Sabah bakal menghadapi cabaran getir pada 13 Februari ini, apabila mereka bakal menghadapi aksi separuh akhir peringkat Zon Asean bagi saingan Piala AFC untuk berdepan Macarthur FC.
Sabah yang buat julung kalinya menyertai saingan AFC tampil dengan begitu menyakinkan pada tahun lalu bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee di peringkat Kumpulan H.
Tampil dengan gandingan pemain tempatan serta import berkualiti, Sabah mengesahkan diri mereka selaku satu-satunya wakil Malaysia untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya.
Walaupun begitu, mereka terpaksa berdepan cabaran sukar untuk aksi kali ini apabila skuad kendalian Kim Swee bakal bertemu salah satu pasukan gergasi dari Australia.
Walaupun begitu, pengendali pasukan berkenaan tampil yakin Sabah mampu untuk mengatasi Macarthur FC serta mara ke pusingan seterusnya.
Walaupun menyedari hakikat Sabah bakal berdepan aksi tersebut di gelanggang lawan, Kim Swee percaya anak-anak buahnya mampu untuk memberikan cabaran terbaik buat pasukan lawan.
Kim Swee juga menyedari hakikat pasukan lawan mempunyai suatu kelebihan berbanding pasukan kendaliannya untuk diharungi kerana saingan liga di Australia kini masih sedang berlangsung.
Ini memberi peluang buat pasukan lawan untuk mendapat aksi kompetitif setiap minggu jika dibandingkan saingan Liga Malaysia (Liga M) yang sudah pun tamat.
“Sudah tentu pasukan Macarthur mempunyai kelebihan. Pertama bermain di tempat sendiri, kedua liga mereka masih lagi berlangsung walaupun Piala Asia (2023) masih lagi berlangsung di Doha dan mereka bermain secara kompetitif setiap minggu.
“Jadi ini akan membantu mereka dari segi mendapatkan kecergasan perlawanan dan sudah tentu banyak kelebihan kepada mereka tetapi kita tahu ini perlawanan separuh akhir dan kita akan cuba untuk memberi satu saingan sengit serta berharap kita dapat layak ke peringkat seterusnya, ” katanya menerusi laporan Harian Metro.
Pada masa sama, Kim Swee juga sangat lega apabila senarai pemainnya kini bebas daripada sebarang isu kecederaan serius dan sedia untuk dipertaruhkan pada aksi berkenaan.
“Kesemua pemain kembali berlatih termasuk pemain kebangsaan dan kita ada lebuh kurang seminggu lagi sebelum bertolak ke Sydney.
“Buat masa ini tiada pemain yang mengalami kecederaan kecuali Saddil (Ramdani) ada sedikit kecederaan namun kita masih ada masa sebelum hari perlawanan,” katanya akhir sekali.