Sebelum ini kami pernah mengeluarkan sebuah artikel berjudul ‘Dibangunkan Menentang Arus Logik, Ini Cara Croatia Bangunkan Bola Sepak Mereka’ mengisahkan bagaimana Croatia bergelut untuk membangunkan bola sepak mereka yang hanya dimulakan pada awal 90an’.
Kali ini kami mengajak pembaca kami untuk menilai sendiri bagaimana Dinamo Zagreb membina dinasti bola sepak Croatia secara sendirian sejak beberapa dekad yang lalu.
Bola sepak Croatia
Saul Isaksson-Hurst ialah seorang jurulatih akademi bola sepak yang cukup berpengalaman. Pernah bersama Tottenham Hotspur selama 6 tahun, beliau kemudiannya turut pernah berkidmat bersama akademi bola sepak milik Chelsea selama 4 tahun.
Ketika berkunjung ke Croatia untuk melengkapkan sebuah kajian, Saul agak terkejut dengan apa yang bola sepak Croatia miliki. Begitu juga formula yang mereka gunakan untuk tujuan pembangunan.
Ini kerana pembangunan bola sepak di Croatia hanya berpaksikan kepada sebuah kelab bola sepak, iaitu Dinamo Zagreb.
Akademi bola sepak Dinamo Zagreb
Pada 2011, Dinamo Zagreb pernah dianugerahkan sebagai salah sebuah dari 6 Akademi Pembangunan Bakat Muda terbaik di Eropah oleh UEFA. Barcelona, Inter Milan, Sporting Lisbon, Ajax dan Arsenal adalah lima pemenang lain pada ketika itu.
Untuk memenangi anugerah UEFA tersebut, sesebuah akademi bola sepak akan dinilai melalui 4 perkara:
- Memenuhi maksud akademi dari persepsi antarabangsa
- Organisasi
- Laluan ke pasukan utama
- Methodologi
Akademi milik Dinamo tidak pernah putus menghasilkan bakat baru bola sepak untuk Croatia. Di Piala Dunia 2018, 14 daripada 23 pemain skuad Croatia adalah produk Dinamo Zagreb.
Zagreb ialah bandar terbesar di Croatia dengan keluasan dua kali ganda Melaka. Manakala kawasan urban Zagreb hanya sedikit kecil dari bandaraya Johor Bahru.
Namun ini tidak pernag menghalang Dinamo dari menjadi pengeluar utama pemain bola sepak profesional kepada 31 liga bola sepak utama di seluruh dunia.
Jadi bagaimana Dinamo Zagreb menghasilkan ramai pemain berkelas dunia seperti Luka Modric, Vedran Ćorluka, Zvonomir Boban, Robert Prosinečki, Dejan Lovren, Niko Kranjčar , Mateo Kovačić dan Alen Halilović?
Objektif Dinamo Zagreb
Dinamo Zagreb ialah sebuah selling club. Ini bermakna mereka menghasilkan pemain untuk dieksport keluar.
Salah satu objektif mereka ialah dengan mengaut keuntungan dengan menjual pmain dan prospek muda kepada salah sebuah kelab di kalangan lima liga utama di Eropah.
Di akademi milik mereka, terdapat 5 objektif utama digariskan:
- Dinamo tegas dalam melahirkan generasi pemain yang mengamalkan gaya hidup yang sihat. Ini kerana mereka sedar akan budaya (gaya hidup tidak sihat) yang menjadi ancaman kanak-kanak pada hari ini. Melalui satu kajian oleh kerajaan Croatia baru-baru ini menunjukkan kanak-kanak di negara berkenaan mempunyai purata berat badan berlebihan sebanyak 1.5 kg.
- Sikap terpuji juga adalah salah satu sifat yang dituntut oleh Dinamo di kalangan pelatih mereka. Untuk itu, pembangunan kanak-kanak secara holistik turut diberikan penekanan.
- Merealisasikan impian kanak-kanak yang gemar dengan aktiviti sukan khususnya di dalam bola sepak. Objektif ini banyak berkait dengan objektif pertama di atas. Jurulatih akan memantau laporan setiap pelatih sebulan sekali.
- Pendidikan sehingga ke tahap tertinggi turut diberikan penekanan oleh Dinami untuk pelatih mereka. Laporan akademik turut dititik berat oleh jurulatih.
- Menyediakan pelatih dan pemain untuk siap beraksi untuk pasukan utama. Untuk objektif ini direalisasikan, empat objektif terdahulu hendaklah dilalui dengan jayanya oleh setiap pelatih.
Sistem permainan
Di peringkat awal pembabitan pelatih di akdemi, sistem permainan tidak diberikan keutamaan. Sebaliknya, pelatih hanya didedahkan kepada prisio asas bola sepak.
Ideanya ialah untuk memberikan peluang kepada pelatih untuk mengawal bola, dan membiarkan mereka bebas untuk melakukan apa sahaja.
Pemain akan diberikan posisi tanpa peranan spesifik untuk mengelakkan keadaan huru hara di atas padang. Namun tiada siapa peduli akan hasil akhir di peringkat awal. Sebaliknya pemain digalakkan untuk melakukan ekspresi diri dan kreativiti ketika beraksi.
Tiada had berapa sentuhan yang boleh dilakukan pelatih terhadap bola, sama ada ketika perlawanan atau latihan. Perkara sedemikian hanya akan menghadkan kreativiti pelatih.
Peringkat kedua (Bawah-12)
Apabila pelatih menjangkau usia 11 tahun, mereka dianggap telah tamat latihan fasa pertama. Kini teknik yang dinamik dan fungsi permainan mulai diberikan penekanan khusus.
Pada usia 12 tahun, pengalaman perlawanan sebelas vs sebelas mulai didedahkan. Pelatih akan didedahkan dengan formasi 4-1-4-1 dan juga 4-3-3.
Formasi belum lagi ditekan kepentingannya. Sebaliknya lebih banyak ujian untuk menguji kebolehan pemain di fasa khusus permainan diberikan penekanan.
Dari situ, jurulatih akan mengesan pelatih yang memerlukan pembangunan teknikal yang lebih banyak dan latihan bersama jurulatih secara bersemuka akan diadakan.
Latihan untuk menantapkan kebolehan teknikal pemain akan diadakan selama 45 minit selama dua sesi setiap hari untuk tujuan menantapkan kebolehan pemain.
Jika hilang penguasaan bola, pelatih turut diarahkan untuk merampas bola secepat mungkin. Ini menjelaskan mengapa Dinamo Zagreb merupakan salah sebuah pasukan di eropah yang mengamalkan permainan pressing secara efektif.
Pada usia ini kombinasi hantaran melibatkan dua sehingga empat pemain adalah metadologi penting yang diterapkan. Ia turut melibatkan hantaran melepasi garisan pertahanan, dan melibatkan larian oleh pemain ketiga.
Aspek teknikal pemain adalah agenda utama di peringkat usia ini.
Peringkat ke-3, Bawah-13
5 sesi latihan seminggu dan satu perlawanan akan diterapkan pada usia ini. Salah satu dari latihan tersebut membabitkan program yang boleh memberikan keseronokkan tanpa membabitkan bola sepak.
Daripada aspek teknikal, jurulatih mulai menerapkan aspek taktikal di dalam permainan. Di fasa ini, jurulatih lebih kerap berkomunikasi dengan pemain dan turut menuntut maklum balas dari pemain untuk menyemak pemahaman.
Pelatih turut digalakkan untuk menganilisis prestasi diri mereka melalui perlawanan dan latihan yang diadakan.
Peringkat ke4, Bawah-15
Di peringkat umur ini 5 sehingga 6 sesi latihan dan 1 perlawanan akan didedahkan kepada pemain. Lebih spesifik modul untuk peringkat umur ini memerlukan masa minima 8-10 jam.
Taktikal dan peranan secara individu dan kumpulan turut mulai didedahkan. Di sini, peranan individu di posisi secara spesifik mulai diterapkan kepada pelatih.
Setiap pelatih wajib menguasai kebolehan sekurang-kurangnya di dua posisi dengan kebolehan yang setara. Sebagai contoh, seorang pemain sayap kiri, turut boleh beraksi di posisi bek kiri dengan baik.
