5 Perkara Yang Wajib Anda Tahu Mengenai Piala Cabaran 2018

Musim ini saingan bola sepak domestik tampil sedikit berbeza. Seperti kebiasaan, Piala Malaysia menjadi penutup tirai kalendar bola sepak negara.

Bezanya pada musim ini, badan pentadbir bola sepak negara turut memperkenalkan sebuah lagi piala rebutan, dipanggil Piala Cabaran.

Objektif

Objektif pengenalan Piala Cabaran ialah untuk menyediakan platform pertandingan kompetitif untuk pasukan-pasukan yang gagal layak ke Piala Malaysia.

Ini bermakna, pasukan-pasukan ini turut memperolehi jumlah perlawanan yang lebih banyak seperti pasukan yang bertanding di Piala Malaysia.

Apakah 5 perkara yang anda perlu tahu mengenai edisi sulung Piala Cabaran ini?

1. Jumlah penyertaan

Bagi musim 2018 ini, lapan pasukan akan menyertai saingan Piala Cabaran. Terengganu FC II, JDT FC II, Sarawak, Pulau Pinang, UKM FC, dan UITM FC sudah pun mengesahkan kelayakkan ke Piala Cabaran 2018.

Semua pasukan ini mengakhiri saingan 100Plus Liga Premier 2018 dari tangga ke-7 sehingga ke-11 liga.

Untuk menggantikan pasukan di tangga ke-12, satu pasukan jemputan akan disahkan kemudian untuk menggantikan Kuantan FA yang telah menarik diri dari saingan 100Plus Liga Premier 2018.

Manakala Kelantan atau Negeri Sembilan yang akan menduduki tangga ke-12 unifi Liga Super akan melengkapkan semua lapan pasukan bertanding.

2. Syarat penyertaan

Bagi pasukan yang merupakan ‘Reserve/Feeder Team’, mereka tidak layak bertanding di dalam pertandingan yang sama di mana kelab utama mereka turut beraksi.

Perkara ini hanya termaktub untuk JDT FC II dan Terengganu FC II. Memandangkan kelab utama kedua-dua pasukan bertanding di Piala Malaysia, maka tidak ada halangan bagi kedua-dua pasukan ini bersaing di Piala Cabaran.

Demi keadilan, hanya empat pemain import sahaja dibenarkan di dalam setiap perlawanan membabitkan semua pasukan yang mengambil bahagian.

Peraturan ini turut digunapakai untuk pasukan dari Liga Super (Kelantan/ Negeri Sembilan) yang dibenarkan untuk memiliki lima pemain import.

Bagaimanapun pasukan dari saingan Liga Super dibenarkan untuk menurunkan mana-mana empat pemain asing berbeza dalam satu-satu perlawanan.

3. Kumpulan dan perlawanan

Semua lapan pasukan yang bertanding akan dibahagikan kepada dua kumpulan yang mengandungi 4 pasukan.

Semua pasukan akan beraksi sesama sendiri di dalam setiap kumpulan secara timbal balik. Ini bermakna setiap pasukan akan mempunyai minima enam perlawanan sepanjang pertandingan diadakan.

Proses undian untuk kumpulan akan dijalankan secara terbuka. Ini bermakna tiada balang pengasingan untuk pasukan-pasukan bertanding.

Sebaliknya, semua pasukan akan berada di dalam satu balang yang sama, sebelum diundi kepada dua kumpulan berbeza.

Sumber: FMLLP, Facebook

Rajah di atas adalah gambaran kumpulan hasil undian. Tatacara Undian yang akan dilaksanakan adalah tertakluk kepada syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh FMLLP dan keputusannya adalah muktamad.

4. Penentuan pemenang peringkat kumpulan

Dalam beberapa senario, dua pasukan teratas setiap kumpulan memerlukan lebih dari perbezaaan mata untuk menentukan pasukan mana yang lebih layak untuk mara.

Di dalam kes sedemikian, peraturan ‘tie-breaker’ seperti urutan berikut akan mengambil tempat:

  • Pasukan yang mendapat jumlah mata yang terbanyak di antara pasukan-pasukan terlibat (Head to Head). Jika masih sama, ia ditentukan oleh;
  • Pasukan yang mempunyai perbezaan gol yang terbanyak di antara pasukan-pasukan terlibat, jika masih sama, ditentukan oleh;
  • Pasukan yang mempunyai jumlah jaringan gol yang terbanyak di antara pasukan-pasukan terlibat. Jika masih sama, maka ia akan ditentukan oleh kedudukan carta amalan fair-play pasukan terlibat.

Bagi mata dari amalan fair-play, penentuan kedudukan adalah berdasarkan mata dimerit setiap pasukan seperti berikut:

  • setiap kad kuning – satu (1) mata.
  • setiap kad merah akibat daripada dua (2) kad kuning – tiga (3) mata.
  • setiap kad merah langsung – tiga (3) mata.
  • setiap kad kuning dan diikuti dengan kad merah langsung – empat (4) mata.
  • Pasukan yang menerima mata paling sedikit akan menduduki tempat yang tertinggi.

Jika kaedah-kaedah di atas masih tidak boleh digunapakai, maka ianya kemudian akan menjadi hak FMLLP sebagai penganjur pertandingan untuk menentukan keputusan, tertakluk kepada kelulusan Ahli Lembaga Pengarah FMLLP. Keputusan selepas itu adalah muktamad.

5. Separuh akhir dan perlawanan akhir

Dua pasukan tangga teratas dari setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir.

Perlawanan separuh akhir akan diadakan secara kalah mati dengan mengambil kira agregat akhir selepas dua pusingan perlawanan yang diadakan secara timbal balik.

Stadium Shah Alam. Sumber: FIFA

Kelebihan jaringan di tempat lawan turut akan diambil kira untuk memilih pasukan yang layak ke perlawanan akhir sekiranya keputusan terikat seri.

Sekiranya jaringan di tempat lawan masih belum boleh membantu, maka masa tambahan dan penentuan sepakan penalti akan dilaksanakan.

Perlawanan akhir akan diadakan di venue neutral yang akan dikelolakan oleh pihak penganjur, FMLLP.

Rumusan

Aksi pertama peringkat kumpulan akan berlangsung pada 7 dan 8 Ogos dan aksi terakhir peringkat kumpulan adalah pada 18 dan 19 September.

Empat pasukan yang layak ke separuh akhir akan beraksi pada 25 dan 26 Oktober serta 2 dan 3 Oktober dengan pentas akhir Piala Cabaran yang bakal berlangsung di venue neutral dijadual pada 13 Oktober. Jadual awal ini bagaimanapun tertakluk kepada sebaran pindaan oleh pihak FMLLP.

Kami berharap artikel ini sedikit sebanyak telah membantu memberi pencerahan kepada anda mengenai Piala Cabaran yang akan dilangsungkan buat julung kalinya di arena bola sepak tempatan.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN