Jika Malaysia B-22 berdepan kesukaran untuk mendapatkan pemain terbaik, skuad Indonesia B-22 turut berdepan masalah yang sama apabila beberapa tonggak pasukan itu yang beraksi di luar negara tidak mendapat pelepasan daripada pasukan masing-masing.
Pengendali pasukan garuda muda, Indra Sjafri masih menunggu dan berharap kelab dari Malaysia, Pahang FA dapat membenarkan bintang mereka, Saddil Ramdani beraksi di kejohanan Piala AFF B-22 di Kemboja pada minggu depan.
https://twitter.com/BolaBanget/status/1094809007859089409
Menurut laporan daripada Indosport, jurulatih yang berusia 55 tahun itu mempersoalkan tindakan Pahang FA melepaskan dua pemain muda (Kogileswaran dan R. Dinesh) ke kem latihan pusat skuad Malaysia B-22 tetapi tidak melepaskan Saddil.
Justeru itu, beliau menuntut skuad tok gajah itu berlaku adil dan tidak mengamalkan diskrimasi dalam pelepasan pemain.
“Kemungkinan Saddil kalau Pahang beri keizinan untuk tiga pemain Malaysia di sana, maka kita juga akan tuntut keadilan.
“Jangan ada diskriminasi dong. Saddil kalau bisa dipulangkan, dipinjamkan ke kita,” katanya.
Tiga pemain Pahang disenaraikan untuk menghadiri kem latihan pusat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee, namun hanya dua pemain Pahang yang hadir dan seorang lagi pemain iaitu Faisal Halim tidak dilepaskan.
https://twitter.com/BolaBanget/status/1094913982593466368
Selain Saddil, Indra Sjafri juga sedang menunggu kedatangan pemain sayap yang lincah iaitu Osvaldo Haay. Pemain Persebaya Surabaya itu sedang menjalani ujian pemilihan dengan kelab Sepanyol, UD Numancia.
Skuad Malaysia B-22 pula bakal menghadapi kejohanan Piala AFF B-22 tanpa khidmat 5 pemain penting iaitu Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam (Kedah), Muhammad Danial Amier Norhisham, Muhammad Zahril Azri Zabri (FELDA United), Mohd Faisal Abdul Halim (Pahang) dan Syahmi Safari (Selangor).