Ajax: Tiada Harga Diskaun Untuk Real Madrid Beli Van De Beek

Donny van de Beek

Spekulasi penyertaan pemain tengah Ajax Armsterdam, Donny van de Beek ke kelab Sepanyol, Real Madrid sudah berulang kali berlegar dalam media, namun sehingga hari ini ianya masih belum menjadi kenyataan

Walaupun terdapat juga khabar angin mengenai minat yang ditunjukan beberapa kelab lain seperti Manchester United dan Tottenham Hotspur, kelebihan nampaknya tetap berpihak kepada Los Blancos untuk mendapatkan perancang tengah Belanda tersebut.

Real Madrid sebelum ini dilaporkan sudah mencapai persetujuan dengan Ajax dan pemain berkenaan pada musim panas lepas, bagaimanapun perpindahan yang dilaporkan bernilai €55 juta tersebut gagal kerana sebab yang tidak didedahkan.

Menjelang pintu perpindahan yang bakal dibuka tidak lama lagi, pasukan Sepanyol itu tentunya bersedia untuk kembali menghidupkan usaha bagi mendapatkannya.

Tetapi Pengarah Ajax, Edwin van der Sar sudah pun memberi amaran kepada Real Madrid bahawa tiada sebarang ‘diskaun’ akan diberikan untuk mendapatkan pemain dari kelabnya sekalipun berlaku krisis kewangan oleh semua pasukan ekoran pandemik COVID-19 yang melanda ketika ini.

Van de Beek merupakan ‘duri dalam daging’ buat Real Madrid semasa pasukan tersebut tewas kepada Ajax dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim 2018/19 dan sejak itu pemain berkenaan sentiasa beradar dalam radar juara UCL tiga kali berturut-turut itu.

Pemain berusia 22 tahun itu juga cemerlang memacu pasukannya mara ke peringkat separuh akhir UCL musim lepas dan menjaringkan gol cantik ketika berdepan Tottenham Hotspur di utara London, namun dikecewakan dengan gol saat-saat akhir Lucas Moura.

Namun demikian, timbul juga persoalan adakah Real Madrid benar-benar memerlukan pemain itu memandangkan masih ramai pemain-pemain lain yang akan kembali menyertai pasukan selepas tamat tempoh pinjaman dengan pasukan-pasukan lain seperti Martin Odegaard, Takefusa Kubo, Achraf Hakimi dan Alvaro Odriozola.

Penyerang muda Brazil, Reinier Jesus juga akan menyertai pasukan pada musim panas nanti dari Flamengo dan Marco Asensio juga dilaporkan semakin pulih dari masalah kecederaan lututnya. Maka masih tidak jelas adakah pembelian Van de Beek itu satu keperluan atau sebaliknya.

Masa depan Luka Modric bersama Real Madrid mungkin sudah sampai ke penghujungnya, tetapi di sana juga masih ada pemain tengah Sepanyol, Isco Alarcon yang masih mampu memberikan aksi terbaiknya dan seperti diketahui pemain tersebut amat digemari oleh Zinedine Zidane.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Van de Beek dan Ajax Armsterdam:

https://semuanyabola.com/ajax-tamatkan-kontrak-abdelhak-nouri-selepas-sedar-dari-koma/

Leave a Reply