Iceland bermula dengan garang apabila agresif menyerang kubu lawan sejak wisel permulaan ditiupkan.
Pada minit ke-3 perlawanan, Gylfi Sigurdsson terlebih dahulu menguji penjaga gol Nigeria dengan percubaan, namun ditampan keluar oleh Francis Uzoho.
Sigurdson turut memperolehi peluang meletakkan Iceland di hadapan 3 minit kemudian, namun percubaan beliau mudah ditangkap oleh Uzoho.
Nigeria yang cuba mengancam terutamanya melalui pemain sayap, Victor Moses sering kali dikecewakan oleh sentuhan terakhir di garisan akhir serangan.
John Obi Mikel yang beraksi sebagai No.10 dalam perlawanan menentang Croatia beraksi di garis lebih rendah (deeper role) pada kali ini, tatkala Oghenekaro Etebo diberikan peranan untuk lebih banyak membantu serangan.
Namun demikian, Nigeria dilihat masih tidak cukup kreativiti untuk menembusi pertahanan tengah Iceland yang kompak dan berdisplin.
Minit ke-34 menyaksikan voli oleh Gislason dari dalam kotak penalti tinggi, manakala hantaran lintang Saevarsson tiga minit berikutnya gagal menemui barisan hadapan Iceland.
Sepakan percuma di akhir babak pertama perlawanan turut disia-siakan oleh Iceland, apabila tiada pemain yang menyambarnya.
Babak pertama perlawanan akhirnya berakhir tanpa sebarang jaringan.
Nigeria pantas menguji penjaga gol Iceland selepas babak kedua bermula apabila rembatan leret Etebo diselamatkan oleh Halldorsson.
Tidak lama selepas itu, usaha Nigeria akhirnya membuahkan hasil apabila hantaran lintang Moses hasil serangan balas pantas Nigeria, disambut baik oleh Musa di dalam kotak penalti, sebelum melepaskan rembatan voli deras yang langsung tidak memberi peluang kepada Halldorsson
Minit ke-57 perlawanan, Halldorsson bertindak cemerlang menolak keluar percubaan Wilfred Ndidi dari luar kotak penalti yang menjunam selepas terbias oleh pertahanan Iceland.
Musa kemudiannya terus menghukum kealpaan benteng Iceland apabila larian dari sebelah kiri menewaskan Sævarsson dengan mudah sebelum melepaskan rembatan kaki kanan sekali lagi menewaskan Halldorsson.
Iceland kemudiannya memperolehi sepakan penalti setelah pengadil melalui sistem VAR mengesan kekasaran di dalam kotak penalti Nigeria.
Namun pemain tengah, Sigurðsson gagal menyempurnakan peluang merapatkan kedudukan tersebut dengan merembat tinggi.
Iceland terlepas beberapa peluang untuk menjarakkan kedudukan sekaligus menghidupkan kembali peluang mereka untuk memperolehi sesuatu dalam perlawanan ini, namun gagal memanfaatkan peluang yang hadir.
Keputusan berakhir dengan kemenangan 2-0 kepada Nigeria, sekaligus melonjakkan ‘Super Eagles’ ke tempat kedua Kumpulan D.