampau Hijau Kuning atau Helang Merah pula dalam langkah besar di persada bola sepak Malaysia.

Walaupun kenari sudah ‘tamat kontrak’ namun ia tetap mekar subur di bibir peminat bola sepak Kedah dan di negara kita.

Ada penyokong masih selesa dan dalam proses untuk move on untuk menerima Helang Merah buat masa ini.

Ada pula yang mengambil pendekatan untuk tidak membincangkannya dan lebih terbuka di dalam hal ini.

Apapun, tidak bermakna mereka tidak suka dengan Helang Merah ataupun Kenari, sebaliknya ia melibatkan nilai sentimental.

Yang pasti mereka adalah penyokong Kedah sejati. Kenari atau Helang Merah, kedua-duanya masih lagi burung yang gemar terbang ke Bukit Jalil ataupun Shah Alam!

Kami mahu mendengar dari penyokong Kedah, adakah jiwa anda masih lagi kuat ke arah Kenari ataupun sebaliknya?

Baca juga: Adakah Alexandre Lacazette Bakal Sertai Atletico Madrid Musim Hadapan?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN