AFC B-16: Tewas 2-0 Bertemu Jepun, Api Perjuangan Skuad Muda Negara Terpadam

B-16

Skuad bawah 16 Tahun (B-16) Malaysia terpaksa menelan kepahitan apabila tersingkir awal dalam kempen Kejuaraan AFC Bawah 16 Tahun berikutan kekalahan 2-0 menentang Jepun di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

Ketiadaan peledak utama, Luqman Hakim yang dilayangkan kad merah pada pertemuan menentang Thailand tempoh hari memaksa Lim Teong Kim meletakkan harapan buat Najmudin Akmal bagi memburu jaringan.

Walaupun skuad muda negara ini dilihat berusaha keras dalam memperagakan aksi yang baik, hantaran jauh yang sering dicipta mudah dipatahkan pemain Jepun.

Ternyata Jepun lebih selesa mendominasi aksi di babak pertama dengan gerakan-gerakan menarik yang dihasilkan.

Namun, penyudah kurang berkesan dari anak buah Yoshiro Moriyama itu menggagalkan usaha mereka.

Kealpaan di jentera pertahanan sekali lagi menjadi masalah buat skuad negara dan ia memakan diri pada minit ke-37.

Salah faham pemain pertahanan yang gagal untuk mengeluarkan bola dari kawasan bahaya memberikan ruang buat Shoji Toyama yang dengan mudah membuka tirai jaringan.

Berusaha untuk memperkemaskan aksi di babak kedua, segala usaha dan kudrat yang dicurahkan anak muda Malaysia ini masih menemui jalan buntu.

Aksi yang dihadiri hampir 9,000 orang penyokong setia skuad negara itu jelas sekali terdapat jurang yang membezakan kedua-dua pasukan.

Ketika perlawanan semakin menghampiri penghujung, Hikaru Narouka yang berjaya merampas bola akibat kelalaian pemain negara, meledakkan rembatan cantik dari luar kotak penalti yang singgah di palang gol lalu terkena badan penjaga gol negara, Sikh Izhan untuk jaringan kedua.

Dengan kekalahan ini menyaksikan skuad B-16 negara menamatkan saingan kumpulan A di tempat keempat dengan tiga mata selepas mencatatkan satu kemenangan dan dua kekalahan.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN