Quantcast

BERITA

AFCON 2019: Mimpi Indah Madagascar Berakhir Selepas Tunduk 0-3 Ditangan Tunisia

Mimpi indah yang dinikmati pendatang baru Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), Madagascar terhenti di peringkat suku akhir selepas tunduk 0-3 ditangan juara edisi 2004, Tunisia di Al Salam Stadium, Cairo.

Berjaya mengekang dengan baik asakan lawan pada 45 minit pertama, Madagascar tidak berupaya lagi untuk terus bertahan apabila dibolosi tiga jaringan selepas aksi kembali bersambung.

Segalanya bermula selepas cubaan dari luar kawasan penalti Madagascar dilakukan Ferjani Sassi pada minit ke-52 terbias mengenai Thomas Fontaine membuatkan penjaga gol, Melvin Adrien mati langkah mengakibatkan gawangnya dibolosi.

Jaringan tersebut jelas menjadi tonik berguna buat skuad yang dibimbing Alain Giresse itu apabila Youssef Msakni menjadikan kedudukan 2-0 hanya selepas lapan minit berselang.

Bermula daripada percubaan Wahbi Khazri yang berjaya diselamatkan Adrien, Msakni melakukan percubaan susulan bagi melebarkan kedudukan buat Tunisia.

Pemain gantian, Naim Sliti melengkapkan kemenangan 3-0 buat Tunisia pada lewat permainan untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir untuk bertemu Nigeria, 14 Julai nanti.

Antara perkara lain yang menarik untuk diperkatakan adalah kejayaan menumpaskan Madagascar 3-0 ini adalah kemenangan pertama dalam tempoh 90 minit buat Tunisia dalam saingan AFCON kali ini.

Pada peringkat kumpulan, mereka mencatatkan tiga keputusan seri bertemu Angola (1-1), Mali (1-1) dan Mauritania (0-0). Manakala di saingan 16 terbaik juga turut mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Ghana sebelum menang menerusi penentuan sepakan penalti.

Dalam pada itu, walaupun perjuangan Madagascar terhenti di peringkat suku akhir, pujian harusnya diberikan selepas aksi bertenaga dipamerkan dan kejutan dilakukan sehingga mampu layak ke saingan kalah mati sebagai juara kumpulan B.

Kredit foto: Total Africa Cup of Nations