Malaysia turun berhadapan dengan pasukan pilihan Korea Selatan. Malaysia melakukan 1 pertukaran di dalam perlawanan ini. Manakala Korea Selatan melakukan 4 pertukaran yang mampu menaikkan kesegaran di dalam pasukan mereka.
Starting lineups for 🇰🇷 vs 🇲🇾! #AFCU23 #KORvMAS pic.twitter.com/ZH1fvA4VVT
— AFC (@theafcdotcom) January 20, 2018
Separuh masa pertama
Bermula perlawanan, Korea Selatan hanya memerlukan 13 saat untuk gol pertama. Satu percubaan separa voli yang deras daripada Cho Jae Wan. Rembatan daripada jarak agak jauh yang terus menerjah far-post dan gol.
Malaysia kemudian cuba memberikan tekana kepada Korea Selatan. 10 minit pertama, hanyalah gol Korea Selatan yang menjadi ‘highlight’.’
Pada minit ke-16, Safawi Rasid melakukan percubaan deras namun tepat ke arah dakapan penjaga gol. 4 minit kemudian Haziq diuji dengan tandukan deras Lee Keun Ho.
Keun Ho sekali lagi menjadi ancaman Malaysia selepas pertukaran hantaran dengan rakan beliau menghasilkan situasi 1 lawan 1 namun gagal disudahkan.
Safawi melakukan cabaran kaki tinggi ke arah penjaga gol Korea Selatan dan dilayangkan kad kuning. Mujur tidak kad merah.
Sebelum wisel separuh masa, Safawi menguji penjaga gol Korea Selatan dengan percubaan bahaya. Tamat separuh masa pertama, Malaysia di belakang dengan 1 gol.
Melaysia memamatkan separuh masa pertama dengan 57% penguasaan bola. Pada satu ketika Malaysia menguasai 60% daripada perlawanan. Aksi berpasukan yang baik cuma masalah kreativiti dan ketajaman permainan di final third.
Ini penguasaan bola pada minit ke-35.
Separuh masa kedua
Malaysia meneruskan aksi bertenaga pada awal separuh masa kedua. Safawi melakukan percubaan ke arah gol untuk kali ke-3 secara peribadi.
Minit ke-51, pergelutan ketika situasi sepakan penjuru hampir memberikan gol kepada Malaysia, sayang percubaan Adam Nor Azlin agak tinggi.
2 minit kemudian, Malaysia mendapat peluang gol sekali lagi. Percubaan deras Safawi Rasid dinafikan oleh Kang Hyeon Mu. Satu percubaan leret yang deras hasil daripada permainan berpasukan menarik.
Minit ke-57, pertahanan Malaysia hampir dihukum oleh Kim Moon Hwan yang menanduk bola di depan gol tetapi liar. Beberapa saat selepas itu, Korea Selatan hadir dengan 2 percubaan di dalam kotak penalti. Namun berjaya dihadang Adam Nor Azlin dan satu lagi percubaan lemah.
Minit ke-59, kekalutan berlaku di dalam kotak penalti Malaysia, Keun Ho melakukan percubaan namun dinafikan Haziq dengan kepala beliau. Detik mencemaskan.
Malaysia membenarkan Korea Selatan bermain bola sepak mereka dalam fasa ini. Minit ke-67, Thanabalan yang dikenali dengan Fox in the box memastikan dia memang ada naluri itu. Tandukan deras ke arah gol hasil hantaran silang Safawi Rasid.
Korea Selatan kelihatan terdesak untuk menamatkan perlawanan ini untuk 90 minit. Minit ke-76 Haziq Nadzli melakukan aksi menyelamat berganda. Percubaan akhir Kuen Ho ditepis Haziq Nadzli dengan refleks kucing.
Namun gawang Malaysia bocor pada minit ke-85 menerusi jaringan Hang Seung Gyu. Beliau menewaskan 2 pertahanan Malaysia dan Haziq Nadzli.
Korea Selatan berjaya mengekalkan kelebihan 1 gol sehingga wisel penamat untuk mara ke separuh akhir.
Pulang dengan bangga Malaysia!
Aksi yang wajar dipuji walaupun tewas. Malaysia melangkah ke suku akhir untuk berada dalam kelompok 8 terbaik Asia dalam kejohanan kali ini.
Layak secara merit ke China pun sudah dikira pencapaian yang sangat baik. Mendapat mata pertama menentang Jordan dalam penampilan debut.
Kita menewaskan Arab Saudi pada perlawanan ke-3 peringkat kumpulan. Melepasi kumpulan C yang dihuni juga Iraq, Jordan dan Arab Saudi.
Mendominasi perlawanan pada separuh masa pertama dan berkongsi penguasaan bola yang hampir sama pada separuh masa kedua dengan Korea Selatan, bukan sesuatu yang kita pernah bayangkan sebelum ini.
Ramai yang menjangka Malaysia akan bertahan selepas mendapat 1 gol penyamaan tetapi ia tak berlaku. Malaysia terus cuba bermain bola sepak.
Malaysia juga banyak mencipta percubaan gol dan bermain sangat positif di dalam perlawanan ini.
Selamat tinggal Piala Asia B-23. Baliklah dengan bangga dan terima kasih kerana meletakkan nama negara kita di kelompok 8 terbaik di Asia kali ini. Ini promosi yang sangat baik untuk bola sepak kita di mata Asia.
Bak kata Shebby, kalaulah ini pasukan senior negara saya, pastinya saya lebih berbangga. Lupakan untuk berlawan dengan pasukan seperti Timor Leste lagi. Teruskan membangunkan pasukan yang lebih kompetitif.
Anda kalah di padang tetapi menang di hati kami semua kali ini. Apa kata anda? Berikan komen.