Kekalahan 2-1 kepada Arab Saudi ketika perlawanan pertama dalam saingan AFC B-19 Sabtu lepas mendedahkan masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum bertemu Tajikistan pada perlawanan kedua esok.
Ketua jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak mengakui anak buahnya banyak melakukan kesilapan mudah tetapi beliau tetap menaruh kepercayaan bahawa anak buahnya mampu bangkit apabila berdepan Tajikistan.
“Pertahanan melakukan beberapa kesilapan yang tidak sepatutnya dengan memberi ruang untuk pemain lawan (Arab Saudi) menjaringkan gol.
“Jadi, untuk pergi jauh dalam kejohanan ini, kami perlu meningkatkan lagi persembahan dan cuba mengelak daripada melakukan kesilapan,” katanya dalam Berita Harian.
Satu lagi aksi Kumpulan D menyaksikan Tajikistan menang tipis 1-0 ke atas China. Situasi itu menjadikan Arab Saudi dan Tajikistan kini berada dalam posisi layak ke peringkat suku akhir dengan 3 mata.
Malaysia perlu mengelak daripada mengalami kekalahan pada aksi kedua berdepan Tajikistan jika tidak mahu tersingkir awal daripada kejohanan itu.
Mengulas mengenai persembahan pemain ketika menentang Arab Saudi, Bojan memuji semangat juang tinggi anak buahnya yang mula bangkit selepas ketinggalan 0-2.
“Saya tidak kecewa, saya bangga dengan pemain yang memberikan tentangan sengit sepanjang 90 minit. Secara teknikalnya kami tidak berada pada tahap terbaik.
“Berdepan Arab Saudi yang juga satu daripada pasukan terbaik Asia memang sukar. Mereka lebih berpengalaman dan jika anda tanya saya secara keseluruhan, ia satu persembahan yang baik (daripada pemain saya),” katanya.