EKSKLUSIF: Ikuti Kisah 14 ‘Ekor’ The Bos Gaurus Yang Tiba Di Korea Selatan Untuk Misi Asia

Perak akan turun beraksi di pusingan ketiga Kelayakan Liga Juara -Juara Asia 2019 menentang Ulsan Hyundai FC- pusingan terakhir sebelum bermulanya peringkat kumpulan, lewat petang ini.

Perak layak ke pusingan kelayakan terakhir ini selepas berjaya menundukkan juara Liga Premier Hong Kong, Kitchee SC di Ipoh pada 12 Februari yang lalu menerusi penentuan sepakan penalti.

‘Ekor’ The Bos Gaurus

The Bos Gaurus tidak akan berseorangan di Stadium Ulsan Munsu, Korea Selatan, lewat petang ini (waktu Malaysia) kerana 14 anak Perak akan turut serta berjuang bersama mereka sebagai ‘ekor’ skuad Seladang.

Semuanya BOLA telah berjaya menghubungi salah seorang yang telah sampai di Korea Selatan, Faiq Ajmal untuk mendapat sedikit informasi berkenaan perlawanan dan situasi mereka di sana.

“Ini bukan kali pertama bagi saya (awaydays luar negara). Waktu Lions XII main di Liga Super pun saya telah ikut pasukan,” ujarnya berkenaan kali pertama keluar awaydays ke luar negara.

Lions XII adalah pasukan dari Singapura yang beraksi di Liga Malaysia pada musim 2012 hingga 2015. Walaupun hanya merentasi ke Seberang Tambak, ianya tetap luar negara.

Menurut Faiq atau lebih mesra disapa Dodi dikalangan rakan-rakannya, mereka tiba di Busan awal pagi Isnin dan ada dikalangan mereka yang akan bermalam di Busan – 45 kilometer ke Ulsan.

“Kumpulan kami (yang telah sampai) ini ada 14 orang. Dua orang sudah bergerak ke Ulsan,” jelasnya mengenai jumlah penyokong Perak yang ada bersamanya ketika ini di Busan.

Perak
Foto: Faiq Ajmal

“Sebenarnya, ramai yang nak datang sini, tapi ada kekangan kewangan. Bukan juga nak kata yang datang sini mampu tapi sebenarnya otak dah letak tepi, janji sampai dulu,” ceritanya.

Kos ke Ulsan

Ketika ditanya mengenai semua kos sepanjang berada di Korea Selatan, Faiq menyatakan ada yang mencecah RM2500 termasuk kos penerbangan, penginapan, tiket dan sebagainya.

Ia menjadi sedikit mahal kerana ada di antara mereka yang baru sahaja mendapatkan tiket penerbangan pada Ahad.

“Ada yang cecah RM2000 untuk penerbangan sahaja sebab beli semalam (Ahad). Tiket penerbangan pergi dan balik sekitar RM1300 – RM1900 bergantung pada tarikh pembelian,” ujarnya.

“Sebenarnya lepas Perak sah beraksi di Liga Juara-Juara dan maklum mengenai perlawanan dengan Kitchee dan Ulsan Hyundai, ada di kalangan kami yang sudah mendapatkan tiket penebangan.

Lebih kepada ‘kalau Perak layak dapat tengok bola, kalau tak, boleh pergi melancong‘, jelas kumpulan mereka ini tidak memikirkan sangat mengenai kos perjalanan untuk ke sana.

Menurut Faiq, mereka telah mula mengumpul penyokong sekitar bulan 11 dan akhirnya berjaya merelisasikan impian mereka selepas Perak berjaya mengesahkan perlawanan di Ulsan.

Foto: Perak TBG

Untuk harga tiket perlawanan, mereka ada bertanya kepada pihak Ulsan Hyundai mengenai, dan dikhabarkan mereka boleh mendapatkan tiket sebelum perlawanan berlangsung (walk-in).

“Semalam kami dimaklumkan harga tiket untuk penyokong pelawat sekitar 40K Won, lebih kurang RM145 duit kita,” maklumnya mengenai harga tiket perlawanan tersebut.

Mereka jelas tidak risau untuk walk-in mendapatkan tiket kerana jumlah kehadiran penyokong kelab tersebut ke stadium tidaklah begitu ramai antara 800 hingga 2000 penyokong sahaja.

Kapasiti Stadium Ulsan Munsu adalah 44,000 – lebih sedikit berbanding Stadium Perak di Ipoh yang mampu memuatkan sehingga 42,000 penyokong. Jadi, mereka tidak risau.

Demi Perak TBG

Faiq ada menyatakan yang semangat untuk ke Korea Selatan ini didorong oleh status pasukan mereka yang bukan selalu dapat main peringkat tertinggi sebegini – Liga Juara-Juara Asia.

“Masa lawan Kitchee pun ramai yang tidak letak harapan tinggi tetapi Perak berjaya harunginya. Jadi, untuk perlawanan esok (petang ini), harap pemain dapat kekalkan momentum.

“Mungkin mampu lakar sejarah (layak ke Liga Juara-Juara Asia),” ujarnya mengenai harapannya sebelum menutup bicara.

Jika Perak berjaya mengatasi Ulsan Hyundai, mereka bakal mengiringi juara Liga Super 2018, Johor Darul Ta’zim (JDT) ke perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia 2019.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN