Pengurus Chelsea, Frank Lampard nyata kagum melihat persembahan yang dipamerkan Christian Pulisic pada aksi pra-musim menentang FC Red Bull Salzburg, kelmarin.
Perlawanan yang berlangsung di Red Bull Arena Salzburg itu menyaksikan Pulisic menjaringkan dua gol untuk membantu Chelsea mencatatkan kemenangan 5-3.
Tiga lagi jaringan The Blues dihasilkan oleh Ross Barkley, Pedro dan Michy Batshuayi sementara itu Jérôme Onguéné dan dua gol daripada Takumi Minamino menceriakan tuan rumah.
”Saya sangat kagum melihat bagaimana cara dia (Christian Pulisic) menjaringkan gol.”
”Sebagai pemain sayap dalam saingan Liga Perdana Inggeris, dia harus menyesuaikan diri dengan liga itu.”
”Dia masih muda tetapi memiliki potensi yang besar dan saya gembira dengannya.”
Chelsea menandatangani pemain berusia 20 tahun kelahiran Pennsylvania, Amerika Syarikat itu pada Januari lalu dan kemudiannya dipinjamkan semula ke Borussia Dortmund sehingga akhir musim 2018/19.
Kehadiran Pulisic mungkin dapat memberikan sedikit kelegaan buat kem Chelsea selepas The Blues kehilangan khidmat ayam tambatan, Eden Hazard ke Real Madrid.
Tambahan pula kelab yang berpangkalan di London itu tidak dibenarkan untuk membuat sebarang pembelian pemain baharu (kecuali pemain remaja) bagi dua jendela perpindahan (Mei 2019 dan Januari 2020).
Chelsea bakal berdepan laluan berliku pada aksi sulung Liga Perdana Inggeris 2019/20 apabila akan berkunjung ke Old Trafford bagi berdepan Manchester United, 11 Ogos ini.
Kredit foto: Chelsea Football Club