Memiliki ketinggian 169 sentimeter bukan penghalang buat penyerang skuad Bawah 23 tahun negara, Akhyar Rashid berhadapan dengan pemain bertubuh besar daripada pasukan Timur Tengah dalam Kejohanan AFC B23 di China, tahun hadapan.
Pemain yang berasal dari Kedah itu mengakui sudah bersedia berdepan cabaran pertahanan ‘Pak Arab’ yang dilihat memiliki kelebihan dari segi fizikal dan kekuatan berbanding pemain skuad kebangsaan.
“Saya tidak terlalu memikirkan mengenai kelebihan lawan dan rasa tidak perlu takut walaupun tahu saiz tubuh mereka jauh lebih besar.
“Berbekalkan pengalaman di peringkat antarabangsa sebelum ini, saya optimis untuk memberikan yang terbaik dan akan kekal fokus untuk membantu pasukan negara jika diberi kepercayaan ke temasya itu nanti,” katanya kepada Berita Harian.
Akhyar antara lima pemain skuad Bawah 19 tahun negara yang dipilih menyertai latihan pusat dua minggu di Mokpo, Korea Selatan sebelum mengharungi tiga aksi persahabatan di negara itu.
Dengan tiga lagi pemain bakal digugurkan Datuk Ong Kim Swee bagi senarai akhir 23 pemain ke China, pemain berusia 18 tahun itu perlu bersaing dengan lima rakan penyerang termasuk rakan sepasukan skuad B-19, Hadi Fayyadh untuk merebut tempat ke kejohanan terbabit yang menyaksikan mereka bakal berdepan Iraq, Jordan dan Arab Saudi.
Mengulas lanjut mengenai latihan pusat fasa kedua di Korea Selatan, Akhyar menegaskan faktor cuaca tidak seharusnya mendatangkan masalah kepada dirinya.
“Awal bulan lalu, saya pernah beraksi di Korea Selatan untuk Kelayakan Kejuaraan B19 AFC, jadi berkemungkinan besar saya dapat menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk di sana,” katanya.