Pemain sayap lincah negara, Akhyar Rashid pastinya menjadi antara pemain yang paling gembira selepas membantu Harimau Malaya mencipta kebangkitan penting ketika mereka mengikat Syria dengan keputusan seri 2-2.
Malaysia memulakan kempen aksi persahabatan Tier 1 mereka pada bulan ini di Chengdu, China dengan positif selepas mengikat pasukan yang berada di ranking lebih baik iaitu Syria dengan keputusan seri serta menampilkan aksi cukup cemerlang.
Keputusan Masa Penuh
Perlawanan Antarabangsa Tier 1 | Rabu, 6 September 2023
MALAYSIA 🇲🇾 2-2 🇸🇾 SYRIA
⚽️ Akhyar Rashid 51' Darren Lok 85'
⚽️ Mardik Mardikian 12' Yassin Samia 41' #FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/q8mRYYmeQz— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) September 6, 2023
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium East-Town Football Park, Chengdu, Malaysia terlebih dahulu ketinggalan 0-2 selepas tampil dengan sedikit tidak konsisten terutama sekali di posisi pertahanan.
Walaupun begitu, beberapa perubahan bijak dibuat oleh Kim Pan-gon memastikan skuad kebangsaan kembali berada di kemuncak prestasi untuk mencipta kejutan dengan dua gol di separuh masa kedua.
Kemasukan Akhyar Rashid yang menggantikan khidmat Arif Aiman Hanapi dianggap sebagai detik penting untuk kebangkitan Malaysia, setelah pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu meledak gol sulung Malaysia menerusi umpanan cantik daripada Endrick dos Santos.
Malah, secara keseluruhan Akhyar berjaya membentuk gandingan dengan cukup baik bersama Faisal Halim serta Darren Lok untuk mengkucar kacirkan pertahanan Syria di babak separuh masa kedua.
Darren Lok menutup hasrat Syria untuk memperoleh kemenangan pertama di Chengdu dengan cemerlang selepas rembatannya memastikan Malaysia mengikat lawan seri 2-2.
Menurut Akhyar, beliau melafazkan rasa syukur kerana berjaya membantu Malaysia mencipta kebangkitan terhadap lawan sambil dirinya mengharapkan momentum tersebut kekal untuk aksi seterusnya.
“Pertama kali, syukur Alhamdulillah kerana kita dapat cipta kebangkitan penting 2-2 dan saya momentum positif ini dapat dikekalkan.
“Pada pandangan saya, separuh masa pertama sebenarnya dah cukup bagus tetapi kita lebih baik untuk separuh masa kedua. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong Malaysia,” jelas Akhyar.
Comeback! 🔥🔥
Akhyar Rashid ⚽️ 51'
Darren Lok ⚽️ 85'MALAYSIA 🇲🇾 2-2 🇸🇾 SYRIA#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/4bAZkpOmkh
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) September 6, 2023
Menurut Darren Lok pula, beliau mengakui Malaysia jauh lebih baik di separuh masa kedua selepas banyak peluang berjaya dicipta serta hampir memberi rasa kecewa sepenuhnya buat pasukan lawan.
Untuk aksi seterusnya, Malaysia bakal berdepan tuan rumah iaitu China yang juga memiliki kedudukan ranking lebih bagus untuk menamatkan aksi terakhir skuad kebangsaan di luar negara.
Tumpuan pastinya akan diberi kepada Kim yang akan membentuk rencana baharu untuk memastikan Malaysia tidak akan pulang dengan tangan kosong serta terus menggembirakan para penyokong setia Harimau Malaya.