Sabah bakal menghadapi saingan AFC hari ini bagi peringkat separuh akhir Zon Asean dengan membuat perhitungan bersama wakil dari Australia yang dianggap sangat mencabar iaitu Macarthur FC.
Beraksi di Stadium Sukan Campbelltown, kelebihan dilihat terarah kepada Macarthur yang dianggap berada prestasi terbaik selepas mereka tidak tewas sejak tujuh perlawanan lalu.
Malah, pasukan kendalian Mile Sterjovski itu juga masih lagi mengharungi perlawanan-perlawanan kompetitif kerana saingan liga di sana masih lagi sedang berlangsung.
Berbanding Sabah, pasukan ini tampak serba kekurangan daripada aksi kompetitif serta dijangka kehilangan pemain tonggak utama mereka dari Indonesia iaitu Saddil Ramdani akibat dibelenggu kecederaan.
Walaupun begitu, pengendali Sabah iaitu Datuk Ong Kim Swee sebelum ini sudah pun menegaskan pada sesi sidang media tentang keyakinan beliau untuk memberikan segalanya terbaik menentang pasukan lawan.
Untuk saingan hari ini, tiga pemain Sabah yang juga berstatus kebangsaan dan masih segar di saingan Piala Asia 2023 lalu dijangka bakal memperkukuhkan pasukan tersebut untuk berdepan cabaran lawan.
Daniel Ting
Pertahanan serba boleh itu dijangka bakal menjadi antara tunjang utama kekuatan Sabah pada petang ini untuk memperkukuhkan barisan belakang The Rhinos bertemu Macarthur FC.
Daniel mempamerkan kualiti permainan cukup menyakinkan ketika aksi terakhir Malaysia dalam saingan Piala Asia 2023, apabila beliau menyekat segala peluang cuba dicipta Korea Selatan terutama sekali Son Heung-min untuk mendapatkan gol.
Memiliki ketepatan untuk membuat bentesan dengan baik, Daniel juga berupaya untuk membantu siri serangan pasukan menerusi kualiti hantaran silang beliau ke arah petak penalti lawan.
Stuart Wilkin
Stuart menjadi satu-satunya pemain yang sentiasa konsisten dalam semua perlawanan dihadapi pasukan kebangsaan lalu dalam saingan Piala Asia 2023 di Qatar.
Rekod dan konsistensi beliau itu juga tidak kurang hebat di saingan AFC apabila beliau telah mencipta enam penampilan bersama satu jaringan untuk Sabah.
Beraksi di posisi tengah menyerang, keupayaan Stuart daripada segi kreativiti mencipta peluang gol pastinya ditagih untuk memberi reaksi positif buat Sabah selain kepakarannya membuat sepakan jarak jauh.
Darren Lok
Salah seorang penyerang paling menonjol dalam saingan AFC ini apabila Darren telah pun membuktikan ketajamannya di pentas Asia sejak peringkat kumpulan.
Setakat lima perlawanan dilalui penyerang bertubuh tegap ini, Darren telah pun meledak enam gol secara keseluruhan serta mencipta dua bantuan jaringan untuk membuktikan betapa berpengaruhnya pemain tersebut buat Sabah.
Kekuatan fizikal, stamina yang tinggi untuk memberi tekanan buat pertahanan lawan, serta ketajamannya di hadapan gol bakal menjadi aset utama untuk aksi petang ini bagi mengecewakan wakil dari Australia tersebut.