Ketua jurulatih skuad bawah 19 tahun negara, Bojan Hodak, tidak boleh menerima beberapa kesilapan mudah yang dilakukan oleh anak buahnya sehingga memusnahkan impian untuk mengutip 3 mata penuh ke atas Tajikistan semalam.
Kedua-dua pasukan terikat 2-2 malam semalam dan Malaysia kini terpaksa berharap ihsan Arab Saudi dalam aksi terakhir Kumpulan D, Kejohanan AFC B-19 dalam misi mengintai peluang ke suku akhir.
Bercakap kepada Stadium Astro, Bojan menyifakan dua gol yang dihasilkan Tajikistan tidak sepatutnya berlaku dan kesilapan yang dilakukan oleh pemain tidak boleh diterima sama sekali terutama jika beraksi di peringkat Asia.
Walaupunbagaimanapun, beliau berpuas hati dengan keseluruhan prestasi ditampilkan pemain dan memuji semangat juang pemain yang bangkit menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua.
“Pemain beraksi dengan begitu baik dan mereka tahu apa yang perlu dilakukan.
“Malangnya, kami masih melakukan kesilapan budak sekolah seperti pemain berusia 16 mahupun 17 tahun.
“Kalau kita mahu ke peringkat lebih tinggi, kesilapan seperti ini tidak boleh diterima,” katanya.
Dalam pada itu, Hodak turut bersimpati dengan nasib pemain Tajikistan, Fuzaylov Ziyozuddin, yang berdepan kecederaan serius selepas diterjah pertahanan negara, Nabil Hakim Bokhari, selain menggesa Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menilai kelemahan pihak perubatan yang lewat memberikan rawatan.
“Ia satu terjahan tanpa niat buruk.
“Kedua-dua pasukan terkejut dengan situasi itu tetapi reaksi pasukan perubatan sangat teruk.
“Mereka tiada petunjuk apa yang sedang berlaku.
“Saya harap AFC boleh melihat perkara ini dengan lebih terperinci pada masa akan datang,” tambah pengendali dari Croatia itu.
Dalam perlawanan itu, Hadi Fayyadh Abdul Razak membuka tirai jaringan negara sebelum dibalas dua gol oleh Tajikistan, namun Nabil muncul wira dengan gol penyamaan pada minit ke-55.