Dalam 10 tahun kebelakangan ini, Kemboja tidak pernah menang ke atas Malaysia dalam mana-mana perlawanan sama ada dalam aksi persahabatan mahupun dalam kejohanan.
Malaysia berpeluang menambah koleksi kemenangan ke atas Kemboja sekiranya semua pemain yang ditugaskan menggalas cabaran selaku pemain utama menyelesaikan tugasan mereka.
Malaysia baru sahaja merekodkan kemenangan selesa ke atas Kemboja pada September yang lalu dan ini pasti menjadi tonik buat para pemain untuk mendapatkan keputusan terbaik.
Dengan Kemboja yang kali terakhir meraih kemenangan adalah pada Mac lalu menentang Laos, Harimau Malaya dijangka bakal mengaum dalam aksi pembukaan Kumpulan A, malam ini.
Di bawah kendalian Tan Cheng Hoe, sepanjang tahun 2018, Malaysia telah merekodkan 21 gol dengan purata jaringan yang baik iaitu 2.3 dalam 9 perlawanan yang telah dilalui.
Selain itu, purata bolos yang direkodkan pula sangat rendah apabila hanya bolos satu gol dalam setiap perlawanan. Ini mampu membantu Malaysia dalam perlawanan menentang Kemboja.
Rekod pertembungan
Dalam 10 tahun terkini, Malaysia dan Kemboja telah bertembung sebanyak 4 kali dengan rekod yang memihak kepada Malaysia apabila memenangi kesemua perlawanan tersebut.
Pertembungan terkini antara kedua-dua pasukan adalah pada 10 September lalu yang berlangsung di Phnom Pehn. Malaysia menewaskan Angkor Warriors dengan keputusan 3-1.
Anak buah Cheng Hoe berjaya bangkit di babak kedua selepas ketinggalan satu gol di babak pertama hasil jaringan Shahrul Saad, Syazwan Andik dan juga penyerang, Shahrel Fikri.
Rekod pertemuan di Piala AFF
Di kejohanan Piala AFF, kedua-dua pasukan jarang bertembung kerana Kemboja sering gagal untuk melepasi pusingan kelayakan dengan hanya dua kali mereka pernah bertemu.
Pertembungan pertama adalah pada Piala Tiger 2000 dan juga terkini adalah pada Piala AFF 2016. Malaysia menang dalam kedua-dua perlawanan tersebut dengan keputusan yang sama iaitu 3-2.
Pada edisi yang lalu, Malaysia bangkit dua kali selepas ketinggalan hasil dua gol penyerang sensasi Kemboja, Chan Vathanaka yang juga pernah beraksi bersama Pahang musim lalu.
Kapten, Amri Yahyah dijulang sebagai wira apabila membantu pasukannya dengan menyumbang dua gol untuk Harimau Malaya bangkit menumbangkan Angkor Warriors.
Rekod semasa
Lima aksi terkini skuad Malaysia (K-M-M-K-M)
- 7 September: Kalah vs Chinese Taipei 0-2 (Persahabatan)
- 10 September: Menang vs Kemboja 3-1 (Persahabatan)
- 12 Oktober: Menang vs Sri Lanka 4-1 (Persahabatan)
- 16 Oktober: Kalah vs Kyrgyzstan 0-1 (Persahabatan)
- 3 November: Menang vs Maldives 3-0 (Persahabatan)
Lima aksi terkini skuad Kemboja (M-K-K-S-K)
- 21 Mac: Menang vs Laos 1-0 (Persahabatan)
- 27 Mac: Kalah vs Afghanistan 1-2 (Kelayakan Piala Asia)
- 10 September: Kalah vs Malaysia 1-3 (Persahabatan)
- 12 Oktober: Seri vs Timor Leste 2-2 (Persahabatan)
- 16 Oktober: Kalah vs Singapura 1-2 (Persahabatan)
Apa kata jurulatih
Tan Cheng Hoe
“Saya gembira kerana ini Piala AFF pertama saya sebagai jurulatih. Semua pemain berada dalam keadaan terbaik untuk beraksi esok dan kami mahu memberikan yang terbaik.”
“Perlawanan pada September lalu hanya perlawanan persahabatan, esok perlawanan kompetitif. Ada beberapa muka baharu dalam senarai kami, tetapi ia pastinya bukan perlawanan yang mudah.”
Felix Dalmas
“Kami telah banyak belajar daripada kekalahan kepada Malaysia tempohari, ia satu perlawanan yang hebat dan kami akan belajar daripada kesalahan yang telah dibuat dalam perlawanan itu.”
“Keisuke Honda tidak berada di sini esok. Harapnya dia akan dapat bersama pasukan selepas ini. Begitupun, dia sentiasa berkomunikasi bersama kami dan tahu segala situasi di sini.”
Pemain tumpuan
Pastinya pemain sayap terbaharu Cheng Hoe, Mohamadou Sumareh bakal menjadi tumpuan dalam perlawanan ini walaupun Malaysia juga sebenarnya memiliki Safawi Rasid di dalam pasukan.
Tidak beraksi dalam pertemuan sebelum ini menjadikan Sumareh sebagai senjata rahsia Harimau Malaya. Ini merupakan kejohanan AFF pertamanya selepas debut pada tanggal 12 Oktober lalu.
Sebagai pemain naturalisasi pertama dalam sejarah skuad kebangsaan, Sumareh pastinya ingin membuktikan kehadirannya dalam skuad kebangsaan memberi impak yang berkesan.
Prestasinya ketika ini cemerlang apabila telah menyumbang 3 gol dalam 3 perlawanan selain berjaya mengisi bahagian sayap kanan dengan larian-larian laju yang mengucar-kacirkan benteng lawan.
Kebergantungan Cheng Hoe terhadap Sumareh jelas dalam perlawanan pemanas badan menentang Maldives baru-baru ini apabila dilihat menfokuskan hantaran-hantaran deras kepadanya.
Ramalan Semuanya BOLA
Melihatkan rekod pertemuan, tiada yang mustahil buat Harimau Malaya untuk menewaskan Kemboja buat kesekian kalinya, namun para pemain perlu kekal fokus sepanjang perlawanan.
Jika tiada sebarang masalah, Cheng Hoe dijangka bakal menurunkan skuad yang hampir sama ketika menundukkan Maldives kecuali dua tonggak yang telah digugurkan.
Dua pemain yang sudah digugurkan daripada skuad kejohanan AFF adalah Azrif Nasrulhaq dan Nor Azam Azih. Dua posisi ini sahaja yang mungkin akan berlaku perubahan.
Dalam dua pertembungan terkini, Kemboja membuktikan mereka mampu mendahului perlawanan dan memaksa Malaysia bangkit memenangi perlawanan, satu fakta yang tidak boleh disangkal.
Oleh itu, dengan nafas baharu yang dibawa oleh Cheng Hoe, bekas pemenang Piala AFF 2010 bersama-sama Datuk K. Rajagobal, Malaysia diharapkan akan membuka langkah dengan cemerlang.
Kemboja bakal beraksi di hadapan penyokong sendiri dan dengan motivasi mahu layak buat kali pertama ke pentas separuh akhir kejohanan, ia menjadikan perlawanan ini sangat menarik.
Perlawanan pembukaan sentiasa sukar dan kedua-dua pasukan pasti akan lebih berhati-hati dalam mengatur langkah.
Ramalan: Malaysia 3-1 Kemboja