Melaka United sekali lagi terpalit dengan masalah gaji tertunggak walaupun dilihat ‘bernafsu besar’ mendapatkan pemain-pemain baharu pada musim ini.
Bangkai gajah tak boleh ditutup dengan nyiru. Meskipun isu tersebut dilaporkan selesai beberapa hari lalu, ia masih belum cukup untuk menutup masalah yang sedang melanda pasukan tersebut yang dibimbingi akan berulang pada bulan-bulan akan datang.
Gaji pemain Melaka United langsai, CEO nafi bayaran ‘sangkut’ tiga bulan https://t.co/fGQlKpDIZL pic.twitter.com/szQmZFhJTK
— Melakahariini (@Melakahariini) April 9, 2022
Ironinya, kira-kira setahun yang lalu skuad Sang Kancil ini sudah pun berdepan dengan masalah yang sama sehingga menerima hukuman larangan mendaftar pemain daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Apakah cara terbaik untuk mengendalikan kelab bola sepak secara mampan untuk jangka masa panjang?
Jawapannya terletak kepada asas utama iaitu pengurusan kewangan yang baik terutamanya hal yang melibatkan kos operasi pasukan seperti gaji pemain serta pegawai, pengangkutan, penyewaan venue perlawanan dan sebagainya.
Untuk musim ini, Melaka United telah mengisi kesemua lima slot pemain import dengan mengekalkan Sony Norde dan Adriano Narcizo selain membawa masuk penjaring terbanyak Liga Super 2021 Ifedayo Omosuyi, pemain pertahanan Filipina, Justin Baas dan pemain sayap Ghana, Emmanuel Oti.
‘Ulang Sampai Abang Jamil Mampos!’ – Melaka United Dilanda ‘Kemurungan Gaji’ Lagi
Seperti sedia maklum, peratusan terbesar dalam kos operasi sebuah kelab bola sepak profesional adalah gaji pemain skuad utama dan semua orang tahu gaji pemain import pastinya jauh lebih tinggi berbanding pemain tempatan.
Kelab ini juga tidak menyambung khidmat Zainal Abidin Hassan selaku ketua jurulatih dan begitu ghairah mendapatkan khidmat jurulatih asing Risto Vidakovic. Malangnya selepas empat perlawanan, masih tiada sebarang hasil positif yang mampu dijelmakan.
Datuk Wira Justin Lim menerusi syarikatnya KenTeam Sdn Bhd selaku pemilik Melaka United diakui telah banyak menyelesaikan masalah kewangan yang melanda pasukan tersebut sejak musim lalu.
Justeru itu, beliau seharusnya menghayati peribahasa Melayu yang menyebut ‘ukur baju di badan sendiri’, iaitu berbelanja mengikut kemampuan dan bukannya mengamalkan sikap ‘biar papa asal bergaya’.
Nasihat ini menekankan agar kita lebih berhati-hati dalam menguruskan perbelanjaan pasukan dan tidak salah untuk mencontohi langkah atau pendekatan yang digunakan oleh satu lagi kelab yang bersaing di Liga Super iaitu Petaling Jaya (PJ) City.
‘Contohi PJ City’ – Jangan Galak Ambil Pemain Import Kemudian ‘Mengemis’ Minta Bantuan
Pendekatan PJ City untuk menggunakan 100 peratus khidmat pemain tempatan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) sejak musim lalu merupakan strategi serampang dua mata yang ternyata telah memberi manfaat yang cukup besar.
Bukan sahaja bakat-bakat tempat dapat ditonjolkan, malah ia adalah cara terbaik bagi mengelak pasukan daripada berdepan masalah kewangan yang serius seperti mana yang dihadapi oleh Melaka United ketika ini.
PJ City juga telah menamatkan saingan Liga Super di tangga ketujuh pada musim lalu, kedudukan yang lebih baik berbanding lima pasukan lain yang menggunakan khidmat pemain import.
Jika tidak menggunakan 100 peratus pemain tempatan sekalipun, kuota lima pemain import itu bukanlah semesti perlu diisi sepenuhnya. Mungkin selepas melihat kemampuan pasukan hanya dua atau tiga pemain import sahaja yang diikat.
Pemain-pemain import Melaka United musim 2022:
🇳🇬🇧🇭 Ifedayo Olosegun
🇭🇹 Sony Norde
🇧🇷 Adrian Narcizo
🇬🇭 Emmanuel Oti
🇵🇭 Justin Baas#LigaSuper2022 pic.twitter.com/oLTyHpm9Pn— Sukanz. (@sukanzcom) January 25, 2022
Melakukan kesilapan yang sama berulang kali ini tidak ubah seperti sikap Pak Pandir. Jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran sehingga impaknya kita akan menyaksikan Melaka United terhumban ke Liga Premier pada penghujung musim ini.
Lagu Seloka Pak Pandir ini wajar dihayati.
Pandai, pandai, wahai Pak Pandir,
Anak dipijak, dagang dijinjing;
Kucing dibunuh, tikus dibela,
Harta habis, badan tergadai.
Mendengar geladak dagang,
Tak sedar bertelanjang;
Mendengar guruh di langit,
Air tempayan dicurahkan.
Mulut kena suap pisang,
Buntut kena cangkuk onak;
Gunting lipatan makan di hujung,
Pak Pandir juga yang menanggung.
Apa didengar geladak dagang,
Gelagak rambutan jantan;
Orang berbunga, dia berbunga,
Orang berbuah, tapi dia haram.
Kilat memancar, hujan tak jadi,
Awak juga yang menanggung;
Silap-silap menabur budi,
Kita rugi orang yang untung.