Aidil Sharin: “Kerap Tanya Tentangnya, Anda Semua Suka Syazwan Zainon?”

Syazwan Zainon Aidil Sharin Liga Super 2022

Pengendali Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak hairan mengapa kelibat Syazwan Zainon jadi tumpuan pihak media ketika sidang media selepas pasukannya tewas 1-2 kepada Terengganu FC pada Jumaat.

Kedah tewas kali kedua berturut-turut kepada Terengganu selepas tewas 0-1 dalam pertembungan pertama dalam pusingan kedua Piala FA pada minggu lalu di lokasi yang sama, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Terlebih dahulu, pengendali berusia 45 tahun itu mengucapkan tahniah kepada pihak lawan yang berjaya menewaskan mereka dua kali berturut-turut dalam tempoh yang singkat. Namun, beliau berpuas hati dengan para pemainnya, terutamanya di babak kedua yang menyaksikan mereka cuba bangkit untuk meraih sesuatu.

Kedah buntu membahayakan kubu lawan

Kedah kerap kali diasak di awal babak pertama menerusi rangkaian serangan Terengganu yang digerakkan Faiz Nasir, Faisal Halim dan Kpah Sherman. Tuan rumah tampak lebih berbahaya jika dibandingkan dengan Kedah yang lebih banyak terpaksa bertahan sambil menanti peluang membuat asakan menerusi serangan balas.

Sang Kenari lebih mengharapkan pemain sayap kiri, Mahmoud Al-Mardi untuk menjadi nadi serangan mereka. Namun, masalah kombinasi menjadi penghalang utama buat mereka untuk mencipta sesuatu yang lebih baik.

Kpah Sherman membuka jaringan buat Terengganu pada minit ke-13 hasil hantaran lolos Faisal Halim yang bergerak di sebelah kanan melewati bek kiri Ariff Farhan dan bek tengah, Akmal Zahir yang hanya melihat.

Benteng pelawat kerap kali diuji lawan, namun mujur kekentalan Ifwat Akmal di gawang sekurang-kurangnya membuat tuan rumah buntu untuk menambah jaringan di babak pertama. Antaranya double saves Ifwat hasil rembatan Faisal dan Sherman di minit ke-43. Deretan peluang lain juga sentiasa dikecewakan oleh Ifwat.

Sampai bila Ifwat mampu bertahan lagi apabila empat minit kemudian beliau sekali lagi ditewaskan dan kali ini menerusi rembatan jarak jauh pemain tenggah, Manuel Ott selepas menerima hantaran setup oleh Faiz Nasir.

Di minit ke-92, pemain gantian Azamuddin akhirnya berjaya memberikan sinar kebangkitan buat Kedah selepas menerima bola kedua yang ditepis Suhaimi Husin di depan gawang untuk meledak gol saguhati buat mereka.

Aidil Sharin: “Apa yang anda maksudkan dengan gagal?”

Aidil dilihat sedikit kurang berpuas hati dengan persoalan pihak media tentang kegagalan para pemainnya untuk berbuat sesuatu kerana baginya beliau berpuas hati dengan prestasi yang telah dipamerkan para pemainnya.

“Apa yang anda maksudkan dengan gagal [pertukaran pemain]? Anda boleh lihat statistik perlawanan. Babak kedua kami bermain lebih baik berbanding mereka. Berapa peluang Terengganu di babak kedua?”

“Saya tidak boleh salahkan pemain saya, mereka berjuang berhabis-habisan. Kami bermain di laman lawan, dua aksi berturut-turut dan sebelum itu di Bali. Perlawanan di laman sendiri dan lawan adalah berbeza.”

Mungkin kekurangan di pihak Kedah adalah barisan pemain tidak memanfaatkan peluang yang mereka dapati.

“Saya rasa kami turun dengan baik di babak kedua. Kami pasukan yang lebih baik menerusi penguasaan bola dan peluang yang dicipta. Seperti di babak pertama, Ronald Ngah [Wanja] yang melepaskan peluang terbaik di depan gol, apabila anda tidak sudahkan peluang dengan baik, anda tidak akan menang.”

Syazwan Zainon komited bantu pasukan di Liga M dan Piala AFC

Pihak media juga tertumpu kepada pemain sayap dan kapten, Syazwan Zainon yang terpalit dengan isu yang tidak sepatutnya apabila kisah penyakit lamanya yang disalah erti oleh sesetengah media sebelum ini.

Syazwan telah dikeluarkan seawal babak kedua dengan Aidil memasukkan Fayadh Zulkifli sebagai pengganti. Ini menambah persoalan mengenai status kesihatannya atau beliau mungkin mengalami kecederaan.

Perkongsiannya di Astro Arena sebelum ini tentang jangkitan kuman di paru-parunya telah disalah ertikan oleh banyak pihak. Sebelum perlawanan, laman sosial Kedah hadir menjernihkan keadaan dengan mengatakan pemain itu kekal komited bersama pasukan berjuang dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC.

Malah, Syazwan turut berkata yang status kesihatannya yang tular adalah salah faham sesetengah pihak.

Di sidang media, Aidil dilihat hairan apabila pihak media lebih tertumpu kepada kecederaan Syazwan.

“Anda semua terlalu sukakan Syazwan Zainon ya? Sebab itulah anda kerap bertanya tentangnya sahaja. Saya bukan seorang doktor. Jika dia diturunkan bermain, itu bermakna dia cergas untuk bermain. Jika dia tiada dalam pasukan, itu bermaksud dia tidak cergas untuk turun bermain. Mudah sahaja kan?”

“Kita perlu tunggu penilaian daripada doktor. Selalunya selepas perlawanan atau hari selepas itu [status kecederaan pemain]. Selepas itu barulah kita tahu bagaimana keadaan kecederaan tersebut.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN