Pengendali Thailand, Akira Nishino dikhabarkan gagal dihubungi selepas pulang terus ke Jepun sebaik berakhirnya kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Perkhabaran itu dikongsi oleh SMM Sport menerusi kenyataan daripada Presiden Persatuan Bolasepak Thailand (FAT), Somyot Poompunmuang. Akira Nishino tidak menghadirkan diri dalam sesi perjumpaan pihak pengurusan baru-baru ini.
Thailand menamatkan kempen kelayakan pusingan kedua tersebut di kedudukan ke-4 Kumpulan G dengan mengumpul sembilan mata. Lapan mata di belakang Vietnam di kedudukan kedua dan tiga mata di belakang Malaysia di kedudukan ketiga.
Dalam tiga aksi terakhir mereka di Dubai, mereka terikat 2-2 menentang Indonesia, tewas 1-3 kepada UAE sebelum tewas 0-1 kepada Malaysia. Mereka membawa skuad yang besar ke UAE iaitu seramai 42 pemain, namun dirundung kegagalan.
42 Pemain Di Kem Thailand, Tetapi Mereka Tetap Gagal Sehingga Dikritik https://t.co/c2B1o6LoCs
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) June 16, 2021
Menurut Somyot, bukan sahaja tidak dapat dihubungi malah Akira Nishino juga tidak memberikan tugasan kepada pembantunya di Thailand seperti kebiasaannya. “[Akira] Nishino pulang ke Jepun dan tidak meninggalkan sebarang pesan,” jelasnya.
Ini yang menyebabkan mereka terpaksa melantik pengganti sementara, Anurak Srikerd untuk mengendalikan skuad B-23 Thailand yang dalam persediaan untuk kelayakan Piala Asia B-23, Sukan SEA dan juga Piala AFF Suzuki 2021, penghujung tahun ini.
“Selalunya selepas sesuatu kejohanan antarabangsa berakhir, pihak FA Thailand dan pengurusan pasukan akan duduk bersama dan berbincang mengenai penilaian pasukan, sama ada ia baik atau sebaliknya,” jelas Somyot kepada SMM Sport.
“Semua staf teknikal harus hadir tidak kira jurulatih, pembantu jurulatih, staf logistik termasuklah jurubahasa pasukan. Sehingga saat ini Nishino tidak memberi sebarang jawapan dan memaksa pihak FAT melantik Anurak sebagai pengganti sementara.
Is Akira Nishino sacked? FootballSiam is saying Anurak Srikerd is replacing Nishino.https://t.co/kh5H96GE3X pic.twitter.com/icTD2JgC0V
— Svein Falk Lorentzen 🇧🇻🇹🇭 (@SveinFalk) June 23, 2021
“Ini bagi memastikan persediaan skuad kebangsaan dan B-23 tidak terjejas menjelang kempen kelayakan Piala Asia B-23, yang besar kemungkinan akan dilangsungkan di Thailand, termasuk Sukan SEA dan Piala AFF Suzuki,” jelas Somyot lagi.
Akira Nishino juga sepatutnya akan memantau prestasi para pemain Thailand dalam kempen AFC Champions League (ACL) 2021 yang ketika ini sedang berlangsung di Thailand. Thailand telah menjadi tuan rumah untuk aksi tiga kumpulan.
Ketika ditanya oleh pihak media, mengapa tidak menggunakan sidang video untuk sesi perjumpaan tersebut, Somyot sekali lagi menjelaskan bagaimana untuk melakukannya apabila Akira Nishino langsung gagal untuk dihubungi sehingga ke saat ini.
Walaubagaimanapun, Somyot dilihat mengelak dan tidak mahu menjawab kepada persoalan mengenai masa depan pengendali kelahiran Jepun itu bersama Gajah Perang apabila mengatakan beliau masih ada kontrak sehingga Januari 2022.
Mula mengendalikan Thailand sejak Jun 2019, beliau telah disandarkan harapan besar oleh FAT, namun kegagalannya di Sukan SEA 2019 dan kemudian di kempen kelayakan Piala Dunia telah mengecewakan para penyokong Thailand secara keseluruhannya.
Baca lagi artikel menarik mengenai perkembangan bola sepak:
42 Pemain Di Kem Thailand, Tetapi Mereka Tetap Gagal Sehingga Dikritik
Chanathip Songkrasin, Bintang Thailand Yang Telah Di’Manga’kan
Rasai Pengalaman Berbeza Menonton UEFA EURO 2020™ Dengan Astro Go Interactive Mode