Kehangatan saingan Liga Super 2023 semakin hampir ke garisan permulaan dan melihat persiapan setiap pasukan ia seperti menjanjikan persaingan yang menarik selain cabaran di jangka lebih sengit berbanding musim sebelum ini.
Hampir sembilan musim kita melihat pasukan yang sama yakni Johor Darul Ta’zim (JDT) mengekalkan kejuaraan tanpa ada tentangan.
Senang kata, setiap tahun JDT sudah menempah bunga api lebih awal untuk disaljikan kepada penonton pada perlawanan terakhir sambil menjulang piala.
Apakah tahun ini pasukan yang sama lagi akan terpapar di media sosial mengangkat piala seperti tahun sebelum ini atau akan ada pasukan baharu mencipta sejarah memecah dominasi JDT?
Untuk memastikan perkara ini benar-benar terjadi, setiap pasukan wajib mempamerkan permainan yang konsisten sehingga perlawanan terakhir liga dan jika ini terjadi, persaingan untuk perebutan kejuaran pasti menarik dan penuh dengan hiburan.
Tahun lepas antara musim yang begitu menarik bagi peminat bola sepak di Malaysia kerana semua mata tertumpu kepada persaingan tiga pasukan iaitu Terengganu, Sabah dan Negeri Sembilan untuk merebut slot ke Piala Asia.
Sejak 2016 sehingga 2021, setiap pasukan hanya mampu menggugat kedudukan teratas liga itu sehingga perlawanan ke tujuh atau lebih lama adalah perlawanan ke-11.
Ini pun ketika 2016. Selepas itu kedudukan teratas liga seperti sudah di tempah sehingga perlawanan terakhir sambil dilihat oleh pencabar yang lain.
Terengganu, Selangor, Kedah, Sri Pahang dan beberapa pasuka lain yang diramalkan akan memberi tentangan sengit dalam perlumbaan mendapatkan mohkota kejuaraan Liga Super.
Namun apa yang terjadi sebaliknya apabila kebanyakan pasukan prestasi mereka seperti yo-yo dan lebih memberi keutamaan untuk mengalahkan Harimau Selatan atau paling kurang tidak kalah kepada pasukan ini.
Jika berhasil, ia seperti kemenangan buat pasukan dan para penyokong serta boleh dibanggakan seketika di media sosial.
Ini boleh dilihat setiap kali sesebuah pasukan menentang JDT, mereka akan bermain bersungguh-sungguh seakan-akan itu adalah perlawanan akhir buat pasukan itu.
Tidak dinafikan, jika bertemu dengan pasukan terkuat di dalam liga, pasti ia akan memberi motivasi tinggi untuk mengalahkan pasukan itu dan secara automatik gaya permainan juga berubah menjadi lebih menarik.
Bila perlawanan seterusnya pula, corak permainan kembali ke asal dan tidak sama seperti menentang juara sembilan kali itu. Jika itu adalah objektif utama, maka tidak hairan kenapa kejuaraan Liga Super selalu pasukan yang sama.
Oleh itu, kita mengharapkan 13 pasukan di dalam Liga Super ini mampu konsisten sehingga penghujung musim.
Ini kerana secara tidak langsung ia membantu menaikkan komersial liga itu sendiri dan pasukan yang akan bertanding ke Piala AFC serta Liga Juara-Juara Asia (ACL) juga mampu memberi cabaran kepada lawan mereka.