Aidil Sharin Tak Salahkan Pengadil, Tak Nampak Apa Yang Renan Alves Buat

Aidil Sharin Renan Alves Kedah Selangor liga super 2021

Bek tengah Kedah Darul Aman FC, Renan Alves sekali lagi menjadi tumpuan apabila dilayangkan kad merah dalam pertembungan menentang Selangor FC, malam tadi.

Kehilangan seorang pemain di benteng akibat layangan kad merah menyaksikan tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain selama hampir sejam. Begitupun, Kedah tetap memberi cabaran dalam aksi pertama mereka selepas ‘berehat’ panjang.

Renan Alves dikesan menggunakan tangan menahan rembatan Ifedayo Olusegun di depan gawang ketika cuba menafikan asakan pelawat di minit ke-27. Akibatnya, beliau diperintah keluar padang dan Ifedayo Olusegun menyempurnakan sepakan penalti.

Ungkap pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak dalam sidang media, “Saya tidak tahu. Saya tak nampak bagaimana kad merah itu diberikan daripada sudut saya. Saya akan melihatnya semula. Tetapi, pengadil tetap perlu membuat keputusannya.”

“Jika ia keputusan yang tepat, kita perlu ‘move on’. Kita tak boleh mengubah apa-apa. Begitupun, kita akan melihat semula bagaimana Renan [Alves] dilayangkan kad merah,” tambahnya lagi yang bersetuju tugas semakin sukar beraksi dengan 10 pemain.

Kedah akhirnya tunduk 2-4 kepada Selangor dengan dua gol di babak kedua dihasilkan oleh Ifedayo Olusegun untuk memberikan tiga mata penuh buat The Red Giants.

Aidil Sharin terpaksa mengambil pendekatan bertahan di permulaan babak kedua bagi membolehkan mereka sekurang-kurangnya meraih satu mata selepas pemain tengah, Anumanthan Mohan berjaya menyamakan kedudukan di penghujung babak pertama.

Rabih Ataya yang bergandingan bersama Kpah Sherman dan Kipre Tchetche di jentera serangan terpaksa dikeluarkan dan pemain muda, Fadzrul Danel telah dibawa masuk.

Kemampuan Fadzrul Danel untuk berada di jentera serangan disamping membantu benteng pertahanan ketika bertahan diperlukan oleh tuan rumah. Ini tampak sedikit berhasil apabila mereka dilihat kurang diasak oleh pelawat di babak kedua.

Jelasnya, “Apabila terikat 2-2 di babak pertama, kami telah mensasarkan untuk lebih bertahan dan Selangor pula meletakkan lebih banyak pemain mereka dalam kawasan penalti kami. Ini yang menyebabkan pemain mula merasai keletihan dan penat.”

“Mereka telah cuba berikan yang terbaik. Tetapi Selangor lebih cergas pada malam ini,” ujar Aidil Sharin sambil mengakui aksi skuad kendaliannya sedikit berkarat.

Kali terakhir Kedah Darul Aman FC beraksi adalah ketika menewaskan Sabah 1-0. Selepas itu, liga berehat untuk aksi antarabangsa. Kedah merupakan pasukan terawal masuk ke kem latihan bagi persediaan untuk menghadapi saingan Piala AFC 2021.

Mereka sempat mengadakan dua aksi pemanas badan berdepan PDRM FC pada 8 dan 9 Julai sebelum saingan Piala AFC melibatkan Kedah dan Terengganu FC dibatalkan.

Walaupun Aidil Sharin mengatakan mereka sudah tiga bulan tidak bermain, namun jika dikira aksi berdepan PDRM, ia bukanlah jarak masa yang lama. Dalam kedua-dua aksi itu, Kedah menurunkan skuad yang berbeza dan menang dengan keputusan sama, 2-1.

Apa yang boleh dikatakan mereka sudah lama ‘kehilangan’ suasana kompetitif.

Ujarnya mengenai kecergasan skuad Hijau Kuning dalam aksi malam tadi, “Sama seperti selepas pra musim, kita berehat selama tiga bulan, apabila bermain dalam perlawanan pertama, ia selalunya kurang menjadi dan aksinya bukanlah yang terbaik.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN