Quantcast

ANALISIS TAKTIKAL

Analisis Taktikal: Bagaimana Intensiti Dan ‘Free Flowing Football’ Ajax Atasi Juventus

Sukar untuk menyatakan bahawa Ajax mengejutkan Juventus. Kerana daripada perlawanan pertama lagi, Ajax sangat berpotensi untuk menamatkan perjuangan Juventus dengan mudah.

Boleh dikatakan dalam 2 perlawanan ini, Ajax adalah pasukan yang lebih baik walaupun mereka tiada Cristiano Ronaldo di dalam pasukan.

Ini adalah analisis ringkas daripada perlawanan pertama, anda lihat betapa sukarnya Juventus:

Ajax menumpaskan Juventus 2-1 di Turin sekaligus mara ke separuh akhir.

Intensiti Ajax

Sesuatu yang membuatkan Real Madrid dan kemudiannya Juventus semput adalah intensiti. Ajax cuba menggerakkan bola dengan sangat cepat. Di Amsterdam Ajax berlari 112 km dan di Turin mereka berlari sejauh 110km. Berbanding dengan Juventus yang hanya berlari sekitar 108km di Turin. Itupun banyak larian mereka cuba mengejar bola dan lawan.

Juventus merasai tekanan pada perlawanan pertama. Dalam perlawanan kedua Allegri menyediakan formasi yang rigid dan cuba menyerang balas Ajax dengan ‘setup’ 4-4-2.

Bernadeschi dan Matuidi diarahkan menjadi sangat defensif di bahagian sayap. Mereka aktif mengejar lawan (tracking back) di bahagian sayap. Ajax melakukan ancaman di sayap menerusi David Neres dan Hakim Ziyech.

Ajax berasaskan formasi 4-2-3-1. Mereka cuba sedaya upaya bermain dalam unit. 2 pemain sayap ini aktif bertukar posisi. Fluiditi pada serangan Ajax membuatkan barisan pertahanan Juventus terutama sekali Bernadeschi dan Matuidi tidak terurus.

Ini salah satu contoh serangan balas klasik oleh Ajax, mujurlah sentuhan terakhir Pjanic itu memutuskan hubungan hantaran Tadic dengan rakannya.

Lihat pula permainan kombinasi mereka di sini berjaya mencipta peluang gol dalam keadaan sangat sempit.

Ini adalah laporan percubaan oleh Ajax dan Juventus yang menyaksikan mereka lebih banyak melakukan aksi dan percubaan di kawasan lawan. Ajax melakukan 14 percubaan ke arah gol dan 10 daripadanya adalah tepat.

Sejak perlawanan pertama lagi Ajax lebih mengancam di zon serangan berbanding dengan Juventus.

Juventus tidak terurus

Juventus tidak terurus ataupun ‘disorganized’. Malah Allegri mengakui pasukannya terputus unit ataupun ‘disjointed’ pada separuh masa kedua.

Hal ini kerana Ajax berterusan mengenakan counter pressing kepada lawan mereka selain daripada sentiasa berlari dan menyerang balas dengan pantas. Pundit di Belanda mengimbau kembali cara permainan Ajax mirip kepada taktikal ketika Louis Van Gaal membawa kelab itu menjulang kejuaraan Eropah satu ketika dahulu.

Lihat situasi di bawah ini mereka bermain combination play, gabungan counterpressing, gelecekan, ciptaan ruang, ciptaan peluang dan juga gerakan secara unit dalam satu ‘timeline’ yang pantas:

1. Ajax mengenakan counterpressing dengan Neres mencipta ruang palsu untuk mengumpan Pjanic menghantar ke situ.

2. Pjanic ditekan dan melepaskan bola dalam keadaan panik – bola dipintas Neres untuk terus mencetuskan ancaman

3. Neres melakukan penetrasi dan menarik pemain Juventus ke arah beliau. Ini mewujudkan ruang di kanan kepada rakannya.

4. Neres menolak bola ke belakang untuk mencipta peluang daripada ruang lebih di bawah kepada Donny Van De Beek.

5. Van De Beek menghantar bola ke rakan di sisi kanan dengan menggunakan seorang di hadapan sebagai pelindung/shield

Allegri selepas tamat perlawanan mengakui Ajax bermain lebih baik pada separuh masa kedua. Ini kerana Ajax meningkatkan lagi intensiti mereka dan menyukarkan Juventus untuk membina serangan serta mencari Cristiano Ronaldo.

Lihat heatmap di bawah ini, Juventus sangat sedikit akses ke dalam kotak penalti Ajax.

Ada banyak pasukan yang dianggap ‘underdog’ akan selesa untuk mengimbangi lawan pada kedudukan 1-1 ataupun cuba menyerap asakan dan kemudian melancarkan serangan balas. Tidak untuk Ajax!

Mereka cuba mendapatkan rentak permainan yang mereka mahukan. Menyedari kualiti dan cara Ajax yang semakin menikmati perlawanan, Allegri kemudian menurunkan sedikit garisan permainan Juventus dengan cuba melakukan serangan balas.

Namun setiap kali Juventus cuba membina serangan dan serangan balas, mereka akan diserbu oleh unit ataupun individu lawan yang sangat agresif dan bertenaga seperti ada 3 jantung.

Rumusan

Ajax Amsterdam tampil dengan taktikal yang baik dalam 2 perlawanan. Ia memerlukan keyakinan dan keberanian untuk bermain sistem counterpressing dan bola sepak intensif di Turin.

Pemain muda Ajax tidak gentar untuk berhadapan dengan lawan yang dianggap lebih besar.

Juventus bermain baik dalam perlawanan ini, namun mereka tidak cukup dominan dan berjaya diimbangi oleh Ajax dalam semua aspek.

Respon Ajax selepas ketinggalan adalah sangat penting. Mereka mengekalkan fokus dan terus cuba bermain bola sepak ‘free flowing’ mereka yang intensif.

Ajax memecahkan pertahanan Juventus dengan permainan kombinasi serta kepantasan gerakan bola. Akhir sekali kami ajak anda nikmati sedikit babak total football di sini:

Pemain terbaik pilihan SemuanyaBOLA
Matthijs De Ligt (Ajax)

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!