Latihan pusat skuad kebangsaan bagi menghadapi perlawanan antarabangsa Tier 1 menentang Tajikistan serta dua aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Thailand dan Indonesia menyaksikan kehadiran semula dua pemain utama finalis Piala Malaysia, Afiq Fazail dan Baddrol Bakhtiar.
Nama Afiq terus menjadi sebutan peminat bola sepak berikutan aksi konsisten terutamanya pada pertemuan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2019 ketika menentang Selangor.
Baddrol sudah pastinya bukan satu nama yang perlu diperkenalkan dan seringkali menyarung jersi skuad kebangsaan manakala Afiq pernah dipanggil oleh Nelo Vingada pada pertemuan menentang Korea Utara di Buriram pada 2017.
Nur Azam Azih dan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi juga kembali dipanggil selepas diketepikan daripada senarai 23 pemain ke Hanoi tempoh hari.
Selain itu, Tan Cheng Hoe turut menampilkan Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak, Muhammad Farhan Roslan dan Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim.
Pengendali skuad kebangsaan itu mengekalkan 19 pemain yang dibawa ke Hanoi dan turut menyingkirkan empat pemain iaitu Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Irfan Zakaria, Akram Mahinan dan Abdul Halim Saari.
Menurut sumber FAM, para pemain akan melapor diri pada Ahad, 3 November 2019, kecuali pemain yang terlibat dengan Final Piala Malaysia 2019 pada Sabtu ini, 2 November 2019 hanya akan melapor diri pada Isnin, 4 November 2019.