Ahmad Shahrul Azhar: Anak Chepor Yang Menjadi Kapten Terhebat Perak Di Era Moden

Perak sekali lagi mara ke perlawanan akhir. Selepas muncul juara Piala Malaysia pada musim lalu, kali ini Perak berada di landasan terbaik mengecapi kejuaraan di pertandingan Piala FA pula.

Maka tidak hairanlah nama-nama pemain seperti Brendan Gan, Nashir Basharudin, Shahrel Fikri, J. Partiban, Shahrul Saad atau pun Nazirul Naim dan Firdaus Saiyadi mula meniti di bibir peminat skuad Seladang – dan dianggap sebagai generasi pemain Perak baharu yang mampu pergi lebih jauh jika betul strategi oleh pihak pengurusan.

Namun jika kisah Perak di pertandingan Liga Malaysia disingkap, kita pasti tidak boleh lari dari mengisahkan hero-hero lama yang turut pernah mengharumkan nama pasukan negeri. Khalid Jamlus, V. Saravanan, Azizul Abu Hanifah, dan P. Ravindran adalah antaranya. Namun kali ini kita akan membawa perhatian pembaca kepada satu lagi nama ikonik dalam bola sepak Perak, iaitu Ahmad Shahrul Azhar.

Pengenalan: Karier awal

Ahmad Shahrul Azhar mendapat pendidikan sekolah rendah di SK Chepor sebelum melanjutkan pelajaran ke SMK Aminuddin Baki, Chemor. Ketika itu, Ahmad Shahrul Azhar aktif mewakili sekolahnya dan kerap dipilih untuk bersama-sama pasukan daerah dalam kejohanan MSSPK.

Pada tahun 1992, beliau berjaya mewakili skuad Piala Presiden Perak ketika baru berusia 18 tahun. Beliau juga dipanggil untuk mewakili skuad SUKMA Perak 1992 tetapi diketepikan sebelum dipanggil semula pada tahun 1994.

Skandal rasuah pernah cuba dinafikan FAM satu ketika dahulu.

Akibat isu skandal rasuah yang melanda negara sekitar 1994-1995 yang menyaksikan BPR (kini : SPRM) menyoal siasat lebih 120 pemain dan 58 daripadanya digantung, nama Ahmad Shahrul tersenarai untuk mewakili skuad utama Perak dalam saingan Liga Perdana Malaysia 1995.

Debut sulung Ahmad Shahrul bersama Perak ialah dalam perlawanan menentang Pulau Pinang pada 29 April 1995 yang berakhir tanpa jaringan. Beliau hampir menjaringkan gol sulung peringkat seniior pada perlawanan tersebut sebelum jaringan beliau pada minit ke-62 dibatalkan pengadil perlawanan, Abd. Ghani Ishak.

Ahmad Shahrul Azhar kekal bersama Perak sehingga tahun 1997 di bawah kendalian mendiang Ken Shellito dan Khaidir Buyong. Pada musim berikutnya, beberapa pemain Perak termasuklah Ahmad Shahrul dan Syamsul Saad memilih untuk berhijrah. Negeri Sembilan menjadi pilihan Ahmad Shahrul.

Penghijrahan

Selepas dua musim berturut-turut gagal memenangi sebarang trofi bersama Perak, Ahmad Shahrul Azhar membuat keputusan untuk menyertai skuad Hoben Jang Hoben pada tahun 1998. Pada ketika itu, liga divisyen pertama Malaysia dijenamakan daripada Liga Perdana kepada Liga Perdana 1 yang menyaksikan 12 pasukan bertanding.

Ahmad Shahrul Azhar mendedahkan bahawa beliau tidak mempunyai sebab tertentu untuk berhijrah dan sekadar mahu mencari angin baharu. Tambah beliau, Negeri Sembilan memiliki jurulatih dan pemain yang bagus yang mana hampir 90% pemain mereka merupakan pemain kebangsaan. Antaranya ialah B. Rajnikandh, Affendi Julaihi, Rosli Omar, dan pemain import seperti Pedro Oliveira, Gustavo Carlos Cerro dan Scott Ollerenshaw.

Ketika bersama Negeri Sembilan, Ahmad Shahrul Azhar memperoleh kaps senior pertamanya bersama skuad negara pada tahun 1999. Pada tahun yang sama, beliau berjaya menjaringkan hatrik ketika menentang Kemboja dan Malaysia menang 7-2 dalam aksi kumpulan B acara bola sepak Sukan SEA 1999.

Pada tahun 2000, Ahmad Shahrul Azhar membuat keputusan untuk kembali bersama Perak di bawah kendalian mendiang Karl-Heinz Weigang. Turut kembali bersama skuad Seladang ialah bekas rakan sepasukannya yang turut berhijrah keluar pada tahun 1997 dan bersama Terengganu, Syamsul Saad.

Generasi emas Perak

Sekembalinya Ahmad Shahrul Azhar bersama skuad Seladang, beliau dilantik sebagai ketua pasukan bagi menggantikan Roslan Hamid. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu, Perak berjaya menjulang Piala Malaysia 2000 dan menjadi juara sulung era baru.

Sebelum perlawanan bermula lagi, kekuatan bahagian tengah Perak sentiasa diberikan penekanan oleh setiap lawan mereka. Hal itu diakui sendiri pemain muda Negeri Sembilan ketika itu, Shukor Adan yang pernah bermain bersama Ahmad Shahrul selama dua musim sebelumnya.

 

Ahmad Shahrul muncul sebagai pemain terbaik perlawanan akhir dan menjaringkan tiga gol sepanjang kejohanan tersebut. Dua musim berikutnya, Perak berjaya merangkul trofi Liga Perdana 1 pada tahun 2002 dan 2003 serta menjadikan Perak juara terakhir pertandingan liga tersebut sebelum ianya dirombak dan dikenali sebagai Liga Super Malaysia pada 2004.

Pada tahun 2004, Perak berjaya menamatkan penantian 14 tahun untuk menjulang Piala FA. Ahmad Shahrul Azhar menjadi kapten kedua Perak yang berjaya menjulang piala tersebut sekaligus melengkapkan koleksi peribadi sebagai salah seorang pemain yang pernah memenangi kesemua trofi domestik yang dipertandingkan di dalam negara.

Untuk rekod sejak 1995, Ahmad Shahrul Azhar telah mengecapi 4 kejuaraan domestik dan 5 kali muncul naib juara. Musim 2006/2007 merupakan musim yang mengecewakan buat Perak dan Ahmad Shahrul sendiri apabila terlepas dua kejuaraan di tangan lawan yang sama iaitu Kedah. Di saingan liga, Perak terpaksa menerima hakikat muncul naib juara liga selepas hanya dijarakkan dengan dua mata berbanding pasukan jiran itu. Manakala di perlawanan akhir Piala Malaysia, Perak tewas 3-0 kepada Kedah.

Ahmad Shahrul Azhar terus bermain untuk Perak sehingga tahun 2008 sebelum sekali lagi berhijrah menyertai Proton FC pada 2009. Beliau memilih untuk bersara pada musim berikutnya pada usia 35 tahun. Selepas bersara, Ahmad Shahrul Azhar menjadi penolong pengurus Perak (2013), ketua jurulatih Piala Belia Felda United FC (2016) dan bersama Perak sebagai Setiausaha Kehormat PAFA merangkap pengurus Perak (2017-2018).

Jeneral di atas padang

Pada permulaan kariernya, Ahmad Shahrul Azhar juga pernah bermain di posisi penyerang. Namun, kebolehannya untuk mengawal bahagian tengah dengan baik menyebabkan Ahmad Shahrul Azhar diletakkan di posisi tengah sepanjang kariernya.

Ada yang menggelarnya Roy Keane Malaysia, Ahmad Shahrul sangat terkenal dengan corak permainannya yang agresif dan garang di atas padang. Namun, perwatakannya sebagai seorang ketua di atas padang amat disegani kawan mahupun lawan.

Kredit: chedinsphere.blogspot

Pada tahun 2006, Ahmad Shahrul Azhar hampir digantung selama 12 bulan dan didenda RM3,000 selepas didakwa ‘bertindak ganas terhadap pegawai perlawanan’. Isu tersebut tercetus apabila beliau didakwa menyiku pemain MPPJ, Rachid Zmama lalu dibuang padang dan mencetuskan perbalahan dengan pengadil, Manjit Singh dan penolongnya, Rosdi Shaharul.

Namun begitu, beliau diberikan hukuman yang lebih ringan iaitu digantung selama 4 bulan dan denda sebanyak RM2,000 selepas Jawatankuasa Rayuan FAM mendapati terdapat kesilapan dalam pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau.

Itu adalah salah satu dari beberapa kontroversi yang pernah dicetuskan oleh Ahmad Shahrul ketika masih bergelar seorang pemain. Keras ketika bertahan, bijak mengatur serangan pasukan, Ahmad Shahrul juga tidak pernah teragak-agak menghasilkan jaringan dengan percubaan-percubaan dari dalam dan luar kotak penalti.

Secara keseluruhan, Ahmad Shahrul Azhar menjaringkan tidak kurang daripada 25 gol sepanjang karier beliau bersama Perak dan Negeri Sembilan – menjadikan beliau sebagai antara pemain tengah box to box terbaik yang negara pernah hasilkan.

Penutup

Biarpun dianggap sebagai seorang pemain yang agresif, Ahmad Shahrul Azhar tetap berjaya muncul sebagai salah seorang pemain tengah terbaik semasa era kegemilangannya.

Biarpun tidak bersifat teknikal seperti Azizol Abu Haniffah, kebolehan Ahmad Shahrul Azhar untuk mengawal bahagian tengah dan menjaringkan gol tetap ditagih dan menjadi senjata buat Perak.

 

Nota editor: Artikel ini adalah sumbangan Meor Mohamad Amirul, telah disunting sebelum diterbitkan di Semuanya BOLA dengan kebenaran. Hantarkan artikel anda (tidak kurang dari 350 patah perkataan) ke [email protected] di dalam bentuk Microsoft Words jika mahukan ia dibaca oleh lebih sejuta pembaca kami.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN