Quantcast

BERITA

AFF B-22: Ong Kim Swee Mahu Anak Buah Bangkit Pada Perlawanan Kedua

Skuad bawah 22 tahun negara (B-22) memulakan saingan Kejohanan AFF B-22 dengan langkah kiri apabila tewas 0-1 kepada tuan rumah, Kemboja melalui sepakan percuma jarak jauh yang tidak mampu diselamatkan oleh penjaga gol, Haziq Naqli.

Dari wisel permulaan lagi Kemboja menunjukkan aksi yang penuh bertenaga. Mereka memberikan masalah kepada Malaysia kerana bermain di atas rumput tiruan di Stadium Olimpik Phnom Penh memerlukan stamina yang sangat tinggi.

Malaysia dilihat bergelut dengan kreativiti di kawasan serangan sehingga membuatkan Kemboja semakin lama semakin mendapat keyakinan di dalam perlawanan ini.

Pengendali skuad itu, Datuk Ong Kim Swee mengakui jentera tengah pasukannya gagal berfungsi dengan baik dan beliau juga kehilangan beberapa pemain akibat kecederaan.

“Tentu akan ada rombakan di mana kita ada masalah dengan bahagian tengah selepas Kogileswaran dan Danial tak dapat bermain nanti.

“Namun masih ada pemain yang boleh mengisi slot ditinggalkan dan saya percaya mereka mampu menjalankan tugas dengan baik,” katanya dalam berita harian.

Kekalahan pertama ini bermakna misi untuk layak ke pringkat separuh akhir semakin sukar dan mereka wajib mengutip 3 mata penuh ke atas Indonesia pada perlawanan kedua nanti.

Kim Swee mahu anak buahnya melupakan segera kekalahan kepada Kemboja dan bangkit mempamerkan aksi terbaik.

“Perlawanan kedua kita harus dapatkan mata tak kira satu ataupun tiga untuk membuka peluang kita ke peringkat seterusnya,” jelasnya.

Satu lagi aksi kumpulan B semalam menyaksikan skuad Indonesia B-22 mengikat Myanmar B-22 dengan keputusan 1-1 sebelah petang, menceritakan peluang pasukan untuk mara ke separuh akhir masih terbuka.

Dua tonggak iaitu R Kogileswaran dan Danial Haqim Draman terpaksa disisihkan ekoran kecederaan dan penggantungan perlawanan kerana layangan kad merah.