Semalam, telah berlangsungnya perlawanan Kumpulan C dan D untuk AFCON 2019. Perlawanan tersebut merupakan perlawanan ketiga dan terakhir peringkat kumpulan.
Algeria tepati ramalan
Algeria menewaskan Tanzania dengan jaringan 3-0 untuk menjadikan skuad dari utara benua Afrika itu menjadi juara Kumpulan C. Adam Ounas menjaringkan dua gol pada minit ke-39 dan minit 45+1.
Islam Slimani turut menjadi penyumbang gol. Slimani menyumbat gol pada minit ke-35 selaku gol pembukaan perlawanan. Riyad Mahrez turut diturunkan dalam aksi penutup Kumpulan C ini.
Algeria menyapu bersih 9 mata ditawarkan dengan menewaskan semua pencabar iaitu Kenya, Senegal dan Tanzania.
Senegal bernafas
Senegal menamatkan kempen Kumpulan C dengan kemenangan ke atas Kenya. Sadio Mane, bintang Liverpool bertindak cemerlang dengan menjaringkan 2 gol.
Gol Mane itu hadir pada minit ke-71 dan minit ke-78. Ismaila Sarr menjadi pencatat skor apabila menghadiahkan gol pada minit ke-63.
Senegal membenam cabaran Kenya dengan keputusan 3-0. Dek kemenangan berharga itu, Senegal berada di tangga kedua Kumpulan C.
Mereka meraih 6 mata hasil daripada 2 kemenangan iaitu ke atas Kenya dan Tanzania.
Maghribi bersinar
Mbark Boussoufa menjaringkan gol tunggal untuk Maghribi menang ke atas Afrika Selatan. Kedua-dua pasukan itu bertembung untuk aksi terakhir Kumpulan D.
Boussoufa menjaringkan gol pada minit kecederaan separuh masa kedua untuk memastikan Maghribi itu menjuarai Kumpulan C.
Dalam satu lagi aksi, Ivory Coast menewaskan Namibia dengan keputusan 4-1. Gol Ivory Coast disumbangkan oleh Max Gradel pada minit ke-39.
Ivory Coast menambah jaringan pada minit ke-58 melalui Die Serey. Namibia merapatkan kedudukan sewaktu minit ke-71 apabila Joslin Kamatuka menjaringkan gol.
Akhirnya, Ivory Coast menguasai permainan melalui dua gol dijaringkan oleh Wilfred Zaha dan Maxwel Cornet. Kedua-dua gol itu memasuki gawang Namibia pada tempoh 5 minit ketika perlawanan berbaki 10 minit.
Siapa mara?
Maghribi dan Ivory Coast mara ke pusingan 16 terbaik selaku juara dan naib juara Kumpulan D. Manakala Afrika Selatan menduduki tangga ketiga.
Afrika Selatan dan Kenya akan menunggu sama ada mereka layak atau sebaliknya. Lewat malam ini, aksi penutup Kumpulan E dan F akan dilangsungkan.