Perkembangan fizikal pelatih turut diberikan penekanan pada peringkat usia ini. Kreativiti secara berpasukan, dan usaha pemain sebagai individu terus ditekankan.
Pada usia 16 tahun, teknik pemain di situasi spesifik ketika perlawanan turut mula didedahkan demi persaingan yang lebih kompetitif, dan melahirkan pemain yang dinamik.
Peringkat ke-5, Bawah-18
Seperti di negara kita, Croatia juga mempunyai dua sesi pembelajaran (pagi dan petang). Ini membenarkan pelatih turun ke padang secara bergilir untuk latihan.
Pada usia 18 tahun, pemain mula dibahagikan kepada unit yang mengandungi sehingga 5 pemain setiap pasukan.
Taktikal berkumpulan mula diterapkan untuk melakukan serangan, dan juga ketika bertahan.
Pada usia ini atau 19 tahun, pemain dianggap sudah menguasai kemahiran bola sepak dan bersedia untuk diserap ke pasukan utama.
Namun jurulatih akan sentiasa memantau kebolehan pelatih untuk melengkapkan proses pembelajaran.
Pengambilan pelatih
Bagi peringkat umur Bawah-8 sehingga Bawah-14, Dinamo hanya memilih pelatih yang bermastautin di Zagreb. 10,200 pelatih keseluruhan, 9000 dari mereka berusia di bawah umur 14 tahun.
Bagi kanak-kanak yang mempunyai berat berlebihan, kurikulum khusus digunakan untuk pelatih ini.
Zagreb juga menubuhkan sebuah sekolah berkonsep terbuka untuk kanak-kanak Bawah-6 sehingga Bawah-12 tahun. Ia boleh disertai oleh sesiapa sahaja dan turut mengikuti program yang sama seperti di akademi utama. Ia seperti Akademi B milik mereka.
Zagreb juga tidak akan mengambil pelatih yang tinggal di luar Zagreb atau yang memerlukan lebih dari 45 minit perjalanan dari kediaman ke akademi.
Jika Dinamo mengetahui pemain-pemain berbakat pada usia ini, kelab tersebut akan memberikan khidmat nasihat kepada jurulatih tempatan di kelab berdekatan untuk membantu pembangunan bola sepak kanak-kanak tersebut.
Kanak-kanak ini kemudiannya akan dipanggil untuk menyertai kejohanan bola sepak untuk dinilai dari semasa ke semasa.
Teknik adalah kunci!
Berdasarkan penjelasan ringkas di atas, kita boleh simpulkan aspek teknikal pemain adalah methodologi utama yang digunapakai di akademi bola sepak milik Dinamo Zagreb.
Secara keseluruhan mereka mewajibkan 104 aspek teknikal dan 24 perkara lain dalam memastikan sebuah pasukan mampu menguasai penguasaan bola.
Ini termasuk bagaimana pemain bijak untuk melakukan scanning dan memerhatikan sekelilingnya sebelum menerima atau melakukan hantaran
Ia kedengaran leceh, namun aspek terperinci sebegitu mulai diberikan penekanan sejak usia yang muda di kalangan pelatih di akademi bola sepak Dinamo Zagreb.
Rumusan
Artikel ini bukan cetak biru keseluruhan pelan pembangunan bola sepak Dinamo Zagreb.
Tetapi ia mengisahkan bagaimana sebuah kelab bola sepak memberikan penekanan kepada aspek pembangunan untuk melahirkan ramai pemain yang berpotensi.
Maka tidak hairanlah Dinamo Zagreb mampu mendominasi bola sepak Croatia sejak hampir 3 dekad yang lalu.
Seperti yang dinyatakan, Dinamo adalah sebuah selling club. Mungkin itulah sebabnya mereka sukar memberikan impak dalam pertandingan di peringkat eropah.
Di dalam konteks kita di Malaysia, mereka menjual ‘ubi’ ke merata dunia. Namun demikian, Dinamo Zagreb telah dianggap berjaya mencapai objektif utama mereka, iaitu berada jauh di hadapan berbanding kelab-kelab lain di Croatia.
Dinamo Zagreb dibenci di Croatia kerana dominasi mereka. Tetapi siapa peduli? Mereka berjaya menghasilkan pemain berkelas dunia demi mengharumkan nama Croatia.