Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah memanggil semua pemegang taruh dan pihak berkepentingan untuk bermesyuarat bagi membincangkan impak Koranavirus yang melanda dunia kepada perlawanan anjuran badan bola sepak Asia itu.
Antara yang dipanggil untk menghadiri mesyuarat tergempar tersebut adalah persatuan bola sepak ahli gabungan, penganjur liga, pihak kelab dan juga agensi komersil yang terlibat dengan pertandingan Liga Juara-Juara Asia (ACL 2020) Zon Timur.
Mesyuarat tersebut dijadualkan berlangsung esok, 4 Februari 2020, dan akan membincangkan impak arahan kerajaan pelbagai negara mengenai sekatan perjalanan ekoran penularan wabak Koranavirus.
Wabak tersebut telah diisytiharkan sebagai darurat kesihatan oleh badan kesihatan dunia, WHO pada minggu lalu.
Sebagai pentadbir badan bola sepak di Asia, AFC bertanggungjawab untuk memastikan pertandingan anjurannya turut berjalan lancar berdasarkan pelan yang dirancang.
Berdasarkan penerangan dari laman sesawang AFC, penangguhan perlawanan tidak akan terhad kepada perlawanan yang akan diadakan di zon yang terlibat dengan wabak, khususnya China.
Liga Juara-Juara Asia Zon Timur dijadualkan berlangsung mulai 11 dan 12 Februari akan datang.
Wakil negara, kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim misalnya turut berada bersama Guangzhou Evergrande FC di dalam Kumpulan G ACL 2020.
Guangzhou Evergrande FC dijadualkan akan bertemu JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada 19 Februari hadapan.
Setakat ini belum ada sekatan dikenakan oleh kerajaan untuk kemasukkan ke negara ini dari bahagian lain di China selain daripada Wuhan – wlaupun beberapa kerajaan negeri (Sabah & Sarawak) sudah bertindak demikian.