Liga Super: Kedah Melopong Direbahkan Terengganu Kali Kedua Berturut-Turut

Kedah Terengganu Liga Super 2022

Terengganu FC semakin merapatkan kedudukan mata dengan Negeri Sembilan FC di tangga ke-3 Liga Super 2022 selepas berhasil membenam cabaran Kedah Darul Aman FC 2-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Kini hanya dibezakan empat mata, Sang Penyu masih kekurangan tiga perlawanan berbanding The Jangs yang mengumpul 20 mata daripada 12 aksi. Kedah pula kekal di kedudukan ke-5 liga dengan mengumpul 14 mata.

Kedah kerap kali diasak di awal babak pertama menerusi rangkaian serangan Terengganu yang digerakkan Faiz Nasir, Faisal Halim dan Kpah Sherman. Tuan rumah tampak lebih berbahaya jika dibandingkan dengan Kedah yang lebih banyak terpaksa bertahan sambil menanti peluang membuat asakan menerusi serangan balas.

Sang Kenari lebih mengharapkan pemain sayap kiri, Mahmoud Al-Mardi untuk menjadi nadi serangan mereka. Namun, masalah kombinasi menjadi penghalang utama buat mereka untuk mencipta sesuatu yang lebih baik.

Tiada kombinasi menarik mampu dicipta Kedah menerusi rangkaian serangan mereka yang digerakkan Al-Mardi, Syazwan Zainon dan Ngah Wanja. Dechmitr Sanrawat dan Dechi Marcel juga gagal berbuat sesuatu.

Kpah Sherman membuka jaringan buat Terengganu pada minit ke-13 hasil hantaran lolos Faisal Halim yang bergerak di sebelah kanan melewati bek kiri Ariff Farhan dan bek tengah, Akmal Zahir yang hanya melihat.

Peluang terbaik mereka hanya hadir di minit ke-23 menerusi Ngah Wanja, namun penyerang itu hanya mampu membuat rembatan melewati palang walaupun hanya perlu membuat sentuhan mudah di depan gawang. Selain itu, rembatan jarak jauh Ariff dari luar kotak penalti pada minit ke-37 hanya menggegar palang.

Benteng pelawat kerap kali diuji lawan, namun mujur kekentalan Ifwat Akmal di gawang sekurang-kurangnya membuat tuan rumah buntu untuk menambah jaringan di babak pertama. Antaranya double saves Ifwat hasil rembatan Faisal dan Sherman di minit ke-43. Deretan peluang lain juga sentiasa dikecewakan oleh Ifwat.

 

Melihat lawan menguasai babak pertama, tiga pertukaran segera dibuat pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak sebelum babak kedua bermula dengan kemasukkan Fayadh Zulkifli, Azamuddin Akil dan Hesyamudin Ahmad.

Mungkin beliau risau keputusan tewas di pusingan kedua Piala FA minggu lalu bakal berulang di aksi liga pula.

Begitupun, Terengganu masih menguasai permainan. Tiada yang menarik mampu dihasilkan Kedah apabila acapkali lawan mencipta gerakan mengasak ke kubu mereka. Minit ke-53, Ifwat sekali lagi menyelamatkan gawangnya menerusi percubaan Faisal selepas menerima hantaran lolos Sherman yang membelah benteng.

Sampai bila Ifwat mampu bertahan lagi apabila empat minit kemudian beliau sekali lagi ditewaskan dan kali ini menerusi rembatan jarak jauh pemain tenggah, Manuel Ott selepas menerima hantaran setup oleh Faiz.

Benteng tuan rumah kukuh bertahan hasil kombinasi baik Shahrul Nizam, Pape Diakite, Azam Azmi dan Alif Zakaria walaupun kerap diasak selepas sejam aksi berlangsung. Kedah mula dilihat cuba mencipta sesuatu. Tetapi, apa yang cuba mereka gerakan dilihat kurang berkesan dalam usaha untuk memecah kebuntuan.

Kedah kekurangan impak di jentera tengah waima pertukaran pemain telah dilakukan. Kombinasi yang cuba dihasilkan mudah untuk dipatahkan oleh Sang Penyu terutamanya hantaran-hantaran akhir di final third Kedah.

Di minit ke-92, pemain gantian Azamuddin akhirnya berjaya memberikan sinar kebangkitan buat Kedah selepas menerima bola kedua yang ditepis Suhaimi Husin di depan gawang untuk meledak gol saguhati buat mereka. Namun, ia tidak mancukupi buat pelawat yang akhirnya terpaksa akur tewas tipis 1-2 kepada Terengganu.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN