Konfederasai Bola Sepak Asia (AFC) akan membina stadium yang penuh gemilang di Putrajaya – kira-kira 30km dari Bukit Jalil tempat terletaknya ibu pejabat mereka yang bernama Stadium AFC.
Dalam laporan yang dikeluarkan oleh mereka, stadium baharu yang berkapasiti 10 ribu itu merupakan usahasama antara AFC dan juga Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Ia merupakan sebahagian daripada program FIFA Forward yang mahu menyaksikan bola sepak semakin maju ke depan dengan stadium tersebut akan menerima dana pembinaan oleh badan induk bola sepak dunia itu.
Dengan wujudnya stadium ini, ianya akan membolehkan bola sepak Asia akan bergerak dengan lebih maju untuk mengurangkan jurang dengan benua lain.
✨ 𝙋𝙍𝙀𝙎𝙀𝙉𝙏𝙄𝙉𝙂 ✨
The AFC is building a new stadium in 🇲🇾 Putrajaya in collaboration with FIFA to leverage the strong momentum of Asian football. pic.twitter.com/KnRhQDgAie
— #AsianCup2023 (@afcasiancup) October 18, 2022
“Saya yakin dengan stadium baharu AFC ini ia akan membuka jalan buat ahli gabungan serta persatuan serantau untuk melangkah lebih tinggi selepas ini.
“Mewakili keluarga bola sepak Asia, saya menzahirkan penghargaan tertinggi kepada FIFA terhadap kemahuan mereka untuk membina era baharu bersama-sama AFC.
“Begitu juga dengan pihak kerajaan Malaysia terhadap dedikasi mereka untuk membangunkan bola sepak Asia, bukan sahaja menerusi projek ini tetapi sokongan teguh sejak sedekad yang lalu,” kata Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa.
Rekaan stadium ini tidak menggunakan kapasiti yang besar sebaliknya mengutamakan bentuk rekaan moden dengan jumlah tempat duduk yang kecil.
Ia cuma mempunyai dua dirian (stand) sahaja iaitu dirian utama (grandstand) dan dirian tentang (rear stand) dengan atrium serta pintu masuk yang gemilang turut bakal dibina.
Kegunaan rasmi untuk Stadium AFC ini masih lagi belum ditentukan dengan ia mungkin akan menjurus kepada penggunaan untuk perlawanan di gelanggang berkecuali dan kejohanan-kejohanan kecil anjuran mereka.
Adalah tidak pasti sekiranya aksi utama seperti perlawanan akhir Piala AFC dan Liga Juara-Juara AFC akan diadakan di sini kerana faktor jumlah kapasiti.