AFC B-23: Malaysia Raih Mata Pertama Dalam Debut Dengan Aksi Cemerlang Babak Kedua

Bagi Malaysia, perlawanan menentang Jordan akan menentukan sama ada mereka akan terus bersaing untuk memburu tempat ke peringkat seterusnya.

Jika tewas, maka skuad bimbingan Ong Kim Swee boleh menganggap perlawanan terakhir menentang Arab Saudi sebagai sekadar pelengkap jadual perlawanan.

Jordan yang mengikat Arab Saudi 2-2 dalam perlawanan yang lalu pasti mahu mencari 3 mata dalam perlawanan ini.

Ini bagi memudahkan lagi laluan mereka ke peringkat seterusnya ketika berhadapan dengan Iraq di perlawanan terakhir peringkat kumpulan nanti.

Tidak banyak perubahan yang dilakukan oleh Ong Kim Swee untuk pertemuan menentang Jordan. Terus mengekalkan asas sistem 3-4-3, tiada kelibat N.Thanabalan di dalam kesebelasan utama.

Sebaliknya, kelincahan Akhyar Rashid ditagih selepas memperlihatkan permainan positif ketika menentang Iraq dalam perlawanan pertama yang lalu.

Separuh masa pertama

Jika perlawanan menentang Iraq dijadikan perbandingan, tidak ada banyak perbezaan ditunjukkan oleh corak permainan anak didik Ong Kim Swee dalam perlawanan ini.

Jordan terus menekan daripada awal permainan, memaksa pertahanan negara bekerja keras untuk mengelakkan dibocori pada minit awal permainan.

Minit ke-11 perlawanan, rembatan Ahmed Fawzi Al Reyahi dari jarak dekat berjaya ditepis keluar oleh Haziq Nazli selepas kealpaan benteng pertahanan.

Skuad negara turut cuba mengatur gerakan ke arah gawang lawan, dan Jafri Firdaus Chew tampil dengan rembatan lemah pada minit ke-14 perlawanan, memudahkan tugas Rafat Al Rabie pada minit ke-14.

Seminit selepas itu, gawang Malaysia akhirnya dibocori apabila Ward Helal Khalid Al Bari meletakkan Jordan di hadapan pada minit ke-15 perlawanan.

Gol berpunca daripada kekeliruan pertahanan Malaysia dalam merangka perangkap offsaid, dan akhirnya pemain negara sekadar memerhatikan larian yang dilakukan oleh pemain berjersi No.21 itu.

Minit ke-28 Safawi Rasid melakukan rembatan deras ke arah gawang Jordan, namun tersasar untuk kedudukan kekal 0-1.

Syazwan Andik menjadi pemain pertama mendapat layangan kad kuning selepas mengasari pemain Jordan pada minit ke-30 perlawanan.

Sepakan percuma pemain tengah Daniel Amier pada minit ke-35 perlawanan juga tidak mendatangkan hasil, apabila berjaya ditumbuk oleh Rafat Al Rabie.

Akhyar Abdul Rashid menjadi duri dalam daging buat Jordan selepas dijatuhkan oleh di dalam kotak penalti lawan, sekaligus memberikan sepakan penalti buat skuad negara.

Safawi Rasid tidak mensia-siakan peluang apabila menyempurnakan penalti untuk Malaysia kembali mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-42 perlawanan.

3 minit masa tambahan yang diberikan pengadil perlawanan, menyaksikan Malaysia 1-1 Jordan kekal sehingga tamat babak pertama perlawanan.

Persoalan untuk anda: Mengapakah pemain pertahanan terakhir Jordan tidak dilayangkan kad merah?

Separuh masa kedua

Setelah berjaya menyamakan kedudukan pada babak pertama perlawanan, pemain-pemain muda negara tampil lebih yakin di babak kedua perlawanan.

Mereka lebih kemas dalam hantaran dan gerakan, serta dalam membaca hantaran lawan. Minit ke-50 perlawanan skuad negara hampir menghukum pertahanan Jordan.

Tindakan Jaffri Chew melakukan tekanan terhadap pertahanan lawan, membenarkan beliau mencuri bola. Hasil hantaran Jafri disambar oleh Safawi, namun sedikit tersasar di sebelah kiri gawang Jordan.

Jordan selepas itu kelihatan sukar untuk melakukan serangan, dan hanya melakukan hantaran-hantaran pendek sebelum melakukan percubaan dari luar kawasan penalti Malaysia.

Namun minit ke-53 perlawanan, percubaan Noor Al Deen Mahmoud sekadar melepasi palang gol dan 4 minit kemudian sepakan percuma oleh Jordan dari sebelah kanan gawang Malaysia berjaya diselamatkan oleh Haziq Nazli.

Serangan balas pantas Malaysia hasil gerakan Safawai dan Jafri hampir memerangkap Jordan, namun ianya berakhir dengan rembatan kaki kiri yang lemah dari Jafri pada minit ke-60 perlawanan.

Syameer Kutty dimasukkan bagi menggantikan Danial Amier pada minit ke-65 perlawanan.

Kepantasan larian barisan serangan negara sering menyukarkan Jordan. Minit ke-67 perlawanan Akhyar berjaya meloloskan diri untuk melepaskan percubaan, namun terkena tiang. Bola lantunan disambar oleh Syazwan, namun sedikit tersasar di sebelah sisi gawang Jordan.

Haziq Nazli wajar dipuji apabila beberapa kali menyelamatkan percubaan daripada penyerang Jordan. Minit ke-72, sekali lagi Malaysia mengegarkan tiang gol Jordan melalui rembatan deras Matthew Davies.

Minit ke-80 perlawanan, sau lagi pertukaran dari kem Malaysia apabila memasukkan Tommy Mawat Bada bagi menggantikan Akhyar Abdul Rashid yang mengalami sedikit kecederaan.

Kedua-dua pasukan sering berbalas serangan, namun gagal menemui peluang dan penyudah yang dikehendaki. Minit ke-90, Malaysia melakukan pertukaran terakhir, mengeluarkan Dominic Tan dan memberikan laluan buat Syazwan Zaipol.

Pengadil perlawanan memberikan 6 minit masa tambahan. Malaysia seharusnya merasa lega apabila sepakan percuma oleh Jordan di luar kotak penalti tersasar.

Malaysia jelas pasukan yang berbeza pada separuh masa kedua membuatkan Jordan jelas tertekan untuk menang perlawanan ini. Jika anda mencari aksi terbaik Malaysia sejak sekian lama, pada separuh masa kedua perlawanan ini adalah jawapannya.

Malaysia pula hampir melakar kejutan untuk menang perlawanan ini. Aksi yang harus dipuji dan Malaysia mendapat mata pertama dalam debut kejohanan Piala Asia B-23 dan masih menghidupkan cabaran Malaysia dalam kejohanan ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN