Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak mengharapkan penjaga gol, Ifwat Akmal akan sempat pulih menjelang aksi liga minggu hadapan berdepan Sabah.
Ifwat Akmal mengalami kecederaan selepas FELDA United berjaya menghasilkan gol pembukaan di penghujung babak pertama. Kedah walaubagaimanapun, bangkit untuk memenangi perlawanan 2-1 dalam aksi ketujuh CIMB Liga Super 2020.
Aidil Sharin harap kecederaan tidak serius
Gol tandukan Syahmi Zamri di penghujung babak pertama telah menyebabkan Ifwat Akmal terlanggar tiang gol ketika cuba menyelamatkan bola tersebut. Akibatnya, penjaga gol berusia 24 tahun itu terpaksa digantikan oleh Shahril Sa’ari.
Memaklumkan keadaan penjaga golnya itu, Aidil Sharin jelas sedikit gelisah dan mengharapkan ianya tidak begitu serius selepas pemeriksaan doktor dibuat pada hari ini. Katanya, “Esok [hari ini] kita akan rujuk doktor, harapnya ia tidak serius.”
“Ifwat mengalami sedikit kecederaan di bahunya. Saya rasa aksi menyelamatnya itu menyebabkan dia terlanggar tiang gol. Harapnya dia akan cergas untuk perlawanan selepas ini kerana Renan [Alves] juga akan kembali bermain,” jelasnya.
Ifwat Akmal sudah tampil dalam kesebelasan utama Helang Merah sebanyak lima kali dalam saingan liga musim ini, sementara Shahril Sa’ari pula tampil dua kali dengan salah satunya sebagai pemain gantian dalam perlawanan malam tadi.
Perubahan pemain dan impak segera
Permulaan babak kedua menyaksikan pengendali asal Singapura itu membuat pertukaran pemain dengan memasukkan Azamuddin Akil menggantikan Amirul Hisyam di jentera tengah. Dan, beliau mengakui membuat perubahan taktikal.
“Saya ada buat sedikit perubahan taktikal. Saya masukkan Alex [Azamuddin Akil] untuk menambah pilihan di jentera serangan kerana kita tahu yang kita sedang ketinggalan,” ujar pengendali berusia 43 tahun itu mengenai perubahannya.
Kemasukkan pemain berpengalaman itu berjaya menambah sengat jentera serangan Kedah. Setiap asakan tampak lebih lancar dan Azamuddin Akil berjaya memberi dimensi dan impak segera dengan membuat bantuan gol kepada Hadin Azman.
Aidil Sharin berkata lagi, “Kredit buat pemain-pemain saya. Mereka telah berikan aksi yang menakjubkan. Babak pertama kita kurang baik tetapi para pemain bangkit semula selepas itu. Kami layak untuk tiga mata pada malam ini.”
Penutup
Aidil Sharin menjelaskan yang aksi di Stadium Tun Abdul Razak sentiasa sukar sebagaimana komennya sebelum ini, padang tiruan di stadium itu mendatang masalah kepada mana-mana pasukan disamping kekuatan The Fighters sendiri.
Dibarisi pemain muda dan import berkualiti, FELDA United dilihat sebagai lawan yang sangat liat untuk ditewaskan. Kedah kini berada di kedudukan kedua liga dengan mengumpul 13 mata, enam mata di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT).
KREDIT FEATURED IMAGE: KEDAH FA