Konfederasi Bola Sepak ASEAN (AFF) memandang serius insiden menghina negara yang berlaku membabitkan perlawanan di antara Thailand dan Malaysia di Kejohanan B-16 AFF baru-baru ini.
Dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Joko Samudro pada 30 Julai yang lalu, skuad B-16 negara menerima sorakan berbunyi, “Malaysia itu anjing” dan juga “Amirul itu anjing” oleh penyokong Indonesia.
Sorakan itu muncul selepas penyokong Indonesia berang dengan kesilapan pemain negara, Amirul Ashrafiq Hanifah yang termuat naik bendera Poland dan bukannya Indonesia dalam Instagram Story beliau.
Pelbagai jenis sepanduk berunsur provokasi turut dipamerkan oleh penyokong Indonesia terhadap skuad negara ketika perlawanan berlangsung.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh AFF pada hari ini, badan pentadbir bola sepak negara-negara ASEAN itu berkata pihak mereka sedang dalam proses mengumpul bukti sebelum tindakan selanjutnya diambil.
Tindakan hanya akan diambil selepas kes dirujuk kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Sebagai langkah sementara, AFF telah mengambil langkah berhubung dengan Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) sebagai tuan rumah kejohanan mengenai isu-isu keselamatan yang diperlukan untuk mengelakkan kejadian seperti yang terjadi di Kejohanan B-19 AFF dari berulang.
Chants “Malaysia itu anjing” “amirul itu anjing” bergema di stadium ketika MALAYSIA U16 menentang THAILAND U16.. BROOO @SyedSaddiq amacam ? Serumpun ke bro ?? pic.twitter.com/cDHj6SzfqZ
— MY Soccer League (@mysoccerleague) July 30, 2018
Menurut AFF, keselamatan pemain dan pegawai yang menyertai kejohanan di bawah kelolaan badan induk itu akan terus dijadikan keutamaan.
Untuk itu, langkah sewajarnya akan diambil untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini membabitkan penonton dari berlaku.
Berhubung perseteruan Indonesia dan Malaysia di dalam bola sepak, AFF turut berharap setiap wakil dari kedua-dua pasukan tidak melakukan sebarang komen berunsur provokasi, termasuk di media sosial untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) menyatakan sokongan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menghantar bantahan berkenaan isu yang sama.
NFDP menyokong penuh bantahan daripada @FAM_Malaysia tentang insiden di Kejohanan @AFFPresse di Surabaya.
Kejohanan2 peringkat bawah umur seharusnya jadi platfom mendidik dan melindungi pemain2 remaja dari segala anasir yang tidak sihat@SyedSaddiq @KBSMalaysia @scheekeong https://t.co/VLk6f7oBx8
— NFDP Malaysia (@nfdpmalaysia) July 31, 2018
Menurut muat naik NFDP dari laman Twitter, kejohanan- kejohanan di peringkat bawah umur seharusnya dijadikan platfom mendidik dan melindungi pemain-pemain remaja dari segala anasir yang tidak sihat.
Kejadian yang menimpa skuad B-16 negara baru-baru ini adalah kejadian kedua di dalam tempoh terdekat membabitkan penyokong Indonesia dan pasukan negara.
Bulan lalu skuad B-19 dibaling dengan objek ketika ingin kembali ke bilik persalinan selepas tuan tumah tewas di separuh akhir Kejohanan AFF B-19.
Skuad B-19 negara kemudiannya menewaskan Myanmar 4-3 di perlawanan akhir untuk muncul juara buat julung kalinya.