Quantcast

ANALISIS TAKTIKAL

Analisis Taktikal: Juventus Bermula Intensif, Man. United Ada Banyak Masalah

Manchester United tewas 0-1 di tangan Juventus di Old Trafford dalam perlawanan UCL tumpuan pada awal pagi tadi waktu Malaysia.

Manchester United bermasalah di kawasan serangan (final third) dan juga bermasalah ketika memulakan perlawanan dalam perlawanan menentang Juventus.

Permulaan Man. United vs intensiti Juventus

2 perlawanan sebelum ini Man. United memulakan perlawanan dengan sangat teruk iaitu ketika menentang Newcastle dan Chelsea.

Namun mereka berjaya mengelak kalah dalam 2 perlawanan itu. Masalah yang sama mereka hadapi ketika berhadapan dengan Juventus.

Secara asasnya, mereka turun terlalu ke bawah (drop too deep) yang membuatkan Juventus naik dan mendominasi zon mereka.

Pogba sekali lagi menunjukkan kelemahan beliau bermain sebagai no.6. Dalam sistem Mourinho pada separuh masa pertama, Pogba menjadi no.6 kembar bersama dengan Matic dan Mata menjadi no.8 di belakang penyerang.

Dalam keadaan mereka bertahan di zon sangat rendah mereka tak agresif untuk mematikan bola segera (closing down). Itulah yang memberikan ruang kepada para pemain Juventus. Mujur separuh masa pertama hanya 1 gol dihasilkan Juventus.

Kredit juga kepada De Gea dan Lindelof yang cemerlang sepanjang malam ketika bertahan.

Serangan balas Man. United lemah

Pada separuh masa pertama, pada satu fasa Juventus memiliki 72% penguasaan bola. Bukti bahawa Man. United terlalu kurang ancaman kepada pihak lawan.

Apabila anda memilih untuk menyerap asakan di garisan rendah, pastinya anda perlu menyerang balas lawan dengan tajam.

Dan masalahnya, mereka juga lemah dalam serangan balas. Marcus Rashford tidak ada visi permainan yang baik. Beliau hanya melarikan bola seperti ‘headless chicken’ .

Pelan serangan Juventus

Mereka banyak beraksi dalam sistem 4-4-2 untuk menolak Ronaldo ke peranan no.9 bersama-sama dengan Dybala.

Lihat laporan teknikal oleh UEFA ini, jelas sekali Juventus (kanan) banyak bermain 4-4-2 dan 10 minit terakhir baru mereka bermain sistem bek bertiga.

Mereka menekan United di bahagian sayap dan juga half space. Pada separuh masa pertama mereka diberikan ruang yang sangat besar untuk bergerak.

Namun sebenarnya Juventus banyak mensia-siakan peluang terutama sekali gerakan mereka untuk memberikan United malam lebih teruk.

Terutama sekali pada separuh masa kedua, mereka banyak sekali peluang melakukan serangan balas namun kerap kehilangan bola di fasa akhir.

Sepanjang perlawanan Ronaldo kerap berada di belakang Dybala.

Ronaldo tidak bermain dalam prestasi terbaik untuk bersaing dengan pertahanan Man. United di dalam kotak penalti pada fasa serangan.

Anda bayangkan Juventus memiliki ‘target man’ yang dalam prestasi terbaik, Man. United akan dalam masalah kerana ruang dalam kotak penalti yang terbuka.

Juventus banyak menyerang dari arah Luke Shaw kerana mereka tahu Martial lebih malas bertahan berbanding dengan Rashford.

Cancelo sangat banyak membantu Cuadrado di bahagian kanan.

Man United separuh masa kedua

Mereka adalah lebih baik daripada separuh masa pertama, namun tak cukup baik secara keseluruhannya.

Mourinho menaikkan Pogba ke peranan no.8. Dan mereka cuba menekan lawan dengan melaburkan ramai pemain di bahagian sayap terutama di sebelah kanan.

Satu masalah yang terus mereka gagal perbaiki adalah isu terputus hubungan ataupun disjointed. Lukaku antara pemain yang disjointed teruk daripada sistem ini.

Beliau gagal untuk menjadi pemain yang lebih mengancam di dalam kotak penalti walaupun Man. United meningkatkan aspek hantaran lintang pada separuh masa kedua.

Ini heatmap Lukaku pada sepanjang malam perlawanan. Jelas beliau tidak banyak aksi di dalam kotak.

Namun begitu, Man United tertalu ‘wide’ dan aspek sokongan dari ‘depth’ agak kecil. Ini yang mendedahkan mereka kepada beberapa siri serangan balas dari tengah. Namun Juventus agak cuai dan cemerkap dalam serangan balas mereka.

Rumusan

Juventus berhak menang perlawanan ini kerana memulakan perlawanan dengan intensiti tinggi dengan segera. Mereka terus menekan Man. United sebaik sahaja wisel permulaan.

Lihat statistik hantaran pemain ini. Hanya Mata pemain Man. United yang kompeten dalam perlawanan ini. Selepas itu, ianya didominasi oleh Juventus.

Mourinho cuba memperbaiki aspek permainan Man. United pada separuh masa kedua namun banyak sekali kelemahan teknikal para pemain. Rashford dan Martial banyak hilang bola. Lukaku gagal bermain link up lebih berkesan.

Pogba tidak dapat memberikan kesan lebih besar dalam perlawanan ini. Pemain terbaik Man. United adalah Lindelof yang banyak mematikan ancaman Juventus ketika mereka diserang balas.

Pada 10 minit terkahir Allegri melihat masalah yang dihadapi United ada pada pasukan beliau iaitu memberikan ruang di half space kepada lawan. Oleh sebab itu beliau memasukkan Barzagli untuk bermain rantai berlima ketika bertahan.

Pemain terbaik pilihan SemuanyaBOLA

Paulo Dybala (Juventus)

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!