Akram Mahinan Antara 5 Pemain Yang Boleh Dibawa Harimau Malaya Ke Piala AFF Suzuki

Akram Mahinan Piala AFF 2018 Malaysia Thailand Harimau Malaya tengah bertahan

Skuad eksperimental Harimau Malaya telah menamatkan dua aksi di Jordan dengan nota kekalahan – 0-4 ke atas Jordan dan 1-5 ke atas Uzbekistan dan kini menuju ke persediaan akhir sebelum Piala AFF Suzuki 2020.

Boleh kita katakan, dua aksi persahabatan skuad negara menentang Jordan dan Uzbekistan diwakili oleh set kedua dan bukanlah skuad utama kerana ramai dikalangan pemain tersebut baru sahaja meraih kaps pertama.

Antara pemain yang telah meraih kaps bersama skuad kebangsaan untuk trip di Amman, Jordan kali ini adalah Arif Fadzilah, Ariff Farhan, Quentin Cheng, Hakimi Abdullah, Mukhairi Ajmal dan juga Fayadh Zulkifli.

Hanya penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz dan Al-Hafiz Harun yang tidak mendapat peluang untuk turun beraksi.

Selain itu, pengendali skuad kebangsaan juga ada memanggil semula pemain yang lama kehilangan tempat bersama skuad kebangsaan seperti Khairul Fahmi, Baddrol Bakhtiar dan Faisal Halim untuk diuji semula.

Tan Cheng Hoe turut memanggil semula Akram Mahinan yang disisihkan sejak Oktober 2019 dan sepanjang pusingan kelayakan Piala Dunia 2022. Gandingannya semalam, Kenny Pallraj pula kali terakhir menyarung jersi skuad negara adalah pada Jun 2019, ketika menewaskan Timor Leste 5-1 dalam kelayakan Piala Dunia 2022.

Seperti kata Cheng Hoe di sidang media maya hari ini, beliau berpuas hati dengan apa yang dilihatnya. Tujuan beliau di sana adalah untuk membesarkan ‘kolam’ pilihan pemain buatnya untuk saingan Piala AFF nanti.

Jadi, siapa dikalangan pemain-pemain tersebut yang dirasakan layak untuk diberikan peluang lagi untuk tampil di saingan Piala AFF Suzuki 2020 yang bakal berlangsung pada awal Disember depan di Singapura.

Arif Fadzilah (Bek kiri, 25 tahun)

Pemain yang boleh dianggap menyerlah di posisi bek kiri dalam saingan liga dua musim kebelakangan ini, namun baru melalui fasa pengenalan bersama skuad negara. Ia tidaklah terlalu buruk dan tidak terlalu baik.

Namun, seperti yang kita lihat, jika Corbin Ong mengalami kecederaan atau digantung perlawanan sebagaimana di pusingan kelayakan Piala Dunia pada Jun tempohari, kepada siapa lagi mahu disandarkan harapan?

Keyakinan permainan yang ditampilkan ketika berdepan dua pasukan gagah di Timur Tengah ini wajar menarik perhatian pengendali skuad kebangsaan. Malah, beliau dilihat langsung tidak kekok walaupun kali pertama bersama pasukan – sebagai pemain gantian berdepan Jordan dan kesebelasan utama berdepan Uzbekistan.

Akram Mahinan (tengah bertahan, 28 tahun)

Majoriti penyokong tidak gemarkan permainannya, namun mereka mungkin tidak melihat peranan apa yang dimainkan Akram Mahinan. Jika anda mahukan hantaran memukau dan meledak gol darinya sebagaimana Safiq Rahim, anda mungkin tidak memahami peranan yang digerakkannya di dalam padang sehingga kini.

Ketika di pusingan kelayakan Piala Dunia tempohari, jelas kita kehilangan seorang ‘destroyer’. Azam Azih, Syamer Kutty Abba, Brendan Gan, Nazmi Faiz dan Liridon Krasniqi bukanlah seorang pemain tengah defensif.

Mahu tidak mahu, pemain sebegini harus berada dalam pasukan. Kenny Pallraj juga adalah pemain sepertinya dalam skuad ini, namun Akram Mahinan jelas lebih berpengalaman. Selain mereka, dalam Liga Super musim ini, kita juga dapat melihat Khairu Azrin melakukannya bersama Penang FC dan Amirul Hisyam di Kedah.

Mukhairi Ajmal (tengah menyerang, 19 tahun)

Pemain tengah Selangor FC ini tampil sembilan kali dalam kesebelasan utama daripada 20 penampilannya di Liga Super musim ini. Beliau juga diberikan ruang beraksi di pentas antarabangsa dan tampak tidak kekok.

Permainannya diasah oleh coach Abu Bakar Fadzim di PKNP FC sebelum berhijrah ke Selangor dan menurut bekas pengendalinya itu, beliau memiliki permainan yang matang dan pemain muda yang hampir sempurna. Memiliki kecerdasan intelektual (IQ) tinggi dan mampu membuat keputusan segera adalah kekuatannya.

Faisal Halim (sayap menyerang, 23 tahun)

Selepas agak lama tidak beraksi – kali terakhir pada Jun 2019 ketika menang ke atas Nepal, Faisal Halim turun dengan berani dan lincah menyaingi pemain-pemain dari Timur Tengah dalam kedua-dua perlawanan.

Malah dikhabarkan kelibatnya telah mendapat perhatian ejen kelab dari Sepanyol dan Portugal selepas aksi menentang Jordan. Ini disahkan oleh ejennya, Joe Estrada Sports Agency apabila dilihat mengucapkan tahniah kepada pemain tersebut di laman Twitternya, joe berbatov dan mendapat liputan daripada Berita Harian.

Merupakan antara pemain yang meraih minit permainan terbanyak dalam saingan Liga Super musim ini dengan beraksi dalam semua 22 perlawanan, kelibatnya memang amat dinantikan berbanding pemain-pemain lain.

Hakimi Abdullah (sayap menyerang, 21 tahun)

Sayangnya kita tidak dapat melihat aksinya lebih lama menentang Uzbekistan. Ketinggalan tiga gol, Cheng Hoe mengambil keputusan untuk mengeluarkannya untuk memasukkan Syafiq Ahmad di babak pertama.

Sebelum dikeluarkan, ada momen menarik yang diciptanya bersama Arif Fadzilah di sebelah kiri skuad negara, namun ianya gagal disudahkan. Mungkin jika dibiarkan beliau terus beraksi, kita akan melihat permainan yang lebih baik dan kombinasi mantap gandingan Terengganu FC di jentera sebelah kiri skuad kebangsaan.

Sebagai penjaring terbanyak untuk pemain bawah 23 tahun dengan lima gol dalam 20 penampilan, pemain ini ada sesuatu yang boleh diberikan kepada skuad kebangsaan di pentas Piala AFF pada Disember depan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN