Malam ini skuad bawah 19 tahun negara wajib memburu 3 mata penuh jika tidak mahu tersingkir awal daripada Kejohanan Bawah 19 (B-19) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Indonesia apabila dijadualkan bertemu Tajikistan untuk aksi kedua kumpulan D di Stadium Patriot, Bekasi.
Ia merupakan misi yang sukar selepas tewas kepada Arab Saudi 1-2 di perlawanan pertama apatah lagi Tajikistan juga kini berada dalam prestasi terbaik apabila mencatat kemenangan ke atas China, 1-0.
Walaubagaimanapun, pengendali skuad muda negara, Bojan Hodak menegaskan tiada yang mustahil buat anak buahnya mencipta kejutan menundukkan pasukan itu.
Malah, pengendali dari Croatia itu percaya pemain muda negara sudah melupakan kekecewaan gagal meraih sebarang mata ketika berdepan Arab Saudi.
“Tajikistan mempamerkan permainan cukup mantap ketika mengatasi China. Mereka pasukan yang amat kuat dan ia pasti menyukarkan kami.
“Walaupun fizikal pemain mereka tidak terlalu besar tapi mereka beraksi dengan penuh disiplin. Kami akan cuba memberikan aksi lebih baik berbanding ketika menentang Arab Saudi.
“Moral pemain juga baik dan mereka cuma perlu memperbaiki beberapa kesilapan yang dilakukan ketika aksi pertama peringkat kumpulan,” katanya kepada Berita Harian semalam.
Bintang muda Kedah, Akhyar Rashid dijangka akan membarisi kesebelasan utama malam ini selepas hanya diturunkan pada babak kedua pada perlawanan pertama.
Selain itu, Bojan juga mengesahkan beberapa pemain mengalami kecederaan tetapi mereka tiada masalah untuk diturunkan bagi mengelakkan kekalahan kali kedua.
“Semalam kami lakukan sesi pemulihan dan ada empat atau lima pemain mengalami kecederaan, tapi ia tidak serius.
“Saya fikir mereka tiada masalah untuk diturunkan esok. Apa pun saya akan menilai keadaan semua pemain selepas sesi latihan terakhir,” katanya.